Ahad, 20 Disember 2020

MASTER ATAU DAIJ




Tidak dinafikan, ilmu adalah sangat penting dalam kehidupan didunia ini, manusia memandang manusia yang lain berdasarkan kepada taraf ilmu dan tahap pencapaian yang diperolehi mereka, maka layanan juga akan berubah berdasarkan kepada taraf tersebut, perkara ini sememangnya tidak dinafikan, sekiranya perkara ini dibuat kajian lapangan, tentu sekali graf atau statistik mengatakan pencapaian sangat penting kepada taraf seseorang. Walau bagaimanapun, perkara ini hanya pandangan orang lain terhadap seseorang individu tersebut, tetapi dalam hal ini, ianya  bergantung kepada niat seseorang dan arah tujuan individu tersebut yang menjadi objektif utama yang mendorong mereka untuk sambung belajar.


Namun begitu, saya tidak ingin bercerita berkenaan lain bidang,  kerana saya tidak mahir berkaitan kelulusan dan sebagainya dalam bidang lain, disini saya hanya ingin fokuskan kepada bidang undang-undang sahaja. Perkara ini diakui, soal sambung pelajaran telah menjadi dilema kepada rata-rata graduan lepasan undang-undang atau Syariah, selain pening memikirkan soal pekerjaan, perkara ini juga menjadi satu punca membuatkan mereka stress untuk membuat pilihan, pilihan yang terbaik perlulah didahului dengan pemikiran yang dalam sebelum membuat keputusan. Perkara ini juga berlaku dalam pemilihan pengkhususan terbaik. Yang mana lagi bagus? sambung master atau sambung Diploma lanjutan selepas ijazah guaman syarie?


Ye, ramai graduan-graduan lepasan ijazah yang sambung belajar ambik master, ambik DAIJ dan seumpamanya, saya tidak menghalang anda menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi, tetapi, pastikan anda tahu tujuan anda menyambung pelajaran tersebut. Untuk menambah nilai diri atau sekadar niat kerana Allah aku nak belajar? Ye tidak salah niat belajar kerana Allah itu yang sepatutnya, tetapi itu perkara ruh. Apakah matlamat sebenar anda sambung belajar? 



Sekadar ikut ikutan sebab kawan sambung, aku nak sambung juga? Tetapi objektif sebenar sambung pelajaran tersebut tidak tahu disebab ikut ikut orang sahaja? Perkara ini salah, pastikan anda sambung belajar, anda tahu matlamat utama anda mahu sambung diperingkat apa dan dalam bidang apa? Adakah ianya berbaloi kepada anda? Ada nilai ke aku sambung belajar bidang ini? apa aku nak dengan sambung belajar? Sambung belajar bagi orang yang sudah bekerja tidak begitu menjadi masalah. Tetapi sekiranya anda masih belum bekerja. Syarikat lebih memerlukan pekerja yang berpengalaman. Fikirkanlah.




Sekiranya anda mahu bekerja dalam syarikat swasta terutamanya, mereka lebih menilai anda berdasarkan kepada pengalaman anda dan bukan tahap kelulusan anda, bagi mereka, pengalaman lebih penting kepada pertumbuhan syarikat adalah dengan mengambil pekerja yang berpengalaman dan bukannya tahap kelulusan seseorang, cukuplah seseorang individu itu mempunyai ijazah sarjana muda sahaja. Kerana ilmu yang diperolehi di universiti hanyalah sekadar teori sahaja dan bukan praktikal. Walau bagaimanapun, perkara ini berbeza, kepada seseorang yang telah bekerja dan mahu menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi untuk naik gaji dan naik pangkat.




Perkara ini berbeza sekiranya anda sememangnya mempunyai impian untuk bergelar sebagai seorang pensyarah, untuk menjadi seorang pensyarah, anda diwajibkan mempunyai sekarang-kurangnya master dalam bidang tersebut sekiranya ingin bekerja bersama Institut pengajian tinggi awam, bagi sesetengah kolej biasa menerima lepasan ijazah sarjana muda sebagai pensyarah di kolej tersebut, namun, kolej Universiti juga tidak menerima lepasan ijazah sebagai pensyarah. Sekiranya ini impian anda, maka sambunglah belajar dalam jurusan yang anda suka untuk belajar dan mengajar orang lain, ambillah master.




Walau bagaimanapun, sekiranya ingin menjadi seorang peguam syarie, anda tidak perlu mengambil master, tetapi sambung lah Diploma lanjutan guaman Islam, setiap universiti berbeza nama kursus yang diberikan tetapi ianya bidang pengkhususan yang sama, tetapi sekiranya di UIAM dan UKM, mereka memberikan dua pengkhususan berbeza, iaitu DSLP dan DAIJ, DSLP khusus kepada yang nak bergelar sebagai Peguam Syarie sahaja dan DAIJ boleh jadi Hakim dan Peguam Syarie. Pengkhususan ini ditawarkan dibeberapa buah universiti tempatan dan lulus MQA, iaitu UIAM, UKM, USIM, UITM dan yang terbaru USAS.




Walau bagaimanapun, untuk bergelar sebagai seorang peguam syarie, anda tidak diwajibkan mempunyai sijil DAIJ, sijil ini hanya satu kelebihan sahaja, sijil ini saya akui mempunyai kelebihan tersendiri, antara kelebihannya, bagi sesetengah negeri, memerlukan sijil ini bagi melayakkan anda ditauliahkan sebagai Peguam Syarie di negeri tersebut, perkara ini boleh disemak dalam Kaedah-kaedah Peguam Syarie negeri-negeri.




Namun begitu, sekiranya anda memang nak tambah ilmu dan rajin belajar, anda boleh ambil kedua-duanya, tetapi, saya tekankan dan saya nasihatkan, anda wajib bekerja dahulu selepas tamat ijazah sarjana muda, kerana kelulusan master tidak berguna kepada pekerjaan yang memerlukan ijazah sarjana muda sahaja, umur makin meningkat, takkan lah kita sekadar belajar sahaja dan tidak mahu bekerja, jika anda sambung terus tanpa bekerja, anda menyebabkan masa anda terbuang, tanpa pengalaman, sukar untuk dapatkan pekerjaan. Yang sebetulnya, bekerja dan kemudian sambung belajar dan pastikan kursus yang anda ambil akan memberi nilai kepada anda dalam pasaran pekerjaan, kerana manusia perlu hidup dan nak hidup perlukan wang, bagaimana untuk dapatkan wang? tentu sekali perlu bekerja.

Ahad, 13 Disember 2020

UNDANG-UNDANG JENAYAH ISLAM: “GANGGUAN ORANG KETIGA”


UNDANG-UNDANG JENAYAH ISLAM: “GANGGUAN ORANG KETIGA”

 




                                                                gangguan orang ketiga

Perceraian dalam institusi keluarga telah menjadi kebiasaan dalam kalangan masyarakat kita pada hari ini, hal yang mendorong perkara ini disebabkan konflik dan permasalahan yang tidak dapat diselesaikan lagi, punca kehadiran orang ketiga dalam rumahtangga telah mendapat tempat dalam isu perceraian ini sehinggakan dalam drama-drama Melayu juga telah menjadi plot konflik utama cerita, sebagai contoh, drama “7 Hari Mencintaiku”, mertua (Mak Leha) dan orang ketiga yang lain iaitu (Nurul) yang cuba memporak perandakan hubungan Khuzairi dan Mia Adriana.

 


Perkahwinan yang terbina atas dasar cinta pada mulanya akhirnya terlerai dek disebabkan wujudnya orang ketiga dalam perhubungan suami isteri. Perbuatan mengganggu keharmonian rumahtangga orang lain merupakan salah satu perbuatan jenayah syariah dan boleh didakwa di Mahkamah Syariah sebagaimana yang termaktub dalam Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995.

 

Selain itu, dalam undang-undang sivil juga diperuntukkan hal ini dalam Akta Memperbaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 bahawa undang-undang yang berkaitan orang ketiga yang menyebabkan perceraian pasangan bukan Islam yang melibatkan kes-kes perzinaan boleh didakwa dan dikenakan ganti rugi.

 

1. Siapakah orang ketiga?

 

Definisi orang ketiga tidak dijelaskan secara nyata dan tersurat, tetapi boleh difahami adalah “orang tengah” orang tengah yang menyebabkan perceraian antara pasangan suami isteri. Menurut undang-undang, orang ketiga adalah sesiapa sahaja yang menjadi penyebab kepada ketidakharmonian sesuatu rumahtangga tidak kira jantina, kekasih gelap, keluarga, jiran-jiran, saudara mara atau sesiapa sahaja.

 

2. Apakah seksyen yang terpakai?

 

Secara umumnya, jenayah adalah perbuatan jahat yang ditegah atau dilarang. Oleh itu, undang-undang sebagai panduan bagi memelihara manusia daripada perbuatan jahat. Dirujuk berdasarkan Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995:-

 

i.                    Seksyen 32. Memujuk lari perempuan bersuami.

 

“Mana-mana orang yang memujuk lari seseorang perempuan bersuami atau membawanya pergi atau dengan apa-apa cara lain mempengaruhinya supaya meninggalkan rumahtangga yang ditentukan oleh suaminya adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, dan Mahkamah hendaklah memerintahkan supaya perempuan bersuami itu kembali kepada suaminya.”

 

Berdasarkan peruntukan tersebut, sesiapa sahaja yang memujuk lari atau membawanya pergi atau mempengaruhi isteri orang lain supaya meninggalkan rumah dan suaminya, maka dia telah dikira melakukan kesalahan dan boleh dikenakan tindakan undang-undang dan boleh dikenakan denda tidak melebihi 5 ribu ringgit atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya sekali.

 

ii. Seksyen 33. Menghalang pasangan yang sudah bernikah daripada hiudp sebagai suami isteri


Mana-mana orang yang menghalang sesuatu pasangan yang sudah bernikah dengan sah daripada hidup sebagai suami isteri adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya dan Mahkamah hendaklah memerintahkan pasangan itu supaya hidup sebagai pasangan suami isteri yang sudah bernikah dengan sah.


Berdasarkan peruntukan tersebut, sesiapa sahaja yang menghalang pasangan yang sudah berkahwin hidup sebagai suami isteri adalah melakukan kesalahan dan boleh dikenakan tindakan undang-undang dengan hukuman denda tidak melebihi 3 ribu ringgit atau penjara tidak melebihi 2 tahun atau kedua-duanya sekali.

 

iii. Seksyen 34. Menghasut suami atau isteri supaya bercerai atau mengabaikan kewajipan


Mana-mana orang yang menghasut, memaksa atau memujuk mana-mana suami atau isteri supaya bercerai atau mengabaikan kewajipan atau tanggungjawabnya kepada isteri atau suami atau keluarganya adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.


Berikut seksyen-seksyen yang berkaitan orang ketiga dalam hubungan perkahwinan suami isteri.

 

3. Apa tindakan yang boleh diambil?

 

i. Buat aduan ke Pejabat Agama Islam (Kaunseling)

Pihak pejabat agama akan menasihati orang ketiga tadi dengan memberikan kaunseling agar tidak mengganggu pasangan suami isteri tersebut sebelum tindakan undang-undang diambil terhadap orang ketiga tadi. Sekiranya masih berdegil, tindakan undang-undang akan diambil. Pegawai Agama juga akan menasihati pasangan yang konflik tadi agar tidak terburu-buru untuk bercerai, sesi kaunseling akan dilakukan sebanyak 2kali sebelum perkara ini diserahkan kepada PPA untuk penyiasatan.

 

ii. Penyiasatan PPA

Pegawai Penyiasat Agama akan menyiasat terhadap perkara tersebut. Pastikan bukti-bukti untuk mendakwa adalah kukuh, berdasarkan kaedah Fiqh, bukti ke atas orang yang mendakwa, sumpah kepada orang yang didakwa.


iii. Tindakan Mahkamah

Kemudian, jika kes tersebut bermerit, kes tersebut akan dibawa ke Mahkamah Syariah. Dalam aduan tersebut, mangsa perlu menjelaskan dengan terperinci mengenai permasalahan yang dibuat orang ketiga tersebut sehingga porak-perandakan rumah tangga tersebut. Mangsa juga perlu mengemukakan bukti-bukti berkenaan perkara itu.

 

Kesimpulannya, Orang Ketiga bukan hanya kekasih gelap suami/isteri sahaja, sesiapa sahaja yang mengganggu rumahtangga termasuk Orang Ketiga.


Sabtu, 12 Disember 2020

TAULIAH PEGUAM SYARIE JOHOR

SOALAN UJIAN KELAYAKAN PEGUAM SYARIE JOHOR 2016


Peguam Syarie Johor


Disebabkan ramai yang bertanya mengenai Ujian Kelayakan Tauliah Peguam Syarie Johor, jadi kali ni nak kongsi sikit sekadarnya apa yang masih ingat. Untuk rujukan yang baru nak mohon atau yang mengulang nanti.

1. Johor perlu lalui Ujian Bertulis dan Temuduga, berbanding kebanyakan negeri hanya perlu lalui proses temuduga sahaja ataupun buat endors sekiranya dah ada tauliah negeri lain. Dah lulus Ujian bertulis baru dipanggil temuduga. Tak lulus tak boleh pergi step temuduga, apply tahun berikutnya.

2. Tarikh tutup permohonan adalah pada hujung September setiap tahun. Ujian Bertulis kebiasaannya pada Februari tahun berikutnya. Temuduga pada bulan Mei jika tiada perubahan. 

3. Apa yang special mengenai Johor, proses menjadi Peguam Syarie begitu ketat. Mungkin nak jaga dari kemasukan pengaruh Wahabi, Syiah atau lain-lain yang bertentangan dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah. Soalan bahagian A hanya memperuntukkan soalan Akidah yang mempunyai hanya 20 markah. Tetapi jika bahagian ini tidak lulus, anda dikira tidak lulus keseluruhannya. Sempat juga rujuk pakar Ahli Sunnah Wal Jamaah Al-Fadhil Ustaz Ellyeen Amineen.

4. Johor masih menekankan Tulisan Jawi. Semua soalan masih dalam tulisan jawi. Dulu jawapan diwajibkan dalam tulisan jawi, tapi sekarang dah diberikan pilihan samada jawi atau rumi. Saya pilih jawab dalam tulisan jawi. Ada ekstra markah kot walaupun tak diberitahu.

5. Silibus exam diminta untuk baca beberapa buah kitab. Antaranya kitab Tauhid Al-Risalah dan kitab Matla’ Al-Badrain dan lain-lain. Kalau belajar Sijil Darjah Khas Agama Negeri Johor tahu la ni.

6. Dalam Ujian dibenarkan membawa beberapa Enakmen yang berkaitan seperti Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Johor, Enakmen Kesalahan Jenayah Negeri Johor, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Johor, Enakmen Tatacara Jenayah Negeri Johor dan Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah Negeri Johor. Juga disediakan dan diedarkan pindaan terkini dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Johor mengenai takrifan Hukum Syarak.

7. Untuk sesi 2015 lepas hampir 70 yang memohon tapi hanya 13 orang yang lulus. (Betulkan kalau silap, sebab ada kata 70 ada kata 90 orang). Jadi kalau ada yang ambil lebih dari sekali tu kira biasa la.

8. Ok, jom kita tengok bentuk soalan:


BAHAGIAN A

(Akidah | 20 markah)

Tak lulus bahagian ni kira tak lulus semua.

Pengertian Ahli Sunnah Wal Jamaah

Sumber pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah

Aliran akidah sealiran dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Mazhab Fiqh sealiran Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Contoh akidah/pegangan yang bertentangan dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah

Sifat Wajib Allah

Sifat Wajib Nabi

Maksud beriman dengan Qada’ & Qadar

Maksud Muallaf

Maksud Murtad

*Nampak macam mudah, tapi kena kaitkan dengan peruntukkan undang-undang.



BAHAGIAN B 

(Faraid-Enakmen-Hukum Syarak | 80 markah)

Rukun Nikah

Syarat Wali

Pertalian yang haram nikah disebabkan keturunan/nasab

Kahwin poligami tanpa izin mahkamah. Sah atau tidak. 

Dan prosedur untuk membuat pengesahan nikah.

Situasi A masuk Islam & suami tak nak masuk Islam. A nak kahwin dengan B suami orang.

Prosedur untuk batalkan perkahwinan lama.

Adakah tindakan masuk Islam tersebut menyebabkan perkahwinan dengan suami lama terbatal mengikut hukum syarak.

Prosedur A untuk nikah.

Prosedur B untuk nikah poligami.

Situasi Tangkap Khalwat mengaku salah. Hakim jatuhkan RM600. Tak puas hati.

Huraikan hak-hak mereka.

Soalan memimpin tidak dibenarkan di mahkamah tapi ada beberapa keadaan yang membenarkan. Jelaskan.

Situasi Poligami tanpa izin. Mengaku salah.

Hakim penjara sebulan denda RM900.

Tak puas hati sebab kena penjara. Prosedur elak kena penjara.

Elemen-elemen penting dalam Pemeriksaan Saksi oleh Pegawai Penguatkuasa Agama (PPA)

Waran tangkap

Kesalahan boleh tangkap

Pertukaran agama/murtad

Soalan Faraid: Penyelesaian masalah. 2 soalan besar. Satu soalan ada 5 anak soalan.

Ok setakat tu dulu, ada beberapa soalan lagi tak berapa ingat.


……………………………………………………………………………


Tahniah Johor kerana telah meminda peruntukkan mengenai takrif Hukum Syarak. Sebelum ni, Hukum Syarak ditakrifkan sebagai Hukum Syarak mengikut Mazhab Syafie atau mengikut mana-mana satu Mazhab Hanafi, Maliki atau Hanbali. Kebanyakan negeri masih lagi menggunakan takrif ini.


Pada 2014/2015 Johor telah meminda takrifan Hukum Syarak: 


"Dari segi pegangan akidah hendaklah berdasarkan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang bersumberkan aliran al-Asyairah dan al-Maturidiah, dari segi syariah mengikut Mazhab Shafie atau dalam keadaan tertentu mengikut mana-mana satu Mazhab Hanafi, Maliki atau Hanbali atau melalui Ijtihad Hukum yang telah diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa, atas syor Majlis, diperkenankan oleh Raja dan diwartakan"


Ditulis Oleh: YAZID AL-MUARI

Ahad, 12 April 2020

INTERVIEW CHAMBERING SYARIAH


Interview Chambering Syariah


Hi salam sejahtera semua para pelajar yang bakal menjadi pelatih dalam kamar, saya sebagai senior anda! ingin menceritakan sedikit pengalaman saya yang telah saya hadir dalam sesi temuduga chambering atau latihan dalam kamar syariah. Kebiasaan orang yang lebih bersedia untuk hadiri temuduga akan buat research dan menggoogle tips dan pengalaman temuduga, saya juga berbuat demikian, sebelum buat apa-apa atau hadiri temuduga.



Perkara pertama wajibla kita cari kekosongan firma yang perlukan pelajar chambering kan, cari melalui semua platforms untuk dapatkan contact firma-firma yang ingin dimohon, kemudian kita hantar emel kesemua firma untuk memohon kekosongan tersebut, lepas selesai semua langkah pertama, kemudian dapat panggilan untuk ditemuduga, apa yang saya buat? saya akan google tips dan pengalaman temuduga chambering terlebih dahulu, tetapi malangnya tiada satu pun tips temuduga untuk pelajar syariah atau chambering Syariah.



Oleh itu, saya mengambil satu pendekatan dan mengambil peduli pada anda semua junior saya untuk memberi sedikit gambaran bagi anda nampak bagaimana sesi temuduga chambering syariah diadakan, temuduga chambering ni sama sahaja sepertimana temuduga kerja, kepada sesiapa yang pernah hadir temuduga kerja akan dapat gambaran sedikit sebanyak, tetapi jangan risau kepada junior-junior yang baru dan tidak pernah hadir sesi temuduga, yang paling penting keyakinan dan akhlak kene jaga, jangan menipu, jawab dengan jujur apa yang ditanya.



Justeru itu, saya akan kongsikan serba sedikit soalan yang ditanya berdasarkan kepada pengalaman saya ketika hadir temuduga chambering syariah, yang ni yang saya ingat apa yang ditanya. Soalan apa? kalau yang pernah hadir temuduga kerja tentu sedikit sebanyak dapat agak apa soalan yang ditanya, seperti yang saya katakan tadi, interview chambering lebih kurang sahaja sepertimana anda nak mohon kerja. seorang spot tu wajib la, perkenalkan diri bla3 kan. Okay saya tidak mahu menulis dan merepek panjang, saya akan teruskan kepada soalan yang ditanya. Pastikan ketika hadir temuduga bawa salinan resume dan juga fail sijil-sijil anda, sesetangah interviewer akan tengok dan sesetengah tidak tengok pun, bawa lebih baik.


1. Perkenalkan diri: Part ni maksudnya cerita pasal diri anda, diri anda tu maksudnya pengalaman anda ketika di universiti, sertai persatuan apa, pegang jawatan apa, seperti pernah jadi presiden, pengalaman kerja bla3 yang berkaitan kerja sahaja, bukan mengenai anda suka makan apa, tidur jam berapa, kakak abang kerja apa, bla3...itu tidak penting dan sekiranya anda bercerita merepek begitu dah jadi bad impression kepada anda. Status kalau ditanya jawab je dengan jujur, kebiasaannya firma lebih suka hire yang masih single, bukan kata yang telah kawen sukar dapat kerja cumanya peluang lebih kepada yang bujang, sebab bos akan suruh anda stay up sampai malam, datang kerja hari sabtu dan sebagainya, sebab bila dia ambil orang yang telah kawen, bos beranggapan anda banyak komitmen sendiri.

2. Apa expectations anda?: Apa expectations anda chambering disini dan apa expectations yang akan kami dapat dari anda? Yang ni saya tidak sempat jawab, panel tanya soalan lain sudahh... Dalam hati Alhamdulillah, sebab panel 3 orang, terpulang kepada firma yang anda pergila. Jawapan ini boleh google banyak.

3. Berapa elaun yang awak nak sebulan?: Saya pada ketika itu saya kata saya nak RM 700, sebab kalau minta banyak karang terus ditolak, hahah sebab pernah ditolak sebab minta RM700, penemuduga kata nak bagi RM500 je, bergantung kepada firma juga la bagaimana penerimaannya. Kalau korang dari keluarga berkemampuan, rumah dekat, mungkin okay tawaran elaun sedikit, so korbankan lah sikit, kalau yang tidak berkemampuan tiada support keluarga kene fikir banyak kali, sebab dalam tempoh cahmbering ni perasan tiada duit amat sakit. Saya nasihatkan jangan minta rendah sangat dan tinggi sangat, sebab kalau tinggi sangat bos firma menganggap tidak berbaloi ambil anda, minta la sepertimana rakan-rakan anda yang chambering di area yang lebih kurang. Saya pada ketika itu KL elaun diberi RM700-1000 KL Selangor, ada juga Peguam yang bagi RM300,400,500, saya pun tidak tahu pelajar chambering nak makan apa macam mana nak survive hidup di Kota.

4. Ada lesen kenderaan?: Yang ni juga satu kepentingan kepada firma untuk consider dalam pengambilan anda. Saya pada ketika itu ada kedua-dua lesen, tetapi hanya ada motor sahaja. Jawab jela jangan menipu, kawan saya apa-apa lesen kenderaan pun tiada, tetapi Alhamdulillah rezeki dia dapat dan sekarang telah bergelar peguam syarie Wilayah Persekutuan dan masih berada di firma yang sama.

5. Boleh berbahasa Arab dan Bahasa Inggeris?: Yang ni jawab je dengan jujur, pastikan jujur, tetapi jangan terlalu merendah diri dan membangga diri (berlagak).

6. Sanggup stay up malam?: Saya pada ketika itu saya jawab semua ya, saya sanggup, sebab sememangnya saya suka dalam bidang ini.

7. Bila boleh masuk?: Biasanya yang ni kalau penemuduga ada niat nak ambik anda sebagai pelatih di firma mereka, kiranya ini satu soalan yang bagus untuk anda, ada nampak ruang la kiranya sipi-sipi bahasa orang kata. hahah.

8. Kes harta sepencarian mahkamah mana?: Ada yang tanya prosedur yang simple-simple. Bidangkuasa Mahkamah Rendah, Tinggi, Rayuan. Seksyen bla3.

9. Pernah buat pliding?

10. Betul-betul minat nak jadi peguam?:

11. Ada minta tempat lain lagi?: 

 

Saya baru hadir 3 interview Chembering dan 1 terus ambil saya suruh masuk. Biasalah kita mesti riki-riki dengan rakan-rakan yang lain kenal ke Peguam ni? Okay ke dia? sebab kita perlu bekerja dengan dia paling kurang 6 bulan kan, ye boleh tukar tempat chembering dan sambung tapi senang ke nak keluar dan masuk firma lain pula?


Mostly interview just tanya simple-simple pasal diri anda sahaja, mereka nak tengok cara anda bercakap, masuk tu bagi le salam dan ucap terima kasih selepas habis interview nak keluar. Kemudian ucap terima kasih melalui emel kata terima kasih kerana menjemput saya untuk temuduga. Yang mana firma belum panggil temuduga, lepas hantar emel resume tu follow up peguam tanya emel dah sampai ke? Ada kosong ke bla3 pandai-pandai anda le.


Tapi ingat, ada juga ye yang tanya berkenaan hukum syarak, faraid. tanya apa yang anda belajar ketika di Universiti. Haa jawablaa pastikan anda tengok-tengok balik apa yang anda belajar. Sebab sesetengah firma dia tengok satu-satu apa subjek kau belajar dan apa kau dapat. So bersedialah.

Boleh juga baca disini: interview chambering syariah

Selamat maju jaya. Doakan aku juga berjaya ye!

PEMILIHAN UNIVERSITI IPTA ATAU IPTS?


PEMILIHAN UNIVERSITI IPTA atau IPTS?


Perkara ini adalah masalah besar untuk adik-adik lepasan SPM /STAM /STPM. Saya akan kongsikan apa perlu adik-adik ambil peduli sebelum melanjutkan pengajian adik-adik sebelum nasi jadi bubur. Saya akui ilmu adalah penting tidak kira dimana anda perolehi sama ada di ipta atau Ipts. Tetapi disamping kita masuk universiti beribu dah habis duit kan. So why not kita pilih yang pasaran kerja mahukan dan ilmu tu sesuai didunia dan diakhirat. Bagaimana? dibawah saya serta sedikit tips:

1. Pilih ipta terlebih dahulu dan pilihlah universiti yang tawarkan dua bidang dalam satu degree, contohnya Degree Usuluddin dan Multimedia pada masa yang sama anda mempunyai 2 ilmu dunia dan akhirat, boleh bekerja dalam bidang usuluddin dan boleh bekerja dalam bidang multimedia.

2.Pilih universiti yang hebat, yang melahirkan graduan-graduan yang berkualiti didunia dan akhirat dari segi akhlak dan sahsiahnya, tak guba bijak jika akhlak kelaut.

3. Jika tak dapat masuk ipta jangan risau, masuklah ipts. Biasanya orang beranggapan masuk ipts ni tidak bijak, sesiapa sahaja boleh masuk katanya. Ye benar, tetapi itu hanya tanggapan salah umum sahaja, yang realitinya ada sahaja yang memperolehi SPM 7, 8A tetapi mereka inginkan pendididkan yang baik dari lpts yang diidam-idamkan.

4. Pilih ipts yang terbaik dan dikenali, seperti Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor. Baik dari segi sahsiah dan akademik yang diajar di kolej universiti tersebut.

5. Pilih bidang yang ditawarkan dua bidang dalam satu degree seperti pemilihan ipta tadi. Dalam pengetahuan saya kolej Islam yang menawarkan dua bidang dalam satu degree hanyalah KUIS.

6. Pilih bidang yang panas dipasaran kerja. Tengok dalam tempoh 5 tahun akan datang bermula anda masuk universiti, contohnya bidang Information Technology, Accounting, Syariah, Legal, Perubatan. Dan bidang kemahiran seperti Quantity Survivors, marketing dan lain-lain, pastikan anda buat research terlebih dahulu.

7. Bila masuk universiti pastikan anda memperolehi CGPA 3.00 keatas lebih bagus 3.50 untuk semester pertama dan kedua. Untuk pengetahuan anda, pengiraan CGPA berdasarkan hitungan GPA setiap semestar, nak naik CGPA payah, tetapi nak turun senang ye. Pastikan target betul-betul.

8. Sertailah persatuan di universiti sama ada NGO atau mana-mana persatuan di Universiti atau kolej tersebut. Belajar kepimpinan.

Semoga berjaya perolehi impian anda!

POLIGAMI DALAM ISLAM


poligami


Gempar dimedia sosial bercerita berkenaan isu Dai'e Farhan yang berpoligami di tanah suci Mekah. Tetapi saya tidak ingin masuk campur urusan beliau, segala apa yang dilakukan beliau saja yang tahu, kita sebagai masyarakat tidak seharusnya menyebarkan fitnah jika perkara itu tiada dalam pengetahuan kita yang jelas. Oleh itu, jom tambah ilmu berkenan poligami, isu ini sangat lah penting kepada pasangan rumah tangga terutamanya  lelaki yang mempunyai  kuasa  berpoligami.



Apakah yang dimaksudkan dengan "poligami"?

Dalam antropologi sosial, poligami (dari bahasa Greek, ertinya perkahwinan banyak) merujuk kepada perkahwinan di mana seseorang itu berkahwin dengan beberapa orang sekaligus. Biasanya suami yang mempunyai lebih daripada seorang isteri. Ia merupakan lawan monogami (seorang). Dalam Islam keharusan bagi lelaki yang adil dibenarkan berkahwin maksimum seramai 4 orang sahaja dalam satu masa isterinya yang wujud.



Hukum Poligami?

Noted: Untuk Poligami ni ada 5 hukum yang telah ditetapkan berdasarkan situasi, tetapi untuk kali ini saya tidak mahu sentuh perkara tersebut, kalau nak diterangkan agak panjang, InshaAllah dipost lain akan saya terangkan. Didalam Al Quran dan hadis terdapat dalil yang menyebut berkaitan Poligami antaranya yang diperuntukkan di dalam al Quran sepertimana dalil dibawah:

"Nikahilah wanita-wanita (lain) yang kalian senangi masing-masing dua, tiga, atau empat—kemudian jika kalian takut tidak akan dapat berlaku adil, maka kahwinilah seorang saja—atau kawinilah budak-budak yang kalian miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat pada tindakan tidak berbuat aniaya".

                                                                                                     (Surah An nisa' 4: 3)



Dalam ayat tersebut turut memberi penjelasan bahawasanya "tanggungjawab dan kemampuan" penting kepada poligami. Jika anda mampu, maka dibenarkan untuk berpoligami, mampu dari segi apa? Mampu ni merangkumi mampu dari segi zahir dan batin, zahirnya mampu ke dia didik isteri dan anak-anaknya dengan didikan yang baik? Mampukah dia memberi nafkah secara adil? Mampukah dia berlaku adil dalam giliran bermalam? Dan lain-lain berkenaan yang disebut.


Oleh itu Jika nak tahu anda mampu atau tidak, rujuk dan daftarlah ke Mahkamah Syariah, undang-undang Islam bukan memudharatkan, tetapi memberi kebaikan dan membela orang-orang daripada dianiaya oleh pihak lain. Itu motif penubuhan Mahkamah Syariah. Dengan daftar juga elak masalah kemudian hari berkenaan kesahtarafan perkahwinan tersebut dijalankan, kesahtarafan anak dan sebagainya.



Dari sudut undang-undang di Malaysia?

"ENAKMEN 2 TAHUN 2003 ENAKMEN UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM (NEGERI SELANGOR) 2003 BAHAGIAN II - PERKAHWINAN Permulaan Kepada Perkahwinan. Seksyen 23. Poligami, yang menerangkan prosedur untuk anda yang berhasrat untuk berpoligami:

(1) Tiada seorang pun lelaki semasa wujudnya suatu perkahwinan boleh, kecuali dengan [mendapat kebenaran terlebih dahulu secara bertulis daripada Mahkamah, membuat akad nikah perkahwinan yang lain dengan perempuan lain].

* Pastikan anda dapatkan terlebih dahulu "kebenaran dari Mahkamah Syariah" untuk berkahwin dengan Perempuan lain dan pastikan Perempuan tersebut halal dikahwini.

(2) Tiada perkahwinan yang diakadnikahkan tanpa kebenaran di bawah subseksyen (1) boleh didaftarkan di bawah Enakmen ini melainkan jika Mahkamah berpuashati bahawa perkahwinan sedemikian adalah sah mengikut Hukum Syarak dan Mahkamah telah memerintah supaya perkahwinan itu didaftarkan tertakluk kepada seksyen 124.

*Setelah Mahkamah Syariah berpuas hati dan memberi kebenaran untuk anda berkahwin maka boleh lah daftarkan perkahwinan tu.

(4) Permohonan untuk kebenaran hendaklah dikemukakan kepada Mahkamah mengikut cara yang ditetapkan dan hendaklah disertai dengan suatu iqrar menyatakan alasan-alasan mengapa perkahwinan yang dicadangkan itu dikatakan patut atau perlu, pendapatan pemohon pada masa itu, butir-butir komitmennya dan kewajipan tanggungan kewangannya yang patut ditentukan, bilangan orang tanggungannya, termasuk orang yang akan menjadi orang tanggungannya berikutan dengan perkahwinan yang dicadangkan itu, dan sama ada izin atau pandangan isteri atau isteri-isterinya yang sedia ada telah diperolehi atau tidak terhadap perkahwinannya yang dicadangkan itu.

*Pastikan anda sertakan bukti yang mengatakan anda mampu berpoligami.

(5) Apabila menerima permohonan itu, Mahkamah hendaklah memanggil pemohon, isteri atau isteri-isterinya yang sedia ada, bakal isteri, wali kepada bakal isteri, dan mana-mana orang lain yang difikirkan oleh Mahkamah boleh memberi keterangan mengenai perkahwinan yang dicadangkan itu supaya hadir apabila permohonan itu didengar, yang hendaklah dilakukan dalam Mahkamah tertutup, dan Mahkamah boleh memberi kebenaran yang dipohon itu jika berpuas hati—

* Mahkamah akan nilai berdasarkan seperti perkara-perkara dibawah:

(a) bahawa perkahwinan yang dicadangkan itu adalah patut atau perlu, memandang kepada, antara lain, hal-hal keadaan yang berikut, iaitu, kemandulan, keuzuran jasmani, tidak layak dari segi jasmani untuk persetubuhan, sengaja ingkar mematuhi perintah untuk pemulihan hak-hak persetubuhan, atau gila di pihak isteri atau isteri-isteri yang sedia ada;

(b) bahawa pemohon mempunyai kemampuan yang membolehkan dia menanggung, sebagaimana dikehendaki oleh Hukum Syarak, semua isteri dan orang tanggungannya, termasuk orang yang akan menjadi orang-orang tanggungannya berikutan dengan perkahwinan yang dicadangkan itu;

(c) bahawa pemohon akan berupaya memberi layanan adil kepada semua isterinya mengikut kehendak Hukum Syarak; dan

(d) bahawa perkahwinan yang dicadangkan tidak akan menyebabkan darar (kemudharatan)  syari’e kepada isteri atau isteri-isteri yang sedia ada.

(6) Satu salinan permohonan di bawah subseksyen (4) dan iqrar yang dikehendaki oleh subseksyen itu hendaklah disampaikan bersama dengan surat panggilan ke atas tiap-tiap isteri yang sedia ada.



Jika berpoligami tanpa kebenaran Mahkamah?

(8) Mana-mana orang yang membuat akad nikah bersalahan dengan subsekyen (1) hendaklah membayar dengan serta merta semua jumlah mas kahwin dan pemberian yang kena dibayar kepada isteri atau isteri-isteri yang sedia ada, dan jika jumlah itu tidak dibayar sedemikian, boleh dituntut sebagai hutang.

Seksyen 124 (poligami tanpa kebenaran Mahkamah) adalah dirujuk:

"Jika Seseorang lelaki berkahwin lagi di mana-mana jua pun dalam masa perkahwinannya yang sedia ada masih berterusan tanpa mendapat kebenaran secara bertulis terlebih dahulu daripada Mahkamah maka dia adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah dihukum denda tidak melebihi [ satu ribu ringgit atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya denda dan penjara itu]".



Kuasa Mahkamah memberi kebenaran:

(10) Tiap-tiap Mahkamah yang memberi kebenaran atau memerintahkan supaya perkahwinan itu didaftarkan di bawah seksyen ini, hendaklah mempunyai kuasa atas permohonan mana-mana pihak kepada perkahwinan—

(a) untuk menghendaki seseorang untuk membuat pembayaran nafkah kepada isteri atau isteri-isteri yang sedia ada; atau

(b) untuk memerintahkan supaya apa-apa aset yang telah diperolehi oleh pihak-pihak itu dalam masa perkahwinan dengan usaha bersama mereka dibahagi antara mereka atau supaya mana-mana aset itu dijual dan hasil jualan itu dibahagikan.


Demi menjaga keadilan dan kemaslahatan, Mahkamah Syariah memandang serius isu ini. Jika disabitkan kesalahan anda boleh dihukum. Isu yang nak saya ketengahkan bukanlah menentang poligami, tetapi memandu supaya anda tidak melakukan kesalahan dan menganiaya orang lain. INGAT ❗fahami apakah matlamat poligami yang dibawakan oleh Islam pada asalnya. Jauhi kemaksiatan elak penganiayaan.


Nasihat saya, daftarlah sekiranya anda berhasrat untuk berpoligami, kenapa mesti melawan undang-undang yang telah ditetapkan baik untuk masyarakat dan diri anda. Pelbagai kesan akan mendatang kepada anda sekiranya tidak mendapatkan kebenaran Mahkamah, denda akan dikenakan, pemenjaraan, kesahtarafan perkahwinan, kesahtarafan anak, reputasi anda terjejas, hubungan kekeluargaan dan lain-lain perkara negatif, [terutamanya kepada golongan wanita ambil peduli sebelum menerima lamaran poligami sebagai isteri kedua].


Boleh rujuk di laman ini untuk lebih kefahaman poligami

TAULIAH PEGUAM SYARIE SELANGOR

 Assalamualaikum.... Pentauliahan Peguam Syarie Negeri Selangor antara yang berprestij selain Wilayah Persekutuan, mungkin disebabkan kelaya...