Memaparkan catatan dengan label gantirugi ingkar pertunangan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label gantirugi ingkar pertunangan. Papar semua catatan

Rabu, 29 September 2021

TUNTUTAN GANTIRUGI PERTUNANGAN

 

                             TUNTUTAN GANTIRUGI INGKAR PERTUNANGAN

 PENGENALAN

Pertunangan adalah satu ungkapan yang menyeru kepada pernikahan iaitu pernyataan atau permintaan dari salah seorang individu lelaki atau perempuan dengan niat untuk berkahwin sama ada menyatakan dengan sendiri atau melalui perantaraan orang lain, kebiasaan pertunangan bermula dari pihak lelaki menyatakan hasrat tersebut, tetapi tidak menjadi kesalahan sekiranya perempuan yang mendahuluinya sepertimana sunnah Rasullullah s.a.w dipinang oleh Siti Khadijah. Pertunangan adalah satu perjanjian diantara dua pihak, pihak lelaki dan perempuan untuk melangsungkan perkahwinan, Bagi menjaga hak individu, maka undang-undang membenarkan pihak yang menanggung kerugian untuk membuat tuntutan gantirugi tersebut. Hal ini termaktub dalam enakmen undang-undang keluarga Islam.

 

DEFINISI

 

Hal ini disebut dalam bahasa Arab sebagai “al Khitbah” yang memberi maksud permulaan untuk bernikah, “al khitbah diterjemahkan dalam bahasa Melayu bererti “melamar” untuk dijadikan pasangan hidup, ia juga bermakna meminta persetujuan dari pasangan tersebut menjadi pasangan suami atau isteri, ianya menzahirkan/mengiklankan kehendak seseorang kepada seseorang yang lain untuk dijadikan pasangan hidup.

 

Hal ini tidak bertentangan dengan hukum syarak, malah perkara ini ada ditulis dalam hadis yang digunakan pada zaman para sahabat, Islam membenarkan pertunangan ini sebagai cara pasangan dan keluarga pasangan mengenali antara satu sama lain sebelum melanjutkan ke alam pernikahan, tetapi malangnya pada hari ini pertunangan disalah ertikan, dengan adanya ikatan pertunangan, bermaksud adanya lesen untuk mereka berdua-duaan, berpegang-pegangan tangan bersentuhan melakukan antiviti bersama seperti telah menjadi suami dan isteri.

 

Walau bagaimanapun, mengikut adat melayu, pertunangan mestilah diadakan majlis dan perkenalan antara kedua-dua keluarga lelaki dan perempuan bersama pertukaran dulang, sebagai contoh perempuan bagi 7 dulang dan lelaki 5 dulang. Oleh itu, sekiranya pertunangan tersebut dibatalkan oleh salah satu pihak, pihak yang teraniaya dibolehkan membuat tuntutan gantirugi tersebut setakat kerugian yang ditanggung olehnya. Pertunangan merupakan satu perjanjian/kontrak kedua-dua belah pihak untuk melangsungkan perkahwinan.

 

Walaupun, pertunangan adalah wa‘d gayr mulzim (atau janji yang tidak mesti disempurnakan/tidak mengikat) dan bukan  suatu  aqad  (atau kontrak yang mengikat) yang mewajibkan pernikahan, kedua-dua pihak yang bertunang juga mempunyai  hak dalam  membatalkan  pertunangan.  Namun begitu, ianya masih dikira satu kontrak / perjanjian, maka  jumhur  ulama berpendapat bahawa hukum membatalkan pertunangan adalah harus. Walau  bagaimanapun,  Islam  amat  menitikberatkan  tuntutan  memenuhi  janji. Pembatalan pertunangan melukai perasaan orang yang diputuskan pertunangan, berkemungkinan boleh menyebabkan kemurungan dan menyebabkan kerugian kepada pihak dimungkiri tersebut. Hal ini amat bertentangan dengan konsep saudara seIslam yang amat menjaga persaudaraan sesama Islam.

 


DALIL-DALIL BERKAITAN PERJANJIAN

 

Tiada dalil khusus untuk kemungkiran pertunangan, tetapi dalil berkaitan kemungkiran janji ada ditulis dalam Al Quran dan juga hadis, kerana pertunangan merupakan salah satu perjanjian antara pihak-pihak untuk berkahwin dan melibatkan kos melaksanakan majlis pertunangan tersebut seperti kos hantaran, kos majlis dan sebagainya. Walau bagaimanapun, dalam kalangan ilmuan mazhab-mazhab ada menyebut berkenaan mungkir pertunangan ini.

 

a.    AL QURAN

 

“Wahai orang yang beriman, tunaikan serta sempurnakanlah perjanjian-perjanjian kamu”.                

   (Surah al Maidah 5: 1)

b.    HADIS

 

“ Orang-orang Islam terikat dengan perjanjian mereka dan perkara-perkara yang mana mereka telah bersetuju”

(Riwayat Muslim)

 

c.    PANDANGAN MAZHAB

 

Terdapat beberapa mazhab membincangkan tentang perkara ini sebagaimana berikut:

 

1.    Mazhab Hanafi

 

Jika hadiah-hadiah pertunangan itu masih sempurna dan belum menukar keadaannya atau dimakan atau dimusnahkan, pemberi boleh meminta balik hadiah-hadiah pertunangan itu, jika kemungkiran janji oleh pihak yang lain itu. Sebagai contoh, rantai leher atau cincin atau gelang atau jam tangan atau kain atau barang-barang seakannya boleh diminta dipulangkan jika barang itu masih ada, akan tetapi, jika barang itu tidak ada lagi atau telah dimakan, dijual atau hilang atau digunakan untuk membuat baju, tidak ada hak lagi meminta balik barang itu.

 

2.    Mazhab Maliki

 

Sekiranya kemungkiran janji itu dari pihak lelaki, lelaki tersebut tidak berhak meminta balik hadiah-hadiah yang diberi olehnya. Sebaliknya, jika kemungkiran itu oleh pihak perempuan, lelaki itu boleh meminta balik hadiah-hadiah yang diberi olehnya, sama ada hadiah itu masih ada atau tidak. Jika hadiah itu telah dimusnahkan, harganya harus dibayar. Akan tetapi, semua itu tertakluk kepada adat yang diikuti dalam masyarakat itu.

 

3.    Mazhab Shafie

 

Hadiah-hadiah tersebut hendaklah dikembalikan sama ada masih wujud atau tidak. Jika barang-barang itu masih wujud, barang-barang tersebut hendaklah dikembalikan. Jika barang-barang tersebut telah dimakan atau digunakan atau telah hilang, harganya hendaklah dikembalikan.

 


SEKSYEN BERKAITAN

 

Seksyen 61. Bidang kuasa Mahkamah Tinggi Syariah. Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003:

 

(3) Mahkamah Tinggi Syariah hendaklah—

(i) Pertunangan, Perkahwinan, ruju’, perceraian, pembubaran perkahwinan (fasakh), nusyuz, atau pemisahan kehakiman (faraq) atau apa-apa perkara yang berkaitan dengan perhubungan antara suami isteri;

 

(ii) Apa-apa pelupusan atau tuntutan harta yang berbangkit daripada mana-mana perkara yang dinyatakan dalam subperenggan (i);.

 

Seksyen 15. Pertunangan. Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003

 

Jika seseorang telah mengikut suatu pertunangan mengikut Hukum Syarak, sama ada secara lisan atau secara bertulis, dan sama ada secara bersendirian atau melalui seorang  perantaraan, dan kemudiannya enggan berkahwin dengan pihak yang satu lagi itu tanpa apa-apa sebab yang sah manakala pihak yang satu lagi bersetuju berkahwin dengannya, maka pihak yang mungkir adalah bertanggungan memulangkan pemberian-pemberian pertunangan, jika ada, atau nilainya dan membayar apa-apa wang yang telah dibelanjakan dengan suci hati oleh atau untuk pihak yang satu lagi untuk membuat persediaan bagi perkahwinan itu, dan yang demikian boleh dituntut melalui tindakan dalam Mahkamah.

 


CONTOH KES

 

SALBIAH OTHMAN LWN HAJI AHMAD ABDUL GHANI (2002)

 

Pihak perempuan telah dimungkiri janji untuk berkahwin telah membuat tuntutan gantirugi keaiban dan ganti rugi perbelanjaan yang merangkumi persiapan untuk pertunangan dan persiapan untuk perkahwinan.

 

Mahkamah Tinggi Seremban telah meluluskan permohonan Salbiah terhadap sebahagian tuntutannya yang merangkumi kos baju pengantin, tempahan persalinan, tempahan langsir dan cadar, deposit khemah dan katil serta kos jemputan merangkumi barangan runcit dan basah.

 

KESIMPULAN

 

Tuntutan ganti rugi ini boleh dibuat apabila berlaku kemungkiran terhadap ikatan pertunangan sama ada secara rasmi atau sebaliknya, maka pihak yang memungkiri pertunangan tersebut bertanggungjawab untuk membayar segala gantirugi yang telah dibelanjakan sama ada ganti rugi pertunangan atau persiapan untuk perkahwinan kepada pihak yang dimungkiri tersebut. Tuntutan ini boleh dibuat di Mahkamah Syariah.

TAULIAH PEGUAM SYARIE SELANGOR

 Assalamualaikum.... Pentauliahan Peguam Syarie Negeri Selangor antara yang berprestij selain Wilayah Persekutuan, mungkin disebabkan kelaya...