UNDANG-UNDANG JENAYAH ISLAM: “GANGGUAN ORANG KETIGA”
Perceraian dalam institusi keluarga telah menjadi kebiasaan dalam kalangan masyarakat kita pada hari ini, hal yang mendorong perkara ini disebabkan konflik dan permasalahan yang tidak dapat diselesaikan lagi, punca kehadiran orang ketiga dalam rumahtangga telah mendapat tempat dalam isu perceraian ini sehinggakan dalam drama-drama Melayu juga telah menjadi plot konflik utama cerita, sebagai contoh, drama “7 Hari Mencintaiku”, mertua (Mak Leha) dan orang ketiga yang lain iaitu (Nurul) yang cuba memporak perandakan hubungan Khuzairi dan Mia Adriana.
Perkahwinan yang terbina atas dasar cinta pada mulanya akhirnya terlerai dek disebabkan wujudnya orang ketiga dalam perhubungan suami isteri. Perbuatan mengganggu keharmonian rumahtangga orang lain merupakan salah satu perbuatan jenayah syariah dan boleh didakwa di Mahkamah Syariah sebagaimana yang termaktub dalam Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995.
Selain itu, dalam undang-undang sivil juga diperuntukkan hal ini dalam Akta Memperbaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 bahawa undang-undang yang berkaitan orang ketiga yang menyebabkan perceraian pasangan bukan Islam yang melibatkan kes-kes perzinaan boleh didakwa dan dikenakan ganti rugi.
1. Siapakah orang ketiga?
Definisi orang ketiga tidak dijelaskan secara nyata dan tersurat, tetapi boleh difahami adalah “orang tengah” orang tengah yang menyebabkan perceraian antara pasangan suami isteri. Menurut undang-undang, orang ketiga adalah sesiapa sahaja yang menjadi penyebab kepada ketidakharmonian sesuatu rumahtangga tidak kira jantina, kekasih gelap, keluarga, jiran-jiran, saudara mara atau sesiapa sahaja.
2. Apakah seksyen yang terpakai?
Secara umumnya, jenayah adalah perbuatan jahat yang ditegah atau dilarang. Oleh itu, undang-undang sebagai panduan bagi memelihara manusia daripada perbuatan jahat. Dirujuk berdasarkan Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995:-
i. Seksyen 32. Memujuk lari perempuan bersuami.
“Mana-mana orang yang memujuk lari seseorang perempuan bersuami atau membawanya pergi atau dengan apa-apa cara lain mempengaruhinya supaya meninggalkan rumahtangga yang ditentukan oleh suaminya adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, dan Mahkamah hendaklah memerintahkan supaya perempuan bersuami itu kembali kepada suaminya.”
Berdasarkan peruntukan tersebut, sesiapa sahaja yang memujuk lari atau membawanya pergi atau mempengaruhi isteri orang lain supaya meninggalkan rumah dan suaminya, maka dia telah dikira melakukan kesalahan dan boleh dikenakan tindakan undang-undang dan boleh dikenakan denda tidak melebihi 5 ribu ringgit atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya sekali.
ii. Seksyen 33. Menghalang pasangan yang sudah bernikah daripada hiudp sebagai suami isteri
Mana-mana orang yang menghalang sesuatu pasangan yang sudah bernikah dengan sah daripada hidup sebagai suami isteri adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya dan Mahkamah hendaklah memerintahkan pasangan itu supaya hidup sebagai pasangan suami isteri yang sudah bernikah dengan sah.
Berdasarkan peruntukan tersebut, sesiapa sahaja yang menghalang pasangan yang sudah berkahwin hidup sebagai suami isteri adalah melakukan kesalahan dan boleh dikenakan tindakan undang-undang dengan hukuman denda tidak melebihi 3 ribu ringgit atau penjara tidak melebihi 2 tahun atau kedua-duanya sekali.
iii. Seksyen 34. Menghasut suami atau isteri supaya bercerai atau mengabaikan kewajipan
Mana-mana orang yang menghasut, memaksa atau memujuk mana-mana suami atau isteri supaya bercerai atau mengabaikan kewajipan atau tanggungjawabnya kepada isteri atau suami atau keluarganya adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.
Berikut seksyen-seksyen yang berkaitan orang ketiga dalam hubungan perkahwinan suami isteri.
3. Apa tindakan yang boleh diambil?
i. Buat aduan ke Pejabat Agama Islam (Kaunseling)
Pihak pejabat agama akan menasihati orang ketiga tadi dengan memberikan kaunseling agar tidak mengganggu pasangan suami isteri tersebut sebelum tindakan undang-undang diambil terhadap orang ketiga tadi. Sekiranya masih berdegil, tindakan undang-undang akan diambil. Pegawai Agama juga akan menasihati pasangan yang konflik tadi agar tidak terburu-buru untuk bercerai, sesi kaunseling akan dilakukan sebanyak 2kali sebelum perkara ini diserahkan kepada PPA untuk penyiasatan.
ii. Penyiasatan PPA
Pegawai Penyiasat Agama akan menyiasat terhadap perkara tersebut. Pastikan bukti-bukti untuk mendakwa adalah kukuh, berdasarkan kaedah Fiqh, bukti ke atas orang yang mendakwa, sumpah kepada orang yang didakwa.
iii. Tindakan Mahkamah
Kemudian, jika kes tersebut bermerit, kes tersebut akan dibawa ke Mahkamah Syariah. Dalam aduan tersebut, mangsa perlu menjelaskan dengan terperinci mengenai permasalahan yang dibuat orang ketiga tersebut sehingga porak-perandakan rumah tangga tersebut. Mangsa juga perlu mengemukakan bukti-bukti berkenaan perkara itu.
Kesimpulannya, Orang Ketiga bukan hanya kekasih gelap suami/isteri sahaja, sesiapa sahaja yang mengganggu rumahtangga termasuk Orang Ketiga.