peguam syarie
Pengenalan
Kerjaya Peguam Syarie pada suatu ketika dahulu merupakan kerjaya yang jarang diambil masyarakat menjadikan ianya sebagai kerjaya utama, pada ketika dahulu orang yang meneruskan dalam kerjaya ini tidak ramai.
Namun, pada hari ini, kerjaya sebagai Peguam Syarie telah menjadi salah satu pilihan utama para pelajar universiti yang mengambil jurusan syariah atau syariah dan undang-undang sama ada yang belajar di luar negara atau dalam negara, pada hemat saya, pada ketika dahulu para pelajar tidak begitu terdedah dengan kerjaya Guaman Syarie ini untuk meneruskan kerjaya ini yang termasuk dalam kerjaya professional ini.
Justeru itu juga, berdasarkan pengalaman penulis sendiri, ada dari kalangan pelajar yang mengambil jurusan ini pada asalnya tidak berminat dan tiada niat untuk menceburi bidang guaman, tetapi disebabkan tidak tahu untuk kerja apa, maka mereka meneruskan juga dalam bidang guaman ini demi kelangsungan hidup tanpa matlamat dan impian yang nyata dalam melayari bidang cabaran ini.
Sebelum penulis ceritakan sedikit sebanyak berkaitan bidang guaman syarie ini, perlu tahu Siapa Peguam Syarie? Peguam Syarie adalah pihak yang mewakili pihak-pihak yang mempunyai masalah atau isu di Mahkamah Syariah. Secara ringkasnya dapat difahami Peguam yang menguruskan hal-hal orang Islam di Mahkamah Syariah sama da kes jenayah atau mal/sivil syariah.
Siapa Boleh Jadi Peguam Syarie?
Tentu sekali untuk menjadi peguam syarie wajib mempunyai ijazah sarjana muda, jika diploma atau STAM atau STPM atau sijil tidak layak untuk kerjaya ini.
Kedua, wajib ijazah dalam bidang syariah atau syariah dan undang-undang dari dalam atau universiti tempatan yang diiktiraf MQA.
Ketiga, perlu ambil diploma guaman Islam sekiranya bukan dari Ijazah Syariah dan Undang-Undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
Pengalaman Penulis Sendiri
Bernulanya perjalanan penulis dalam bidang ini ialah melalui Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) di Maahad di Kelantan selama 1 tahun. (Kelantan)
Kemudian melanjutkan pelajaran ke Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Syariah Dengan Undang-Undang (Kepujian) selama 4tahun pengajian. (Selangor)
Seterusnya, penulis menjalani latihan kehakiman dan guaman Islam / latihan industri selama 3bulan di firma guaman yang memfokuskan litigasi sivil sahaja berkaitan kes kemalangan dan juga jual beli hartanah.(Kelantan). Pastikan Firma tersebut juga mempunyai sijil Syariah Undang-Undang.
Setelah selesai, penulis menyambung pelajaran dalam Diploma Kehakiman dan Guaman Islam di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia selama 1tahun 8bulan.(Kelantan)
Selesai sahaja pengajian tersebut, penulis menjalani Latihan Dalam Kamar selama 1tahun di firma guaman di Kuala Lumpur, firma tersebut hanya memfokuskan berkenaan litigasi kes-kes Syariah sahaja.(Kuala Lumpur)
Setelah selesai latihan tersebut, penulis meneruskan lagi langkah sebagai pembantu syariah selama 3bulan di Seremban. (Negeri Sembilan)
Kemudian penulis teruskan mencari pengalaman dan ilmu berkaitan undang-undang di firma guaman di Kuala Lumpur. Dalam bidang guaman ini, menjadi perkara biasa sekiranya bertukar-tukar firma dan kesana kesini. Perkara ini secara tak langsung mendewasakan penulis untuk meneruskan dalam bidang ini.
Kalau nak diceritakan, banyak kerja penulis lakukan sebelum bergelar peguam syarie, penulis juga pernah bekerja di Tenaga Nasional Berhad dalam program Skim Latihan 1 Malaysia selama 6 bulan yang juga dalam bidang undang-undang bahagian revenue litigation.
Pada masa yang sama, penulis membuat permohonan pentauliahan sebagai peguam syarie di beberapa buah negeri seperti Wilayah Persekutuan, Negeri Sembilan dan Terengganu.
Walau bagaimanapun, penulis telah mempunyai tauliah peguam syarie negeri Kelantan yang ketika penulis melanjutkan pelajaran di peringkat Diploma Kehakiman dan Guaman Islam.
Sebagai pengetahuan, memandangkan penulis lulusan Ijazah Sarjana Muda Syariah Dengan Undang-Undang, penulis boleh terus sahaja untuk menjadi peguam syarie di negeri-negeri yang tidak memerlukan sijil (DAIJ/DSLP/DIJAP/DSLA).
Tetapi penulis mengambil pendekatan bahawa seeloknya meneruskan pengajian ketika usia muda yang tidak begitu mempunyai komitmen yang besar.
Cabaran Menyelusuri Kerjaya Peguam Syarie
Pertama perlu diketahui, peguam adalah kerjaya yang melibatkan diri dengan perkhidmatan kepada manusia dan masa, bukan sekadar khidmat kepada fizikal manusia sahaja, ianya disertai dengan masalah-masalah manusia dalam pelbagai masalah dan emosi yang tidak stabil. Maka, kerjaya ini memerlukan kesabaran, kekuatan, kecekalan, ketabahan, keyakinan dan kebijaksanaan yang tinggi untuk mengendalikan yang bernama manusia. Saya jelaskan satu persatu cabaran yang perlu dihadapi sekiranya mahu masuk dalam kerjaya ini.
1. Wang/Kewangan
Saya rasa boleh saya katakan, sekiranya ingin masuk dalam kerjaya ini, wajib dari keluarga yang berkemampuan, sebab apa? Sebab perjalanan dan liku-liku untuk kerjaya ini amat memerlukan banyak wang yang keluar dan wang yang masuk? sedikit sahaja terutamanya ketika intern/latihan industri/latihan kehakiman dan guaman Islam dan latihan dalam kamar, kerana ketika ini anda hanya akan mendapat sejumlah elaun yang amat sedikit bermula RM300-RM1000, sungguh bertuah yang dapat RM1000, jarang sekali firma sediakan jumlah begitu ketika proses ini, sedangkan anda perlu membayar kos kehidupan anda sebagai seorang dewasa. Tambahan lagi bagi yang tidak tinggal bersama keluarga, pada ketika ini, amat memerlukan bantuan daripada keluarga dari sudut kewangan atau perlu lakukan kerja lain dapatkan side income.
2. Masa
Ye masa untuk bergelar peguam syarie bukan singkat, habis je ijazah sarjana muda terus jadi peguam, tidak. Untuk dapatkan satu-satu sijil peguam syarie negeri-negeri bukanlah mudah, perlu menjalani pelbagai cabaran bermula permohonan, perlu buat penampalan setiap daerah dalam negeri yang di mohon, baca afidavit depan pendaftar, kursus persediaan, menjalani ujian, temuduga, dan majlis pentauliahan akhir sekali barulah dapat bergelar sebagai peguam syarie di negeri tersebut sahaja. Setiap negeri berbeza cara dan prosedur penerimaan masuk sebagai peguam syarie, ada yang mudah dan ada yang sukar dan sangat sukar.
3. Tempat Chambering
Untuk mendapatkan tempat chambering tidak semudah abc, perlu menjalani temuduga dan bergandingan dalam perlbagai latar belakang dan juga pelbagai negeri, pada zaman penulis, merupakan zaman yang telah ramai para graduan yang mempunyai hajat dan cita-cita yang sama untuk menjadi peguam syarie. Pada ketika itu penulis bersama 7 calon dalam majlis temuduga tersebut dan Alhamdulillah rezeki memihak kepada penulis.
4. Gaji
Masyarakat memandang tinggi kepada kerjaya peguam termasuklah peguam syarie, tetapi pada hakikat sebenar, kami dalam melayari bahtera untuk menjadi peguam syarie tidak sebagaimana yang masyarakat fikirkan. Gaji para peguam yang bekerja dengan firma guaman tanpa buka firma sendiri gajinya amat sedih, tidak perlu penulis tulis disini.
5. Emosi
Sebagaimana yang penulis tulis diatas, perlukan kekuatan dalam semua perkara, kerana berhadapan dengan masyarakat yang sememangnya datang kepada kita mempunyai masalah. Pesanan penulis, jangan serap masalah tersebut tetapi cubalah untuk tempis terus dari masuk dalam kehidupan anda. Kene tahu bagaiamana untuk kendalikan anakguam, jangan kita juga turut beremosi, kita sebagai penasihat kepada mereka perlu selesaikan dengan cara yang bijak dan berdasarkan ilmu undang-undang yang kita ada. Selain itu, emosi dalam cabaran untuk dapatkan sesuatu tauliah juga penting dan lain-lain.
6. Persaingan
Perlu tahu, kerjaya peguam juga merupakan perniagaan, tetapi perniagaan berdasarkan ilmu yang ada, perniagaan professional maka perlu menjaga etika.
7. Ancaman
Peguam perlu berhadapan dalam pelbagai jenis manusia, pelbagai sikap dan perwatakan, perkara ini sedikit sebanyak akan dilalui oleh peguam, ancaman pukul, calarkan kereta, bomoh mandrem dan sebagainya, kerana pihak-pihak lawan tidak berpuas hati dengan keputusan kes atau kerana memihak kepada lawannya.
8. Godaan
Yang ini tentu ada, walaupun tidak semua peguam yang terkena, tetapi masih ada yang terkena, terutama peguam perempuan, bila masuk dunia korporat, ada saja dato’-dato’ orang kaya yang berumur ulat bulu cuba ambil kesempatan dalam kesulitan peguam tersebut, terutamanya dalam bidang yang sama yang mempunyai pangkat yang lebih tinggi. So hati-hati kene pandai tempis dan bijak menilai baik ikhlas atau ada tujuan lain.
Kesimpulan yang boleh penulis tulis disini, sekiranya anda ingin menjadi peguam, pastikan siap sedia dengan fizikal dan mental dalam cabaran-cabaran yang bakal diharungi, diatas penulis menulis secara ringkas sahaja, sekiranya ingin dicerita secara teliti sememangnya begitu panjang perlu ditulis.