Memaparkan catatan dengan label mut'ah isteri. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label mut'ah isteri. Papar semua catatan

Rabu, 29 September 2021

TUNTUTAN MUT'AH ISTERI

 

Mut'ah Isteri


TAJUK: MUT'AH

 

Tuntutan mut’ah di Mahkamah Syariah adalah antara salah satu tuntutan utama yang dibuat selepas perceraian dan saya yakin masih ramai masyarakat awam yang belum mengetahui berkenaan kebolehan untuk membuat tuntutan ini, disini saya ingin berikan sedikit info atau penjelasan berkenaan tuntutan Mutaah ini. Sebelum membuat tuntutan anda semua perlu memahami apakah Mutaah, bila perlu dituntut, hukum dan yang berkenaan.

 

APAKAH YANG DIMAKSUDKAN DENGAN MUTAAH?

 

Mutaah bermaksud suatu pembayaran atau pemberian sagu hati yang mana ianya diberikan oleh bekas suami kepada bekas isterinya selepas mereka bercerai (hidup) sama ada berupa wang atau pun barang. Sagu hati mutaah ini ianya dikira sebagai bayaran yang wajib apabila perceraian itu berlaku antara pasangan suami isteri dan ianya bukan berpunca daripada kesalahan pihak bekas isteri seperti "Nusyuz".

 

MAKA, APAKAH HUKUM MUTAAH?

 

Menurut Jumhur ulama' menyatakan hukum asal mutaah ialah sunat, namun begitu, ianya wajib diberikan sekiranya sebelum disetubuhi dan mas kahwinnya tidak disebut dalam akad. Manakala dalam keadaan lain pemberian Mutaah ini sunat. Walau bagaimanapun, perkara ini meurpakan suatu amalan yang digalakkan terhadap suami yang telah menceraikan isterinya. Alasan pendapat ini disandarkan kepada ayat 236 surah Al-Baqarah yang bermaksud:

 

Hendaklah kamu memberikan Mutaah (iaitu pemberian sagu hati) kepada mereka yang diceraikan itu, iaitu suami yang senang hendaklah memberikannya menurut kemampuan mereka dan bagi suami yang susah menurut kemampuannya sebagai pemberian sagu hati menurut apa yang patut dan menjadi satu kewajipan ke atas orang yang mahu berbuat demikian”.

 

Berdasarkan pendapat Imam Shafie, mutaah itu wajib diberikan kepada isteri sama ada dia diceraikan sebelum atau selepas disetubuhi, sama ada diceraikan melalui talaq atau seumpama talaq dengan syarat-syarat tertentu dan sama ada sudah ditentukan maharnya atau belum. Mut'ah boleh diberikan dalam bentuk wang, pakaian dan barang lain.


Menurut Ibn Qasim, mutaah adalah hak isteri yang boleh dipusakai dan sekiranya jandanya meninggal dunia, (bercerai ketika hidup) maka hendaklah dibayar kepada waris-warisnya. Manakala pendapat Imam Hanafi ianya adalah sunat, walau bagaimanapun, berdasarkan pendapat-pendapat yang disebut, maka jelaslah ianya merupakan suatu yang dituntut oleh Syara’. Berdasarkan Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 241 bermaksud:

“Dan isteri-isteri yang diceraikan berhak mendapat mutaah (pemberian sagu hati) dengan cara yang patut, sebagai satu tanggungan yang wajib atas orang-orang yang bertaqwa”.

 

Dalam ayat lain, Surah al-Ahzab ayat 49 bermaksud:

“Oleh itu, berilah “mutaah (pemberian sagu hati) kepada mereka, dan lepaskanlah mereka dengan cara yang sebaik-baiknya”.

                                   

 

APAKAH TUJUAN MUTAAH ITU YANG SEBENARNYA?

 

Mutaah bertujuan untuk meringankan sedikit beban yang ditanggung oleh bekas isteri akibat diceraikan oleh bekas suaminya untuk memulakan hidup barunya. Dengan pemberian mutaah ini kepada bekas isteri –

(a) akan membolehkan isteri itu untuk berdikari dan memulakan hidup baru selepas bercerai;

(b) akan mengelakkan prasangka buruk masyarakat terhadap isteri tersebut bahawa perceraian yang berlaku adalah berpunca daripada kesalahan isteri;

(c) ia merupakan penghargaan daripada suami atas sumbangan dan peranan isteri.

 

APAKAH PRASYARAT UNTUK ISTERI MEMOHON MUTAAH DI MALAYSIA?

 

Prasyarat untuk isteri memohon mutaah di Malaysia adalah seperti yang berikut:

(a) wujud perkahwinan yang sah;

(b) berlaku perceraian bukan berpunca daripada isteri;

(c) berlaku perceraian hidup;

(d) berlaku persetubuhan;

(e) perceraian bukan disebabkan oleh suami papa/miskin.

 

APAKAH FAKTOR YANG MENGGUGURKAN HAK MUTAAH?

 

Faktor yang menggugurkan hak mutaah adalah seperti yang berikut:

(a) Isteri yang nusyuz yang disabitkan oleh Mahkamah Syariah

(b) Isteri yang diceraikan sebelum bersetubuh dan mas kahwin disebut dalam akad;

(c) Isteri murtad;

(d) Perceraian secara tebus talak.

 

BAGAIMANAKAH CARA UNTUK MENENTUKAN KADAR MUTAAH ITU?

 

Tidak terdapat suatu panduan tertentu yang boleh dijadikan formula tetap untuk menentukan kadar dalam pemberian mutaah di sisi syara’ daripada seorang bekas suami kepada seorang isteri yang diceraikan. Kadar mutaah berdasarkan pertimbangan persetujuan bersama. Menurut satu pendapat dalam Mazhab Imam Syafie, adalah sebanyak 30 dirham dan harus memberi melebihi separuh daripada kadar mahar. Namun begitu, jika berlaku perselisihan, maka hakim menentukan berdasarkan prinsip umum yang menyatakan bahawa sesuatu pemberian hendaklah diasaskan kepada –

(a) Kemampuan suami;

(B) Status pasangan;

(C) Tempoh perkahwinan;

(D) Pengorbanan isteri.

 

Sepertimana maksud ayat dalam Surah al-Baqarah 236:

“Walaupun, demikian, hendaklah kamu memberi “Mutaah” (pemberian saguhati) kepada mereka (yang diceraikan itu) iaitu suami yang senang (hendaklah memberi saguhati itu) menurut ukuran kemampuannya, sebagai pemberian saguhati menurut yang patut, lagi menjadi satu kewajipan atas orang-orang (yang mahu) berbuat kebaikan”.

                                  

 

APAKAH PERUNTUKAN MENGENAI MUTAAH DALAM UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM?

Peruntukan mengenai Mut'ah pada umumnya temaktub dalam semua Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri-Negeri. Seksyen 56 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984, misalnya menyebut –

 

“Sebagai tambahan kepada haknya untuk memohon nafkah, seseorang perempuan yang telah diceraikan tanpa sebab yang patut oleh suaminya boleh memohon mutaah atau pemberian sagu hati kepada Mahkamah, dan Mahkamah boleh, selepas mendengar pihak-pihak itu dan apabila berpuas hati bahawa perempuan itu telah diceraikan tanpa sebab yang patut, memerintahkan suami membayar sejumlah wang yang wajar dan patut mengikut Hukum Syarak".


RUJUKAN

1.      Mohd Kharul Anuar Bin Ismail, Kefahaman Wanita Terhadap Peruntukan Hak Selepas Bercerai Menurut Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Kelantan No. 6/2002: Kajian Di Kota Bharu, Jabatan Syariah Dan Undang-Undang Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, 2014. Kuala Lumpur.

 

2.      Profesor Tan Sri Datuk Ahmad Ibrahim, Undang-Undang Keluarga Islam Di Malaysia, 1999, Lexis Nexis, Petaling Jaya Selangor.

 

3.      www.Jbg.gov.my

TAULIAH PEGUAM SYARIE SELANGOR

 Assalamualaikum.... Pentauliahan Peguam Syarie Negeri Selangor antara yang berprestij selain Wilayah Persekutuan, mungkin disebabkan kelaya...