Ahad, 20 Disember 2020

MASTER ATAU DAIJ




Tidak dinafikan, ilmu adalah sangat penting dalam kehidupan didunia ini, manusia memandang manusia yang lain berdasarkan kepada taraf ilmu dan tahap pencapaian yang diperolehi mereka, maka layanan juga akan berubah berdasarkan kepada taraf tersebut, perkara ini sememangnya tidak dinafikan, sekiranya perkara ini dibuat kajian lapangan, tentu sekali graf atau statistik mengatakan pencapaian sangat penting kepada taraf seseorang. Walau bagaimanapun, perkara ini hanya pandangan orang lain terhadap seseorang individu tersebut, tetapi dalam hal ini, ianya  bergantung kepada niat seseorang dan arah tujuan individu tersebut yang menjadi objektif utama yang mendorong mereka untuk sambung belajar.


Namun begitu, saya tidak ingin bercerita berkenaan lain bidang,  kerana saya tidak mahir berkaitan kelulusan dan sebagainya dalam bidang lain, disini saya hanya ingin fokuskan kepada bidang undang-undang sahaja. Perkara ini diakui, soal sambung pelajaran telah menjadi dilema kepada rata-rata graduan lepasan undang-undang atau Syariah, selain pening memikirkan soal pekerjaan, perkara ini juga menjadi satu punca membuatkan mereka stress untuk membuat pilihan, pilihan yang terbaik perlulah didahului dengan pemikiran yang dalam sebelum membuat keputusan. Perkara ini juga berlaku dalam pemilihan pengkhususan terbaik. Yang mana lagi bagus? sambung master atau sambung Diploma lanjutan selepas ijazah guaman syarie?


Ye, ramai graduan-graduan lepasan ijazah yang sambung belajar ambik master, ambik DAIJ dan seumpamanya, saya tidak menghalang anda menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi, tetapi, pastikan anda tahu tujuan anda menyambung pelajaran tersebut. Untuk menambah nilai diri atau sekadar niat kerana Allah aku nak belajar? Ye tidak salah niat belajar kerana Allah itu yang sepatutnya, tetapi itu perkara ruh. Apakah matlamat sebenar anda sambung belajar? 



Sekadar ikut ikutan sebab kawan sambung, aku nak sambung juga? Tetapi objektif sebenar sambung pelajaran tersebut tidak tahu disebab ikut ikut orang sahaja? Perkara ini salah, pastikan anda sambung belajar, anda tahu matlamat utama anda mahu sambung diperingkat apa dan dalam bidang apa? Adakah ianya berbaloi kepada anda? Ada nilai ke aku sambung belajar bidang ini? apa aku nak dengan sambung belajar? Sambung belajar bagi orang yang sudah bekerja tidak begitu menjadi masalah. Tetapi sekiranya anda masih belum bekerja. Syarikat lebih memerlukan pekerja yang berpengalaman. Fikirkanlah.




Sekiranya anda mahu bekerja dalam syarikat swasta terutamanya, mereka lebih menilai anda berdasarkan kepada pengalaman anda dan bukan tahap kelulusan anda, bagi mereka, pengalaman lebih penting kepada pertumbuhan syarikat adalah dengan mengambil pekerja yang berpengalaman dan bukannya tahap kelulusan seseorang, cukuplah seseorang individu itu mempunyai ijazah sarjana muda sahaja. Kerana ilmu yang diperolehi di universiti hanyalah sekadar teori sahaja dan bukan praktikal. Walau bagaimanapun, perkara ini berbeza, kepada seseorang yang telah bekerja dan mahu menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi untuk naik gaji dan naik pangkat.




Perkara ini berbeza sekiranya anda sememangnya mempunyai impian untuk bergelar sebagai seorang pensyarah, untuk menjadi seorang pensyarah, anda diwajibkan mempunyai sekarang-kurangnya master dalam bidang tersebut sekiranya ingin bekerja bersama Institut pengajian tinggi awam, bagi sesetengah kolej biasa menerima lepasan ijazah sarjana muda sebagai pensyarah di kolej tersebut, namun, kolej Universiti juga tidak menerima lepasan ijazah sebagai pensyarah. Sekiranya ini impian anda, maka sambunglah belajar dalam jurusan yang anda suka untuk belajar dan mengajar orang lain, ambillah master.




Walau bagaimanapun, sekiranya ingin menjadi seorang peguam syarie, anda tidak perlu mengambil master, tetapi sambung lah Diploma lanjutan guaman Islam, setiap universiti berbeza nama kursus yang diberikan tetapi ianya bidang pengkhususan yang sama, tetapi sekiranya di UIAM dan UKM, mereka memberikan dua pengkhususan berbeza, iaitu DSLP dan DAIJ, DSLP khusus kepada yang nak bergelar sebagai Peguam Syarie sahaja dan DAIJ boleh jadi Hakim dan Peguam Syarie. Pengkhususan ini ditawarkan dibeberapa buah universiti tempatan dan lulus MQA, iaitu UIAM, UKM, USIM, UITM dan yang terbaru USAS.




Walau bagaimanapun, untuk bergelar sebagai seorang peguam syarie, anda tidak diwajibkan mempunyai sijil DAIJ, sijil ini hanya satu kelebihan sahaja, sijil ini saya akui mempunyai kelebihan tersendiri, antara kelebihannya, bagi sesetengah negeri, memerlukan sijil ini bagi melayakkan anda ditauliahkan sebagai Peguam Syarie di negeri tersebut, perkara ini boleh disemak dalam Kaedah-kaedah Peguam Syarie negeri-negeri.




Namun begitu, sekiranya anda memang nak tambah ilmu dan rajin belajar, anda boleh ambil kedua-duanya, tetapi, saya tekankan dan saya nasihatkan, anda wajib bekerja dahulu selepas tamat ijazah sarjana muda, kerana kelulusan master tidak berguna kepada pekerjaan yang memerlukan ijazah sarjana muda sahaja, umur makin meningkat, takkan lah kita sekadar belajar sahaja dan tidak mahu bekerja, jika anda sambung terus tanpa bekerja, anda menyebabkan masa anda terbuang, tanpa pengalaman, sukar untuk dapatkan pekerjaan. Yang sebetulnya, bekerja dan kemudian sambung belajar dan pastikan kursus yang anda ambil akan memberi nilai kepada anda dalam pasaran pekerjaan, kerana manusia perlu hidup dan nak hidup perlukan wang, bagaimana untuk dapatkan wang? tentu sekali perlu bekerja.

Tiada ulasan:

TAULIAH PEGUAM SYARIE SELANGOR

 Assalamualaikum.... Pentauliahan Peguam Syarie Negeri Selangor antara yang berprestij selain Wilayah Persekutuan, mungkin disebabkan kelaya...