Rabu, 29 September 2021

TUNTUTAN MUT'AH ISTERI

 

Mut'ah Isteri


TAJUK: MUT'AH

 

Tuntutan mut’ah di Mahkamah Syariah adalah antara salah satu tuntutan utama yang dibuat selepas perceraian dan saya yakin masih ramai masyarakat awam yang belum mengetahui berkenaan kebolehan untuk membuat tuntutan ini, disini saya ingin berikan sedikit info atau penjelasan berkenaan tuntutan Mutaah ini. Sebelum membuat tuntutan anda semua perlu memahami apakah Mutaah, bila perlu dituntut, hukum dan yang berkenaan.

 

APAKAH YANG DIMAKSUDKAN DENGAN MUTAAH?

 

Mutaah bermaksud suatu pembayaran atau pemberian sagu hati yang mana ianya diberikan oleh bekas suami kepada bekas isterinya selepas mereka bercerai (hidup) sama ada berupa wang atau pun barang. Sagu hati mutaah ini ianya dikira sebagai bayaran yang wajib apabila perceraian itu berlaku antara pasangan suami isteri dan ianya bukan berpunca daripada kesalahan pihak bekas isteri seperti "Nusyuz".

 

MAKA, APAKAH HUKUM MUTAAH?

 

Menurut Jumhur ulama' menyatakan hukum asal mutaah ialah sunat, namun begitu, ianya wajib diberikan sekiranya sebelum disetubuhi dan mas kahwinnya tidak disebut dalam akad. Manakala dalam keadaan lain pemberian Mutaah ini sunat. Walau bagaimanapun, perkara ini meurpakan suatu amalan yang digalakkan terhadap suami yang telah menceraikan isterinya. Alasan pendapat ini disandarkan kepada ayat 236 surah Al-Baqarah yang bermaksud:

 

Hendaklah kamu memberikan Mutaah (iaitu pemberian sagu hati) kepada mereka yang diceraikan itu, iaitu suami yang senang hendaklah memberikannya menurut kemampuan mereka dan bagi suami yang susah menurut kemampuannya sebagai pemberian sagu hati menurut apa yang patut dan menjadi satu kewajipan ke atas orang yang mahu berbuat demikian”.

 

Berdasarkan pendapat Imam Shafie, mutaah itu wajib diberikan kepada isteri sama ada dia diceraikan sebelum atau selepas disetubuhi, sama ada diceraikan melalui talaq atau seumpama talaq dengan syarat-syarat tertentu dan sama ada sudah ditentukan maharnya atau belum. Mut'ah boleh diberikan dalam bentuk wang, pakaian dan barang lain.


Menurut Ibn Qasim, mutaah adalah hak isteri yang boleh dipusakai dan sekiranya jandanya meninggal dunia, (bercerai ketika hidup) maka hendaklah dibayar kepada waris-warisnya. Manakala pendapat Imam Hanafi ianya adalah sunat, walau bagaimanapun, berdasarkan pendapat-pendapat yang disebut, maka jelaslah ianya merupakan suatu yang dituntut oleh Syara’. Berdasarkan Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 241 bermaksud:

“Dan isteri-isteri yang diceraikan berhak mendapat mutaah (pemberian sagu hati) dengan cara yang patut, sebagai satu tanggungan yang wajib atas orang-orang yang bertaqwa”.

 

Dalam ayat lain, Surah al-Ahzab ayat 49 bermaksud:

“Oleh itu, berilah “mutaah (pemberian sagu hati) kepada mereka, dan lepaskanlah mereka dengan cara yang sebaik-baiknya”.

                                   

 

APAKAH TUJUAN MUTAAH ITU YANG SEBENARNYA?

 

Mutaah bertujuan untuk meringankan sedikit beban yang ditanggung oleh bekas isteri akibat diceraikan oleh bekas suaminya untuk memulakan hidup barunya. Dengan pemberian mutaah ini kepada bekas isteri –

(a) akan membolehkan isteri itu untuk berdikari dan memulakan hidup baru selepas bercerai;

(b) akan mengelakkan prasangka buruk masyarakat terhadap isteri tersebut bahawa perceraian yang berlaku adalah berpunca daripada kesalahan isteri;

(c) ia merupakan penghargaan daripada suami atas sumbangan dan peranan isteri.

 

APAKAH PRASYARAT UNTUK ISTERI MEMOHON MUTAAH DI MALAYSIA?

 

Prasyarat untuk isteri memohon mutaah di Malaysia adalah seperti yang berikut:

(a) wujud perkahwinan yang sah;

(b) berlaku perceraian bukan berpunca daripada isteri;

(c) berlaku perceraian hidup;

(d) berlaku persetubuhan;

(e) perceraian bukan disebabkan oleh suami papa/miskin.

 

APAKAH FAKTOR YANG MENGGUGURKAN HAK MUTAAH?

 

Faktor yang menggugurkan hak mutaah adalah seperti yang berikut:

(a) Isteri yang nusyuz yang disabitkan oleh Mahkamah Syariah

(b) Isteri yang diceraikan sebelum bersetubuh dan mas kahwin disebut dalam akad;

(c) Isteri murtad;

(d) Perceraian secara tebus talak.

 

BAGAIMANAKAH CARA UNTUK MENENTUKAN KADAR MUTAAH ITU?

 

Tidak terdapat suatu panduan tertentu yang boleh dijadikan formula tetap untuk menentukan kadar dalam pemberian mutaah di sisi syara’ daripada seorang bekas suami kepada seorang isteri yang diceraikan. Kadar mutaah berdasarkan pertimbangan persetujuan bersama. Menurut satu pendapat dalam Mazhab Imam Syafie, adalah sebanyak 30 dirham dan harus memberi melebihi separuh daripada kadar mahar. Namun begitu, jika berlaku perselisihan, maka hakim menentukan berdasarkan prinsip umum yang menyatakan bahawa sesuatu pemberian hendaklah diasaskan kepada –

(a) Kemampuan suami;

(B) Status pasangan;

(C) Tempoh perkahwinan;

(D) Pengorbanan isteri.

 

Sepertimana maksud ayat dalam Surah al-Baqarah 236:

“Walaupun, demikian, hendaklah kamu memberi “Mutaah” (pemberian saguhati) kepada mereka (yang diceraikan itu) iaitu suami yang senang (hendaklah memberi saguhati itu) menurut ukuran kemampuannya, sebagai pemberian saguhati menurut yang patut, lagi menjadi satu kewajipan atas orang-orang (yang mahu) berbuat kebaikan”.

                                  

 

APAKAH PERUNTUKAN MENGENAI MUTAAH DALAM UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM?

Peruntukan mengenai Mut'ah pada umumnya temaktub dalam semua Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri-Negeri. Seksyen 56 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984, misalnya menyebut –

 

“Sebagai tambahan kepada haknya untuk memohon nafkah, seseorang perempuan yang telah diceraikan tanpa sebab yang patut oleh suaminya boleh memohon mutaah atau pemberian sagu hati kepada Mahkamah, dan Mahkamah boleh, selepas mendengar pihak-pihak itu dan apabila berpuas hati bahawa perempuan itu telah diceraikan tanpa sebab yang patut, memerintahkan suami membayar sejumlah wang yang wajar dan patut mengikut Hukum Syarak".


RUJUKAN

1.      Mohd Kharul Anuar Bin Ismail, Kefahaman Wanita Terhadap Peruntukan Hak Selepas Bercerai Menurut Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Kelantan No. 6/2002: Kajian Di Kota Bharu, Jabatan Syariah Dan Undang-Undang Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, 2014. Kuala Lumpur.

 

2.      Profesor Tan Sri Datuk Ahmad Ibrahim, Undang-Undang Keluarga Islam Di Malaysia, 1999, Lexis Nexis, Petaling Jaya Selangor.

 

3.      www.Jbg.gov.my

TUNTUTAN GANTIRUGI PERTUNANGAN

 

                             TUNTUTAN GANTIRUGI INGKAR PERTUNANGAN

 PENGENALAN

Pertunangan adalah satu ungkapan yang menyeru kepada pernikahan iaitu pernyataan atau permintaan dari salah seorang individu lelaki atau perempuan dengan niat untuk berkahwin sama ada menyatakan dengan sendiri atau melalui perantaraan orang lain, kebiasaan pertunangan bermula dari pihak lelaki menyatakan hasrat tersebut, tetapi tidak menjadi kesalahan sekiranya perempuan yang mendahuluinya sepertimana sunnah Rasullullah s.a.w dipinang oleh Siti Khadijah. Pertunangan adalah satu perjanjian diantara dua pihak, pihak lelaki dan perempuan untuk melangsungkan perkahwinan, Bagi menjaga hak individu, maka undang-undang membenarkan pihak yang menanggung kerugian untuk membuat tuntutan gantirugi tersebut. Hal ini termaktub dalam enakmen undang-undang keluarga Islam.

 

DEFINISI

 

Hal ini disebut dalam bahasa Arab sebagai “al Khitbah” yang memberi maksud permulaan untuk bernikah, “al khitbah diterjemahkan dalam bahasa Melayu bererti “melamar” untuk dijadikan pasangan hidup, ia juga bermakna meminta persetujuan dari pasangan tersebut menjadi pasangan suami atau isteri, ianya menzahirkan/mengiklankan kehendak seseorang kepada seseorang yang lain untuk dijadikan pasangan hidup.

 

Hal ini tidak bertentangan dengan hukum syarak, malah perkara ini ada ditulis dalam hadis yang digunakan pada zaman para sahabat, Islam membenarkan pertunangan ini sebagai cara pasangan dan keluarga pasangan mengenali antara satu sama lain sebelum melanjutkan ke alam pernikahan, tetapi malangnya pada hari ini pertunangan disalah ertikan, dengan adanya ikatan pertunangan, bermaksud adanya lesen untuk mereka berdua-duaan, berpegang-pegangan tangan bersentuhan melakukan antiviti bersama seperti telah menjadi suami dan isteri.

 

Walau bagaimanapun, mengikut adat melayu, pertunangan mestilah diadakan majlis dan perkenalan antara kedua-dua keluarga lelaki dan perempuan bersama pertukaran dulang, sebagai contoh perempuan bagi 7 dulang dan lelaki 5 dulang. Oleh itu, sekiranya pertunangan tersebut dibatalkan oleh salah satu pihak, pihak yang teraniaya dibolehkan membuat tuntutan gantirugi tersebut setakat kerugian yang ditanggung olehnya. Pertunangan merupakan satu perjanjian/kontrak kedua-dua belah pihak untuk melangsungkan perkahwinan.

 

Walaupun, pertunangan adalah wa‘d gayr mulzim (atau janji yang tidak mesti disempurnakan/tidak mengikat) dan bukan  suatu  aqad  (atau kontrak yang mengikat) yang mewajibkan pernikahan, kedua-dua pihak yang bertunang juga mempunyai  hak dalam  membatalkan  pertunangan.  Namun begitu, ianya masih dikira satu kontrak / perjanjian, maka  jumhur  ulama berpendapat bahawa hukum membatalkan pertunangan adalah harus. Walau  bagaimanapun,  Islam  amat  menitikberatkan  tuntutan  memenuhi  janji. Pembatalan pertunangan melukai perasaan orang yang diputuskan pertunangan, berkemungkinan boleh menyebabkan kemurungan dan menyebabkan kerugian kepada pihak dimungkiri tersebut. Hal ini amat bertentangan dengan konsep saudara seIslam yang amat menjaga persaudaraan sesama Islam.

 


DALIL-DALIL BERKAITAN PERJANJIAN

 

Tiada dalil khusus untuk kemungkiran pertunangan, tetapi dalil berkaitan kemungkiran janji ada ditulis dalam Al Quran dan juga hadis, kerana pertunangan merupakan salah satu perjanjian antara pihak-pihak untuk berkahwin dan melibatkan kos melaksanakan majlis pertunangan tersebut seperti kos hantaran, kos majlis dan sebagainya. Walau bagaimanapun, dalam kalangan ilmuan mazhab-mazhab ada menyebut berkenaan mungkir pertunangan ini.

 

a.    AL QURAN

 

“Wahai orang yang beriman, tunaikan serta sempurnakanlah perjanjian-perjanjian kamu”.                

   (Surah al Maidah 5: 1)

b.    HADIS

 

“ Orang-orang Islam terikat dengan perjanjian mereka dan perkara-perkara yang mana mereka telah bersetuju”

(Riwayat Muslim)

 

c.    PANDANGAN MAZHAB

 

Terdapat beberapa mazhab membincangkan tentang perkara ini sebagaimana berikut:

 

1.    Mazhab Hanafi

 

Jika hadiah-hadiah pertunangan itu masih sempurna dan belum menukar keadaannya atau dimakan atau dimusnahkan, pemberi boleh meminta balik hadiah-hadiah pertunangan itu, jika kemungkiran janji oleh pihak yang lain itu. Sebagai contoh, rantai leher atau cincin atau gelang atau jam tangan atau kain atau barang-barang seakannya boleh diminta dipulangkan jika barang itu masih ada, akan tetapi, jika barang itu tidak ada lagi atau telah dimakan, dijual atau hilang atau digunakan untuk membuat baju, tidak ada hak lagi meminta balik barang itu.

 

2.    Mazhab Maliki

 

Sekiranya kemungkiran janji itu dari pihak lelaki, lelaki tersebut tidak berhak meminta balik hadiah-hadiah yang diberi olehnya. Sebaliknya, jika kemungkiran itu oleh pihak perempuan, lelaki itu boleh meminta balik hadiah-hadiah yang diberi olehnya, sama ada hadiah itu masih ada atau tidak. Jika hadiah itu telah dimusnahkan, harganya harus dibayar. Akan tetapi, semua itu tertakluk kepada adat yang diikuti dalam masyarakat itu.

 

3.    Mazhab Shafie

 

Hadiah-hadiah tersebut hendaklah dikembalikan sama ada masih wujud atau tidak. Jika barang-barang itu masih wujud, barang-barang tersebut hendaklah dikembalikan. Jika barang-barang tersebut telah dimakan atau digunakan atau telah hilang, harganya hendaklah dikembalikan.

 


SEKSYEN BERKAITAN

 

Seksyen 61. Bidang kuasa Mahkamah Tinggi Syariah. Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003:

 

(3) Mahkamah Tinggi Syariah hendaklah—

(i) Pertunangan, Perkahwinan, ruju’, perceraian, pembubaran perkahwinan (fasakh), nusyuz, atau pemisahan kehakiman (faraq) atau apa-apa perkara yang berkaitan dengan perhubungan antara suami isteri;

 

(ii) Apa-apa pelupusan atau tuntutan harta yang berbangkit daripada mana-mana perkara yang dinyatakan dalam subperenggan (i);.

 

Seksyen 15. Pertunangan. Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003

 

Jika seseorang telah mengikut suatu pertunangan mengikut Hukum Syarak, sama ada secara lisan atau secara bertulis, dan sama ada secara bersendirian atau melalui seorang  perantaraan, dan kemudiannya enggan berkahwin dengan pihak yang satu lagi itu tanpa apa-apa sebab yang sah manakala pihak yang satu lagi bersetuju berkahwin dengannya, maka pihak yang mungkir adalah bertanggungan memulangkan pemberian-pemberian pertunangan, jika ada, atau nilainya dan membayar apa-apa wang yang telah dibelanjakan dengan suci hati oleh atau untuk pihak yang satu lagi untuk membuat persediaan bagi perkahwinan itu, dan yang demikian boleh dituntut melalui tindakan dalam Mahkamah.

 


CONTOH KES

 

SALBIAH OTHMAN LWN HAJI AHMAD ABDUL GHANI (2002)

 

Pihak perempuan telah dimungkiri janji untuk berkahwin telah membuat tuntutan gantirugi keaiban dan ganti rugi perbelanjaan yang merangkumi persiapan untuk pertunangan dan persiapan untuk perkahwinan.

 

Mahkamah Tinggi Seremban telah meluluskan permohonan Salbiah terhadap sebahagian tuntutannya yang merangkumi kos baju pengantin, tempahan persalinan, tempahan langsir dan cadar, deposit khemah dan katil serta kos jemputan merangkumi barangan runcit dan basah.

 

KESIMPULAN

 

Tuntutan ganti rugi ini boleh dibuat apabila berlaku kemungkiran terhadap ikatan pertunangan sama ada secara rasmi atau sebaliknya, maka pihak yang memungkiri pertunangan tersebut bertanggungjawab untuk membayar segala gantirugi yang telah dibelanjakan sama ada ganti rugi pertunangan atau persiapan untuk perkahwinan kepada pihak yang dimungkiri tersebut. Tuntutan ini boleh dibuat di Mahkamah Syariah.

 

Pembahagian Cerai


Dalam Islam terdapat 3 kategori perceraian, iaitu perceraian secara talaq raji’e, talaq bain sughra dan talaq bain kubra. Setiap jenis talaq berbeza dalam kewajipan beriddah dan berkabung.

a.    Talaq raj’ie ialah talaq yang boleh dirujuk kembali iaitu talaq kali pertama dan talaq kedua masih dalam tempoh iddah tanpa akad yang baru.

 

b.    Talak ba’in sughra ialah talak yang tidak boleh dirujuk. Sekiranya suami ingin kembali bersama isteri maka suami perlu menikahinya dengan akad yang baru. Contoh bagi talak ini:

i.    Talak yang diputuskan oleh Hakam

ii.   Talak melalui Khulu'

iii.  Talak yang difasakhkan oleh Hakim

iv.  Talak isteri yang belum disetubuhi

v.  Talak satu atau Talaq dua yang telah habis tempoh iddah

 

c.    Talak bain kubra ialah talak yang tidak boleh dirujuk kembali samada dalam iddah atau selepas iddah. Talak bain kubra adalah talak tiga dengan sekali lafaz atau tiga kali lafaz secara berasingan. Namun begitu, halal bagi bekas suami menikahi bekas isteri sekiranya telah melalui beberapa prosedur tersebut:

i. Iddah bersama bekas suami yang menceraikan isterinya telah tamat.

ii. Selepas selesai iddah, bekas isteri perlu berkahwin bersama lelaki lain dengan akad yang sah.

iii. Bekas isteri melakukan hubungan intim bersama suami barunya dengan persetubuhan yang sebenar.

iv.   Bercerai bersama suami baru.

v.    Iddahnya dengan suami baru telah selesai.

IDDAH

 

i.  Sekiranya wanita tersebut ada haid, tempoh/iddahnya dengan kiraan 3 kali suci.

ii. Sekiranya diceraikan dalam keadaan tidak ada haid/sakit/monopause/dibuang rahim, Iddahnya dengan kiraan 3 bulan dari tarikh disahkan perceraian tersebut.

iii. Sekiranya diceraikan dalam keadaan mengandung, Iddahnya sehingga bersalin atau keguguran kandungan.

iv.  Sekiranya diceraikan belum disetubuhi, tiada iddah.

v. Istihadhah: sekiranya wanita tersebut mengetahui perjalanan darah, 3 kali suci, manakala sekiranya tidak mengetahui perjalanan darah, 3 bulan.

vi. Sekirnya kematian suami semasa berada dalam tempoh `iddah talak raj`ie dan tidak mengandung, ada haid/tiada haid ialah 4 bulan 10 hari

vii.Sekiranya kematian suami semasa berada dalam tempoh `iddah talak ba’in dan tidak mengandung, ada haid/tiada haid ialah 3 kali suci/ 3 bulan

viii. Sekiranya Kematian suami sama ada telah disetubuhi atau belum dan tidak mengandung ialah 4 bulan 10 hari

ix. Sekiranya Kematian suami ketika mengandung dikira sehingga melahirkan anak atau keguguran

 

x. Sekiranya Suami hilang, hendaklah tunggu selama tempoh 4 tahun keatas dan beriddah 4 bulan 10 hari

 

 

BERKABUNG

 

a. Wanita dalam iddah talaq raj’ie mempunyai batas hukum, kerana dalam tempoh tersebut pasangan bercerai cara ini masih boleh dirujuk. Perkara-perkara yang perlu dipatuhi sebagaimana berikut:

 

i.  Haram menerima pinangan lelaki lain

ii.  Haram berkahwin dengan lelaki lain

iii. Tidak boleh berkabung tetapi didorong berhias bagi membangkitkan keinginan suami rujuk semula.

 

b.    Wanita dalam iddah talaq bain juga mempunyai batas:

i.   Haram menerima pinangan lelaki lain
ii.  Haram berkahwin dengan lelaki lain
iii. Disunatkan berkabung

 

c.    Wanita kematian suami:

i.   Haram menerima pinangan lelaki lain

ii.  Haram berkahwin dengan lelaki lain

iii. Tidak dibenarkan keluar rumah kecuali dalam batas had  keperluan sahaja.

iv.  Wajib berkabung.

      v.  Dilarang berhias berlebihan seperti memakai wangian, berpakaian berwarna-warni, warna terang, memakai barang kemas, bersolek dan perbuatan-perbuatan yang dianggap berhias kepada masyarakat, kerana mengelak dari fitnah. Walau bagaimanapun perlu menjaga kebersihan diri.

  

2. Pada zaman jahiliah, wanita perlu berkabung dengan cara yang sangat buruk dan tercela jika berlaku kematian suami. Selama satu tahun mereka tidak boleh berwangi-wangian, berdandan dan bercampur gaul dengan masyarakat. Selepas tempoh itu, barulah mereka keluar rumah. Namun, setelah kedatangan Islam, keadaan itu diperbaiki dimana masa edah ditetapkan hanya satu pertiga daripada yang diamalkan pada zaman jahiliah sementara isteri yang kematian suami hendaklah menyempurnakan tiga perkara iaitu edah, berkabung dan menetap di rumah suami.

 

    Hikmah pensyariatan iddah kepada wanita adalah bagi memastikan rahim perempuan kosong daripada benih suami yang menceraikannya atau yang sudah meninggal dunia. Ini bagi mengelakkan terjadi percampuran benih antara suaminya dahulu dan suami yang baharu jika dia berkahwin sebelum tempoh iddah selesai, bagi mengelakkan kekeliruan zuriat dan menjaga keturunan. Tempoh berkabung sebagai tanda menjaga hak suami dan menyatakan kesetiaan isteri kepada suaminya kerana kepergian suami untuk selama-lamanya.

 

    Hal ini juga bagi menyelamatkan wanita tersebut daripada tuduhan fitnah, walau bagaimanapun diharuskan keluar dengan alasan mendesak seperti ke klinik, membeli barang keperluan atau ke tempat kerja (bagi yang bekerja). Setelah selesai iddah, wanita tersebut boleh menentukan kehidupan yang mematuhi garisan undang-undang Allah SWT serta syariat agama. Dia diharuskan menghiaskan dirinya mengikut syarat dibenarkan kepada wanita Islam, boleh menerima pinangan dan berkahwin dengan sesiapa yang disukainya.

 

3. Islam menggalakkan keharmonian dan sangat menjaga maruah umatnya terutama kaum wanita, berkabung adalah satu perbuatan yang wajib dilakukan setelah kematian suami, sekiranya tidak dilaksana tuntutan tersebut, ianya merupakan satu dosa kerana melanggar perintah Allah.

 

4. Perkahwinan tersebut sememangnya tidak sah sekiranya berlaku dalam tempoh tersebut sebelum genap 4 tahun, kiraan anggapan kematian ditetapkan selama tempoh 4 tahun atau lebih, sekiranya berlaku juga perkara ini, perkahwinan tersebut perlu dibatalkan serta merta.

 

5. Dalam tempoh berkabung bukan secara keseluruhan dilarang untuk keluar, tetapi dibenarkan sekiranya atas urusan penting termasuklah pergi bekerja untuk mencari rezeki, Islam melarang meminta-minta selagi mempunyai khudrat tetapi dibenarkan untuk menerima pemberian yang halal.

 

 


PEGUAM TARIK DIRI

 

Peguam Tarik Diri



Adakah boleh peguam tarik diri sekiranya kes saya belum selesai?

Jawapannya ye boleh. 

Perkara ini berdasarkan kepada peruntukan Seksyen 38 Enakmen Tatacara mal Mahkamah Syariah (negeri Selangor) 2003 yang menyatakan bahawa:

Seksyen 38. Pelepasan atas permohonan Peguam Syarie 

"Jika Peguam Syarie yang mewakili suatu pihak memohon untuk dilepaskan, dia hendaklah memfailkan suatu notis penarikan diri dalam Borang MS8 dan menyampaikan suatu salinan notis kepada pihak yang diwakilinya."


Sebab apa Peguam boleh tarik diri?

Peguam boleh tarik diri sekiranya Peguam tersebut beranggapan bahawa beliau tidak lagi mampu untuk kendalikan kes tersebut disebabkan terdapat kesulitan yang patut. 


Kesulitan apa? Kesulitan seperti:

1. Telah tidak mampu untuk kendalikan client tersebut disebabkan perangai atau keadaan client tersebut. Contoh banyak songeh sangat, suka ganggu peguam waktu tengah malam buta, gangguan seksual dan sebagainya membuatkan Peguam tersebut tertekan.

2. Client tersebut tidak membuat bayaran atau tidak menjelaskan bayaran atau tunggakan yang perlu untuk peguam tersebut proceed urusan tuntutan tersebut.

3. Peguam tersebut mendapati sememangnya kes tersebut tidak boleh dikendalikan lagi atas faktor kesihatan dan kekangan Peguam Tersebut.

4. Peguam tersebut mendapati kes tersebut sudah tiada jalan penyelesaian untuk menang.

5. Lain-lain alasan yang wajar menyebabkan Peguam tersebut TERPAKSA melepaskan kes tersebut.

Peguam tidak akan sesuka hati melepaskan sesuatu kes tersebut sekiranya tanpa sebab munasabah, perkara itu saya kategorikan ianya mustahil untuk Peguam berbuat demikian.

Perkara ini boleh dirujuk No. 7 Arahan Amalan No.4 Tahun 2002.

No. 7. Peguam Syarie tidak boleh menerima arahan jika kelakua professionalnya mungkin dipersoalkan.

Peguam Syarie tidak boleh menerima sesuatu arahan dalam sesuatu kes jika dia tahu atau ada sebab bagi mempercayai bahawa kelakuan professionalnya sendiri mungkin dipersoalkan.

No. 8 Peguam Syarie tidak boleh menerima arahan (brief / kehendak kelayan / kemahuan kelayan) jika dia sukar menyenggara kebebasan profesionalnya.

(a) Peguam Syarie tidak boleh menerima sesuatu arahan jika penerimaan itu menyebabkan atau akan menyebabkan dia sukar untuk menyenggara kebebasan professionalnya atau bertentangan dengan kepentingan pentadbiran keadilan yang terbaik.


wang yang dah saya bayar kepada peguam untuk uruskan kes saya boleh dapat balik ke? 

Tidak boleh, ini bukannya deposit beli rumah atau sewa ye, walaupun dipanggil deposit, tetapi wang tersebut telah digunakan untuk urusan proses kes tersebut, wang yang diberikan adalah wang yang perlu untuk peguam tersebut uruskan kes client tersebut, segala urusan yang telah dilaksanakan walaupun kes belum selesai, urusan telah dibuat dan kerja telah dibuat, bayaran tersebut adalah khidmat yang telah dilaksanakan peguam tersebut.


Melainkan client tersebut telah habis bayar sekali gus untuk kes tersebut, kebiasaanya jarang berlaku, sekiranya berlaku, maka client tersebut boleh berbincang bersama dengan peguam tersebut berkenaan baki bayaran yang telah dibayar.


Setiap kali bayaran dibuat pastikan resit akan diberi kepada client, kalau kata peguam tidak beri resit satu perkara luar biasa, so hati-hati adakah benar ianya peguam atau scammer sahaja. Resit yang dimaksudkan adalah resit bayaran khidmat bersama Peguam tersebut.


Kalau kata peguam tersebut sememangnya telah melanggar amanah yang diberi boleh buat aduan kepada pihak berwajib berserta alasan dan bukti yang kukuh kepada pihak berwajib.

Isnin, 27 September 2021

PERJALANAN KERJAYA PEGUAM SYARIE

 

peguam syarie


Pengenalan

Kerjaya Peguam Syarie pada suatu ketika dahulu merupakan kerjaya yang jarang diambil masyarakat menjadikan ianya sebagai kerjaya utama, pada ketika dahulu orang yang meneruskan dalam kerjaya ini tidak ramai.

Namun, pada hari ini, kerjaya sebagai Peguam Syarie telah menjadi salah satu pilihan utama para pelajar universiti yang mengambil jurusan syariah atau syariah dan undang-undang sama ada yang belajar di luar negara atau dalam negara, pada hemat saya, pada ketika dahulu para pelajar tidak begitu terdedah dengan kerjaya Guaman Syarie ini untuk meneruskan kerjaya ini yang termasuk dalam kerjaya professional ini.

Justeru itu juga, berdasarkan pengalaman penulis sendiri, ada dari kalangan pelajar yang mengambil jurusan ini pada asalnya tidak berminat dan tiada niat untuk menceburi bidang guaman, tetapi disebabkan tidak tahu untuk kerja apa, maka mereka meneruskan juga dalam bidang guaman ini demi kelangsungan hidup tanpa matlamat dan impian yang nyata dalam melayari bidang cabaran ini.

Sebelum penulis ceritakan sedikit sebanyak berkaitan bidang guaman syarie ini, perlu tahu Siapa Peguam Syarie? Peguam Syarie adalah pihak yang mewakili pihak-pihak yang mempunyai masalah atau isu di Mahkamah Syariah. Secara ringkasnya dapat difahami Peguam yang menguruskan hal-hal orang Islam di Mahkamah Syariah sama da kes jenayah atau mal/sivil syariah.


Siapa Boleh Jadi Peguam Syarie?

Tentu sekali untuk menjadi peguam syarie wajib mempunyai ijazah sarjana muda, jika diploma atau STAM atau STPM atau sijil tidak layak untuk kerjaya ini.

Kedua, wajib ijazah dalam bidang syariah atau syariah dan undang-undang dari dalam atau universiti tempatan yang diiktiraf MQA.

Ketiga, perlu ambil diploma guaman Islam sekiranya bukan dari Ijazah Syariah dan Undang-Undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.


Pengalaman Penulis Sendiri

Bernulanya perjalanan penulis dalam bidang ini ialah melalui Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) di Maahad di Kelantan selama 1 tahun. (Kelantan)

Kemudian melanjutkan pelajaran ke Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Syariah Dengan Undang-Undang (Kepujian) selama 4tahun pengajian. (Selangor)

Seterusnya, penulis menjalani latihan kehakiman dan guaman Islam / latihan industri selama 3bulan di firma guaman yang memfokuskan litigasi sivil sahaja berkaitan kes kemalangan dan juga jual beli hartanah.(Kelantan). Pastikan Firma tersebut juga mempunyai sijil Syariah Undang-Undang.

Setelah selesai, penulis menyambung pelajaran dalam Diploma Kehakiman dan Guaman Islam di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia selama 1tahun 8bulan.(Kelantan)

Selesai sahaja pengajian tersebut, penulis menjalani Latihan Dalam Kamar selama 1tahun di firma guaman di Kuala Lumpur, firma tersebut hanya memfokuskan berkenaan litigasi kes-kes Syariah sahaja.(Kuala Lumpur)

Setelah selesai latihan tersebut, penulis meneruskan lagi langkah sebagai pembantu syariah selama 3bulan di Seremban. (Negeri Sembilan)

Kemudian penulis teruskan mencari pengalaman dan ilmu berkaitan undang-undang di firma guaman di Kuala Lumpur. Dalam bidang guaman ini, menjadi perkara biasa sekiranya bertukar-tukar firma dan kesana kesini. Perkara ini secara tak langsung mendewasakan penulis untuk meneruskan dalam bidang ini.

Kalau nak diceritakan, banyak kerja penulis lakukan sebelum bergelar peguam syarie, penulis juga pernah bekerja di Tenaga Nasional Berhad dalam program Skim Latihan 1 Malaysia selama 6 bulan yang juga dalam bidang undang-undang bahagian revenue litigation.

Pada masa yang sama, penulis membuat permohonan pentauliahan sebagai peguam syarie di beberapa buah negeri seperti Wilayah Persekutuan, Negeri Sembilan dan Terengganu.

Walau bagaimanapun, penulis telah mempunyai tauliah peguam syarie negeri Kelantan yang ketika penulis melanjutkan pelajaran di peringkat Diploma Kehakiman dan Guaman Islam.

Sebagai pengetahuan, memandangkan penulis lulusan Ijazah Sarjana Muda Syariah Dengan Undang-Undang, penulis boleh terus sahaja untuk menjadi peguam syarie di negeri-negeri yang tidak memerlukan sijil (DAIJ/DSLP/DIJAP/DSLA).

Tetapi penulis mengambil pendekatan bahawa seeloknya meneruskan pengajian ketika usia muda yang tidak begitu mempunyai komitmen yang besar.


Cabaran Menyelusuri Kerjaya Peguam Syarie

Pertama perlu diketahui, peguam adalah kerjaya yang melibatkan diri dengan perkhidmatan kepada manusia dan masa, bukan sekadar khidmat kepada fizikal manusia sahaja, ianya disertai dengan masalah-masalah manusia dalam pelbagai masalah dan emosi yang tidak stabil. Maka, kerjaya ini memerlukan kesabaran, kekuatan, kecekalan, ketabahan, keyakinan dan kebijaksanaan yang tinggi untuk mengendalikan yang bernama manusia. Saya jelaskan satu persatu cabaran yang perlu dihadapi sekiranya mahu masuk dalam kerjaya ini.


1. Wang/Kewangan

Saya rasa boleh saya katakan, sekiranya ingin masuk dalam kerjaya ini, wajib dari keluarga yang berkemampuan, sebab apa? Sebab perjalanan dan liku-liku untuk kerjaya ini amat memerlukan banyak wang yang keluar dan wang yang masuk? sedikit sahaja terutamanya ketika intern/latihan industri/latihan kehakiman dan guaman Islam dan latihan dalam kamar, kerana ketika ini anda hanya akan mendapat sejumlah elaun yang amat sedikit bermula RM300-RM1000, sungguh bertuah yang dapat RM1000, jarang sekali firma sediakan jumlah begitu ketika proses ini, sedangkan anda perlu membayar kos kehidupan anda sebagai seorang dewasa. Tambahan lagi bagi yang tidak tinggal bersama keluarga, pada ketika ini, amat memerlukan bantuan daripada keluarga dari sudut kewangan atau perlu lakukan kerja lain dapatkan side income.


2. Masa

Ye masa untuk bergelar peguam syarie bukan singkat, habis je ijazah sarjana muda terus jadi peguam, tidak. Untuk dapatkan satu-satu sijil peguam syarie negeri-negeri bukanlah mudah, perlu menjalani pelbagai cabaran bermula permohonan, perlu buat penampalan setiap daerah dalam negeri yang di mohon, baca afidavit depan pendaftar, kursus persediaan, menjalani ujian, temuduga, dan majlis pentauliahan akhir sekali barulah dapat bergelar sebagai peguam syarie di negeri tersebut sahaja. Setiap negeri berbeza cara dan prosedur penerimaan masuk sebagai peguam syarie, ada yang mudah dan ada yang sukar dan sangat sukar.


3. Tempat Chambering

Untuk mendapatkan tempat chambering tidak semudah abc, perlu menjalani temuduga dan bergandingan dalam perlbagai latar belakang dan juga pelbagai negeri, pada zaman penulis, merupakan zaman yang telah ramai para graduan yang mempunyai hajat dan cita-cita yang sama untuk menjadi peguam syarie. Pada ketika itu penulis bersama 7 calon dalam majlis temuduga tersebut dan Alhamdulillah rezeki memihak kepada penulis.


4. Gaji

Masyarakat memandang tinggi kepada kerjaya peguam termasuklah peguam syarie, tetapi pada hakikat sebenar, kami dalam melayari bahtera untuk menjadi peguam syarie tidak sebagaimana yang masyarakat fikirkan. Gaji para peguam yang bekerja dengan firma guaman tanpa buka firma sendiri gajinya amat sedih, tidak perlu penulis tulis disini.


5. Emosi

Sebagaimana yang penulis tulis diatas, perlukan kekuatan dalam semua perkara, kerana berhadapan dengan masyarakat yang sememangnya datang kepada kita mempunyai masalah. Pesanan penulis, jangan serap masalah tersebut tetapi cubalah untuk tempis terus dari masuk dalam kehidupan anda. Kene tahu bagaiamana untuk kendalikan anakguam, jangan kita juga turut beremosi, kita sebagai penasihat kepada mereka perlu selesaikan dengan cara yang bijak dan berdasarkan ilmu undang-undang yang kita ada. Selain itu, emosi dalam cabaran untuk dapatkan sesuatu tauliah juga penting dan lain-lain.


6. Persaingan

Perlu tahu, kerjaya peguam juga merupakan perniagaan, tetapi perniagaan berdasarkan ilmu yang ada, perniagaan professional maka perlu menjaga etika.


7. Ancaman

Peguam perlu berhadapan dalam pelbagai jenis manusia, pelbagai sikap dan perwatakan, perkara ini sedikit sebanyak akan dilalui oleh peguam, ancaman pukul, calarkan kereta, bomoh mandrem dan sebagainya, kerana pihak-pihak lawan tidak berpuas hati dengan keputusan kes atau kerana memihak kepada lawannya.


8. Godaan

Yang ini tentu ada, walaupun tidak semua peguam yang terkena, tetapi masih ada yang terkena, terutama peguam perempuan, bila masuk dunia korporat, ada saja dato’-dato’ orang kaya yang berumur ulat bulu cuba ambil kesempatan dalam kesulitan peguam tersebut, terutamanya dalam bidang yang sama yang mempunyai pangkat yang lebih tinggi. So hati-hati kene pandai tempis dan bijak menilai baik ikhlas atau ada tujuan lain.

Kesimpulan yang boleh penulis tulis disini, sekiranya anda ingin menjadi peguam, pastikan siap sedia dengan fizikal dan mental dalam cabaran-cabaran yang bakal diharungi, diatas penulis menulis secara ringkas sahaja, sekiranya ingin dicerita secara teliti sememangnya begitu panjang perlu ditulis.

TAULIAH PEGUAM SYARIE SELANGOR

 Assalamualaikum.... Pentauliahan Peguam Syarie Negeri Selangor antara yang berprestij selain Wilayah Persekutuan, mungkin disebabkan kelaya...