Ahad, 26 Disember 2021
NIKAH SINDIKET MENYUKARKAN PERNIKAHAN ANAK
BAPA KANDUNG CERAI IBU NIKAH ANAK KANDUNG
Pada 24 Jun 2021 isu ini telah menjadi gempar satu Malaysia sebanyak 20.3K telah dikongsi oleh pengguna Facebook yang mana kes ini telah ditulis di status Facebook milik seorang rakan peguam saya Nur Fatihah Az Zahra yang merupakan seorang peguam muda yang suka berkongsi pengalaman beliau mengendalikan kes-kes dibawah kendaliannya. Pelbagai isu pelik-pelik yang dikongsi beliau dalam pengendalian kes.
Untuk pengetahuan semua, pelbagai kes yang tidak masuk akal juga telah banyak berlaku di Mahkamah Syariah, kalau kita bercerita kepada orang awam biasa yang tidak pernah mempunyai kes di Mahkamah Syariah atau masyarakat yang tidak ambil tahu isu, mereka hanya menganggap kes-kes yang ada di Mahkamah Syariah hanyalah kes cerai biasa-biasa sahaja, lafaz dan cerai. Ye sememang banyak juga begitu, tetapi banyak juga perceraian berlaku disebabkan alasan-alasan yang tidak seharusnya wujud.
Namun begitu, sebagai seorang manusia, kita perlu akui, setiap manusia berbeza sikapnya, berbeza pengetahuannya, berbeza pandangannya, berjuta manusia maka berjuta ragam dan pengetahuan mereka terutamanya kita merujuk kepada isu yang melibatkan pengetahuan agama. Dibawah ini saya ingin kongsi satu isu yang saya kira jarang berlaku tetapi perlu untuk diambil peduli.
Oleh itu, tidak ketinggalan kes ini iaitu seorang bapa kandung berkahwin dengan anak kandung disebabkan telah terlanjur dan anak kandung tersebut telah disahkan mengandungkan benih bapa kandungnya manakala ibu kandung sanggup membenarkan anak kandung dan bapa kandung tadi berkahwin dan ibu kandung tadi bercerai dengan bapa kandung demi kebahagiaan anak kandung tersebut.
Makin parah masyarakat kita pada hari ini berkenaan agama dalam kekeluargaan terutamanya. Petikan status yang ditulis oleh peguam muda tersebut:-
Sabtu, 27 November 2021
HARTA SEPENCARIAN KEMATIAN
▶️
Sedikit perkongsian pengalaman handle dokumentasi kes berkenaan. Si Mati iaitu suami telah meninggal, maka, si isteri membuat tuntutan Harta Sepencarian ke atas harta-harta tersebut.
Walau bagaimanapun, harta-harta yang dituntut adalah harta yang diperolehi oleh Si Mati sebelum berlakunya perkahwinan tersebut, maka boleh ke tuntut harta tersebut sebagai harta sepencarian? Jawapannya tidak.
Perlu diingat, untuk dikategorikan sebagai Harta Sepencarian, harta tersebut mestilah diperolehi dalam tempoh perkahwinan suami dan isteri tersebut sahaja, kalau harta yang dah ada sebelum nikah, tidak dikira Harta Sepencarian.
Bila boleh mohon Harta Sepencarian ni? ada 3 keadaan dibolehkan untuk tuntut harta sepencarian iaitu poligami, pasangan meninggal dan penceraian.
Faham ke idok? Untuk kes ini, isteri menuntut Harta Sepencarian disebabkan berlakunya kematian, suami meninggalkan harta yang banyak. Jika kes kematian ni, bila Harta Sepencarian dibuat?
Boleh dituntut seusai sahaja Si Mati meninggal dunia sebelum pengagihan mengikut faraid dibuat. Jika tak boleh tuntut sebagai harta sepencarian nak buat apa dengan harta-harta tersebut? Maka akan dibahagikan secara faraid la.
#hartasepencariankematian #sinarsayariah #ayunirazak
Jumaat, 15 Oktober 2021
KEGANASAN RUMAHTANGGA
Selasa, 5 Oktober 2021
10 TAHUN TIDAK BERSAMA
Satu kisah yang saya kira boleh menghancurkan hati mana-mana isteri, yang mana kisah yang bakal saya kongsikan disini, satu kisah nyata tetapi saya ubah sedikit fakta agar tidak sebijik dengan kisah sebenar. Permulaan kepada kisah yang berlaku apabila si isteri mengambil tindakan dengan memfailkan cerai secara fasakh di Mahkamah Syariah di semenanjung Malaysia, dalam alasan permohonan penceraian tersebut adalah disebabkan suami mempunyai penyakit kelamin, dari mana asal penyakit kelamin tersebut?.
Pasangan tersebut telah bernikah lebih daripada 10 tahun dan pada awal pernikahan tersebut, pasangan tersebut hidup sebagai suami isteri yang bahagia, pergolakan ini bermula apabila si isteri terjumpa satu laporan perubatan yang menerangkan berkenaan satu penyakit, si isteri tertanya-tanya penyakit apa yang dihadapi si suami tersebut dan apa puncanya, si isteri seorang yang berpelajaran dan mempunyai ramai kenalan yang berpelajaran termasuklah dalam profesion perubatan iaitu doktor, setelah disiasat, rupa-rupanya penyakit tersebut adalah penyakit kelamin dan doktor tadi memberitahu apakah faktor-faktor yang boleh membawa kepada terkenanya penyakit tersebut, perkara ini baru sahaja terbongkar setelah 10 tahun si suami simpan rahsia tersebut.
Apa yang terjadi sebenarnya? kisahnya si suami seorang yang kerjanya sentiasa ke luar negara dan jarang berada di Malaysia, selalu berulang alik dari Malaysia dan ke luar negara selama bertahun-tahun dan gaji lebih daripada RM 50,000.00 sebulan. Seperti yang kita tahu, lelaki apabila iman kurang, isteri berada jauh disisi dan duit banyak, perkara-perkara negatif boleh berlaku dan perkara tersebut telah pun berlaku ke atas si suami tadi, si suami tadi telah melanggan perempuan disana dan bertukar-tukar perempuan. Si suami tadi, apabila pulang ke pangkuan isteri yang sah tadi, si suami tidak mahu bersama dengan isteri tadi sehingga tempoh 10 tahun perkara tersebut berlaku, namun, si isteri tadi tidak mencurigai apa-apa yang pelik terhadap suami tersebut dengan membiarkan saja. Okay tamat disitu sahaja ceritanya setelah si isteri memfailkan tuntutan cerai ke atas suami tadi. Satu saya puji si suami, dia tidak melibatkan isteri tersebut kepada penyakit tersebut, kalau bersama, maka isteri juga akan dijangkiti penyakit tersebut.
Saya kongsikan cerita ini adalah hanya sebagai pengajaran sahaja supaya berhati-hati dan selalu peka dimana suami berada dan buat, bukanlah perlu mengongkong pergerakan suami, tetapi hanya perlu ambil tahu sahaja supaya dia selalu ingat kita. Saya juga kongsikan perkara ini agar masyarakat buka mata yang perkara-perkara begini boleh berlaku dalam masyarakat kita. Saya boleh kata, kes di Mahkamah Syariah pelbagai ye, kata out station kemudian bawa balik penyakit, saya cerita hanya untuk peka sahaja. Bukan nak suruh selalu berfikir buruk terhadap suami. Lelaki dugaannya wanita, bila duit lebih sikit jika iman tak kuat maka jadilah, sebab disana disediakan tempat-tempat begitu. Maka disini, saya nak kongsi supaya anda peka apabila si suami kata nak ke lokasi-lokasi tersebut untuk diberi perhatian jika si suami kata ada urusan kerja dan sebagainya:-
1. Batam 2. Phuket 3. Bali 4. Bangkok
Kenapa? Sebab disana ada sex tourism.
Rabu, 29 September 2021
TUNTUTAN MUT'AH ISTERI
Mut'ah Isteri
TAJUK: MUT'AH
Tuntutan mut’ah di Mahkamah Syariah adalah antara salah satu tuntutan utama yang dibuat selepas perceraian dan saya yakin masih ramai masyarakat awam yang belum mengetahui berkenaan kebolehan untuk membuat tuntutan ini, disini saya ingin berikan sedikit info atau penjelasan berkenaan tuntutan Mutaah ini. Sebelum membuat tuntutan anda semua perlu memahami apakah Mutaah, bila perlu dituntut, hukum dan yang berkenaan.
APAKAH YANG DIMAKSUDKAN DENGAN MUTAAH?
Mutaah bermaksud suatu pembayaran atau pemberian sagu hati yang mana ianya diberikan oleh bekas suami kepada bekas isterinya selepas mereka bercerai (hidup) sama ada berupa wang atau pun barang. Sagu hati mutaah ini ianya dikira sebagai bayaran yang wajib apabila perceraian itu berlaku antara pasangan suami isteri dan ianya bukan berpunca daripada kesalahan pihak bekas isteri seperti "Nusyuz".
MAKA, APAKAH HUKUM MUTAAH?
Menurut Jumhur ulama' menyatakan hukum asal mutaah ialah sunat, namun begitu, ianya wajib diberikan sekiranya sebelum disetubuhi dan mas kahwinnya tidak disebut dalam akad. Manakala dalam keadaan lain pemberian Mutaah ini sunat. Walau bagaimanapun, perkara ini meurpakan suatu amalan yang digalakkan terhadap suami yang telah menceraikan isterinya. Alasan pendapat ini disandarkan kepada ayat 236 surah Al-Baqarah yang bermaksud:
“Hendaklah kamu memberikan Mutaah (iaitu pemberian sagu hati) kepada mereka yang diceraikan itu, iaitu suami yang senang hendaklah memberikannya menurut kemampuan mereka dan bagi suami yang susah menurut kemampuannya sebagai pemberian sagu hati menurut apa yang patut dan menjadi satu kewajipan ke atas orang yang mahu berbuat demikian”.
Berdasarkan pendapat Imam Shafie, mutaah itu wajib diberikan kepada isteri sama ada dia diceraikan sebelum atau selepas disetubuhi, sama ada diceraikan melalui talaq atau seumpama talaq dengan syarat-syarat tertentu dan sama ada sudah ditentukan maharnya atau belum. Mut'ah boleh diberikan dalam bentuk wang, pakaian dan barang lain.
Menurut Ibn Qasim, mutaah adalah hak isteri yang boleh dipusakai dan sekiranya jandanya meninggal dunia, (bercerai ketika hidup) maka hendaklah dibayar kepada waris-warisnya. Manakala pendapat Imam Hanafi ianya adalah sunat, walau bagaimanapun, berdasarkan pendapat-pendapat yang disebut, maka jelaslah ianya merupakan suatu yang dituntut oleh Syara’. Berdasarkan Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 241 bermaksud:
“Dan isteri-isteri yang diceraikan berhak mendapat mutaah (pemberian sagu hati) dengan cara yang patut, sebagai satu tanggungan yang wajib atas orang-orang yang bertaqwa”.
Dalam ayat lain, Surah al-Ahzab ayat 49 bermaksud:
“Oleh itu, berilah “mutaah (pemberian sagu hati) kepada mereka, dan lepaskanlah mereka dengan cara yang sebaik-baiknya”.
APAKAH TUJUAN MUTAAH ITU YANG SEBENARNYA?
Mutaah bertujuan untuk meringankan sedikit beban yang ditanggung oleh bekas isteri akibat diceraikan oleh bekas suaminya untuk memulakan hidup barunya. Dengan pemberian mutaah ini kepada bekas isteri –
(a) akan membolehkan isteri itu untuk berdikari dan memulakan hidup baru selepas bercerai;
(b) akan mengelakkan prasangka buruk masyarakat terhadap isteri tersebut bahawa perceraian yang berlaku adalah berpunca daripada kesalahan isteri;
(c) ia merupakan penghargaan daripada suami atas sumbangan dan peranan isteri.
APAKAH PRASYARAT UNTUK ISTERI MEMOHON MUTAAH DI MALAYSIA?
Prasyarat untuk isteri memohon mutaah di Malaysia adalah seperti yang berikut:
(a) wujud perkahwinan yang sah;
(b) berlaku perceraian bukan berpunca daripada isteri;
(c) berlaku perceraian hidup;
(d) berlaku persetubuhan;
(e) perceraian bukan disebabkan oleh suami papa/miskin.
APAKAH FAKTOR YANG MENGGUGURKAN HAK MUTAAH?
Faktor yang menggugurkan hak mutaah adalah seperti yang berikut:
(a) Isteri yang nusyuz yang disabitkan oleh Mahkamah Syariah
(b) Isteri yang diceraikan sebelum bersetubuh dan mas kahwin disebut dalam akad;
(c) Isteri murtad;
(d) Perceraian secara tebus talak.
BAGAIMANAKAH CARA UNTUK MENENTUKAN KADAR MUTAAH ITU?
Tidak terdapat suatu panduan tertentu yang boleh dijadikan formula tetap untuk menentukan kadar dalam pemberian mutaah di sisi syara’ daripada seorang bekas suami kepada seorang isteri yang diceraikan. Kadar mutaah berdasarkan pertimbangan persetujuan bersama. Menurut satu pendapat dalam Mazhab Imam Syafie, adalah sebanyak 30 dirham dan harus memberi melebihi separuh daripada kadar mahar. Namun begitu, jika berlaku perselisihan, maka hakim menentukan berdasarkan prinsip umum yang menyatakan bahawa sesuatu pemberian hendaklah diasaskan kepada –
(a) Kemampuan suami;
(B) Status pasangan;
(C) Tempoh perkahwinan;
(D) Pengorbanan isteri.
Sepertimana maksud ayat dalam Surah al-Baqarah 236:
“Walaupun, demikian, hendaklah kamu memberi “Mutaah” (pemberian saguhati) kepada mereka (yang diceraikan itu) iaitu suami yang senang (hendaklah memberi saguhati itu) menurut ukuran kemampuannya, sebagai pemberian saguhati menurut yang patut, lagi menjadi satu kewajipan atas orang-orang (yang mahu) berbuat kebaikan”.
APAKAH PERUNTUKAN MENGENAI MUTAAH DALAM UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM?
Peruntukan mengenai Mut'ah pada umumnya temaktub dalam semua Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri-Negeri. Seksyen 56 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984, misalnya menyebut –
“Sebagai tambahan kepada haknya untuk memohon nafkah, seseorang perempuan yang telah diceraikan tanpa sebab yang patut oleh suaminya boleh memohon mutaah atau pemberian sagu hati kepada Mahkamah, dan Mahkamah boleh, selepas mendengar pihak-pihak itu dan apabila berpuas hati bahawa perempuan itu telah diceraikan tanpa sebab yang patut, memerintahkan suami membayar sejumlah wang yang wajar dan patut mengikut Hukum Syarak".
RUJUKAN
1. Mohd Kharul Anuar Bin Ismail, Kefahaman Wanita Terhadap Peruntukan Hak Selepas Bercerai Menurut Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Kelantan No. 6/2002: Kajian Di Kota Bharu, Jabatan Syariah Dan Undang-Undang Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, 2014. Kuala Lumpur.
2. Profesor Tan Sri Datuk Ahmad Ibrahim, Undang-Undang Keluarga Islam Di Malaysia, 1999, Lexis Nexis, Petaling Jaya Selangor.
TUNTUTAN GANTIRUGI PERTUNANGAN
TUNTUTAN GANTIRUGI INGKAR PERTUNANGAN
Pertunangan adalah satu ungkapan yang menyeru kepada pernikahan iaitu pernyataan atau permintaan dari salah seorang individu lelaki atau perempuan dengan niat untuk berkahwin sama ada menyatakan dengan sendiri atau melalui perantaraan orang lain, kebiasaan pertunangan bermula dari pihak lelaki menyatakan hasrat tersebut, tetapi tidak menjadi kesalahan sekiranya perempuan yang mendahuluinya sepertimana sunnah Rasullullah s.a.w dipinang oleh Siti Khadijah. Pertunangan adalah satu perjanjian diantara dua pihak, pihak lelaki dan perempuan untuk melangsungkan perkahwinan, Bagi menjaga hak individu, maka undang-undang membenarkan pihak yang menanggung kerugian untuk membuat tuntutan gantirugi tersebut. Hal ini termaktub dalam enakmen undang-undang keluarga Islam.
DEFINISI
Hal ini disebut dalam bahasa Arab sebagai “al Khitbah” yang memberi maksud permulaan untuk bernikah, “al khitbah diterjemahkan dalam bahasa Melayu bererti “melamar” untuk dijadikan pasangan hidup, ia juga bermakna meminta persetujuan dari pasangan tersebut menjadi pasangan suami atau isteri, ianya menzahirkan/mengiklankan kehendak seseorang kepada seseorang yang lain untuk dijadikan pasangan hidup.
Hal ini tidak bertentangan dengan hukum syarak, malah perkara ini ada ditulis dalam hadis yang digunakan pada zaman para sahabat, Islam membenarkan pertunangan ini sebagai cara pasangan dan keluarga pasangan mengenali antara satu sama lain sebelum melanjutkan ke alam pernikahan, tetapi malangnya pada hari ini pertunangan disalah ertikan, dengan adanya ikatan pertunangan, bermaksud adanya lesen untuk mereka berdua-duaan, berpegang-pegangan tangan bersentuhan melakukan antiviti bersama seperti telah menjadi suami dan isteri.
Walau bagaimanapun, mengikut adat melayu, pertunangan mestilah diadakan majlis dan perkenalan antara kedua-dua keluarga lelaki dan perempuan bersama pertukaran dulang, sebagai contoh perempuan bagi 7 dulang dan lelaki 5 dulang. Oleh itu, sekiranya pertunangan tersebut dibatalkan oleh salah satu pihak, pihak yang teraniaya dibolehkan membuat tuntutan gantirugi tersebut setakat kerugian yang ditanggung olehnya. Pertunangan merupakan satu perjanjian/kontrak kedua-dua belah pihak untuk melangsungkan perkahwinan.
Walaupun, pertunangan adalah wa‘d gayr mulzim (atau janji yang tidak mesti disempurnakan/tidak mengikat) dan bukan suatu aqad (atau kontrak yang mengikat) yang mewajibkan pernikahan, kedua-dua pihak yang bertunang juga mempunyai hak dalam membatalkan pertunangan. Namun begitu, ianya masih dikira satu kontrak / perjanjian, maka jumhur ulama berpendapat bahawa hukum membatalkan pertunangan adalah harus. Walau bagaimanapun, Islam amat menitikberatkan tuntutan memenuhi janji. Pembatalan pertunangan melukai perasaan orang yang diputuskan pertunangan, berkemungkinan boleh menyebabkan kemurungan dan menyebabkan kerugian kepada pihak dimungkiri tersebut. Hal ini amat bertentangan dengan konsep saudara seIslam yang amat menjaga persaudaraan sesama Islam.
DALIL-DALIL BERKAITAN PERJANJIAN
Tiada dalil khusus untuk kemungkiran pertunangan, tetapi dalil berkaitan kemungkiran janji ada ditulis dalam Al Quran dan juga hadis, kerana pertunangan merupakan salah satu perjanjian antara pihak-pihak untuk berkahwin dan melibatkan kos melaksanakan majlis pertunangan tersebut seperti kos hantaran, kos majlis dan sebagainya. Walau bagaimanapun, dalam kalangan ilmuan mazhab-mazhab ada menyebut berkenaan mungkir pertunangan ini.
a. AL QURAN
“Wahai orang yang beriman, tunaikan serta sempurnakanlah perjanjian-perjanjian kamu”.
(Surah al Maidah 5: 1)
b. HADIS
“ Orang-orang Islam terikat dengan perjanjian mereka dan perkara-perkara yang mana mereka telah bersetuju”
(Riwayat Muslim)
c. PANDANGAN MAZHAB
Terdapat beberapa mazhab membincangkan tentang perkara ini sebagaimana berikut:
1. Mazhab Hanafi
Jika hadiah-hadiah pertunangan itu masih sempurna dan belum menukar keadaannya atau dimakan atau dimusnahkan, pemberi boleh meminta balik hadiah-hadiah pertunangan itu, jika kemungkiran janji oleh pihak yang lain itu. Sebagai contoh, rantai leher atau cincin atau gelang atau jam tangan atau kain atau barang-barang seakannya boleh diminta dipulangkan jika barang itu masih ada, akan tetapi, jika barang itu tidak ada lagi atau telah dimakan, dijual atau hilang atau digunakan untuk membuat baju, tidak ada hak lagi meminta balik barang itu.
2. Mazhab Maliki
Sekiranya kemungkiran janji itu dari pihak lelaki, lelaki tersebut tidak berhak meminta balik hadiah-hadiah yang diberi olehnya. Sebaliknya, jika kemungkiran itu oleh pihak perempuan, lelaki itu boleh meminta balik hadiah-hadiah yang diberi olehnya, sama ada hadiah itu masih ada atau tidak. Jika hadiah itu telah dimusnahkan, harganya harus dibayar. Akan tetapi, semua itu tertakluk kepada adat yang diikuti dalam masyarakat itu.
3. Mazhab Shafie
Hadiah-hadiah tersebut hendaklah dikembalikan sama ada masih wujud atau tidak. Jika barang-barang itu masih wujud, barang-barang tersebut hendaklah dikembalikan. Jika barang-barang tersebut telah dimakan atau digunakan atau telah hilang, harganya hendaklah dikembalikan.
SEKSYEN BERKAITAN
Seksyen 61. Bidang kuasa Mahkamah Tinggi Syariah. Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003:
(3) Mahkamah Tinggi Syariah hendaklah—
(i) Pertunangan, Perkahwinan, ruju’, perceraian, pembubaran perkahwinan (fasakh), nusyuz, atau pemisahan kehakiman (faraq) atau apa-apa perkara yang berkaitan dengan perhubungan antara suami isteri;
(ii) Apa-apa pelupusan atau tuntutan harta yang berbangkit daripada mana-mana perkara yang dinyatakan dalam subperenggan (i);.
Seksyen 15. Pertunangan. Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003
Jika seseorang telah mengikut suatu pertunangan mengikut Hukum Syarak, sama ada secara lisan atau secara bertulis, dan sama ada secara bersendirian atau melalui seorang perantaraan, dan kemudiannya enggan berkahwin dengan pihak yang satu lagi itu tanpa apa-apa sebab yang sah manakala pihak yang satu lagi bersetuju berkahwin dengannya, maka pihak yang mungkir adalah bertanggungan memulangkan pemberian-pemberian pertunangan, jika ada, atau nilainya dan membayar apa-apa wang yang telah dibelanjakan dengan suci hati oleh atau untuk pihak yang satu lagi untuk membuat persediaan bagi perkahwinan itu, dan yang demikian boleh dituntut melalui tindakan dalam Mahkamah.
CONTOH KES
SALBIAH OTHMAN LWN HAJI AHMAD ABDUL GHANI (2002)
Pihak perempuan telah dimungkiri janji untuk berkahwin telah membuat tuntutan gantirugi keaiban dan ganti rugi perbelanjaan yang merangkumi persiapan untuk pertunangan dan persiapan untuk perkahwinan.
Mahkamah Tinggi Seremban telah meluluskan permohonan Salbiah terhadap sebahagian tuntutannya yang merangkumi kos baju pengantin, tempahan persalinan, tempahan langsir dan cadar, deposit khemah dan katil serta kos jemputan merangkumi barangan runcit dan basah.
KESIMPULAN
Tuntutan ganti rugi ini boleh dibuat apabila berlaku kemungkiran terhadap ikatan pertunangan sama ada secara rasmi atau sebaliknya, maka pihak yang memungkiri pertunangan tersebut bertanggungjawab untuk membayar segala gantirugi yang telah dibelanjakan sama ada ganti rugi pertunangan atau persiapan untuk perkahwinan kepada pihak yang dimungkiri tersebut. Tuntutan ini boleh dibuat di Mahkamah Syariah.
Pembahagian Cerai
Dalam Islam terdapat 3 kategori perceraian, iaitu perceraian secara talaq raji’e, talaq bain sughra dan talaq bain kubra. Setiap jenis talaq berbeza dalam kewajipan beriddah dan berkabung.
a. Talaq raj’ie ialah talaq yang boleh dirujuk kembali iaitu talaq kali pertama dan talaq kedua masih dalam tempoh iddah tanpa akad yang baru.
b. Talak ba’in sughra ialah talak yang tidak boleh dirujuk. Sekiranya suami ingin kembali bersama isteri maka suami perlu menikahinya dengan akad yang baru. Contoh bagi talak ini:
i. Talak yang diputuskan oleh Hakam
ii. Talak melalui Khulu'
iii. Talak yang difasakhkan oleh Hakim
iv. Talak isteri yang belum disetubuhi
v. Talak satu atau Talaq dua yang telah habis tempoh iddah
c. Talak bain kubra ialah talak yang tidak boleh dirujuk kembali samada dalam iddah atau selepas iddah. Talak bain kubra adalah talak tiga dengan sekali lafaz atau tiga kali lafaz secara berasingan. Namun begitu, halal bagi bekas suami menikahi bekas isteri sekiranya telah melalui beberapa prosedur tersebut:
i. Iddah bersama bekas suami yang menceraikan isterinya telah tamat.
ii. Selepas selesai iddah, bekas isteri perlu berkahwin bersama lelaki lain dengan akad yang sah.
iii. Bekas isteri melakukan hubungan intim bersama suami barunya dengan persetubuhan yang sebenar.
iv. Bercerai bersama suami baru.
v. Iddahnya dengan suami baru telah selesai.
IDDAH
i. Sekiranya wanita tersebut ada haid, tempoh/iddahnya dengan kiraan 3 kali suci.
ii. Sekiranya diceraikan dalam keadaan tidak ada haid/sakit/monopause/dibuang rahim, Iddahnya dengan kiraan 3 bulan dari tarikh disahkan perceraian tersebut.
iii. Sekiranya diceraikan dalam keadaan mengandung, Iddahnya sehingga bersalin atau keguguran kandungan.
iv. Sekiranya diceraikan belum disetubuhi, tiada iddah.
v. Istihadhah: sekiranya wanita tersebut mengetahui perjalanan darah, 3 kali suci, manakala sekiranya tidak mengetahui perjalanan darah, 3 bulan.
vi. Sekirnya kematian suami semasa berada dalam tempoh `iddah talak raj`ie dan tidak mengandung, ada haid/tiada haid ialah 4 bulan 10 hari
vii.Sekiranya kematian suami semasa berada dalam tempoh `iddah talak ba’in dan tidak mengandung, ada haid/tiada haid ialah 3 kali suci/ 3 bulan
viii. Sekiranya Kematian suami sama ada telah disetubuhi atau belum dan tidak mengandung ialah 4 bulan 10 hari
ix. Sekiranya Kematian suami ketika mengandung dikira sehingga melahirkan anak atau keguguran
x. Sekiranya Suami hilang, hendaklah tunggu selama tempoh 4 tahun keatas dan beriddah 4 bulan 10 hari
BERKABUNG
a. Wanita dalam iddah talaq raj’ie mempunyai batas hukum, kerana dalam tempoh tersebut pasangan bercerai cara ini masih boleh dirujuk. Perkara-perkara yang perlu dipatuhi sebagaimana berikut:
i. Haram menerima pinangan lelaki lain
ii. Haram berkahwin dengan lelaki lain
iii. Tidak boleh berkabung tetapi didorong berhias bagi membangkitkan keinginan suami rujuk semula.
b. Wanita dalam iddah talaq bain juga mempunyai batas:
i. Haram menerima pinangan lelaki lainii. Haram berkahwin dengan lelaki lainiii. Disunatkan berkabung
c. Wanita kematian suami:
i. Haram menerima pinangan lelaki lain
ii. Haram berkahwin dengan lelaki lain
iii. Tidak dibenarkan keluar rumah kecuali dalam batas had keperluan sahaja.
iv. Wajib berkabung.
v. Dilarang berhias berlebihan seperti memakai wangian, berpakaian berwarna-warni, warna terang, memakai barang kemas, bersolek dan perbuatan-perbuatan yang dianggap berhias kepada masyarakat, kerana mengelak dari fitnah. Walau bagaimanapun perlu menjaga kebersihan diri.
2. Pada zaman jahiliah, wanita perlu berkabung dengan cara yang sangat buruk dan tercela jika berlaku kematian suami. Selama satu tahun mereka tidak boleh berwangi-wangian, berdandan dan bercampur gaul dengan masyarakat. Selepas tempoh itu, barulah mereka keluar rumah. Namun, setelah kedatangan Islam, keadaan itu diperbaiki dimana masa edah ditetapkan hanya satu pertiga daripada yang diamalkan pada zaman jahiliah sementara isteri yang kematian suami hendaklah menyempurnakan tiga perkara iaitu edah, berkabung dan menetap di rumah suami.
Hikmah pensyariatan iddah kepada wanita adalah bagi memastikan rahim perempuan kosong daripada benih suami yang menceraikannya atau yang sudah meninggal dunia. Ini bagi mengelakkan terjadi percampuran benih antara suaminya dahulu dan suami yang baharu jika dia berkahwin sebelum tempoh iddah selesai, bagi mengelakkan kekeliruan zuriat dan menjaga keturunan. Tempoh berkabung sebagai tanda menjaga hak suami dan menyatakan kesetiaan isteri kepada suaminya kerana kepergian suami untuk selama-lamanya.
Hal ini juga bagi menyelamatkan wanita tersebut daripada tuduhan fitnah, walau bagaimanapun diharuskan keluar dengan alasan mendesak seperti ke klinik, membeli barang keperluan atau ke tempat kerja (bagi yang bekerja). Setelah selesai iddah, wanita tersebut boleh menentukan kehidupan yang mematuhi garisan undang-undang Allah SWT serta syariat agama. Dia diharuskan menghiaskan dirinya mengikut syarat dibenarkan kepada wanita Islam, boleh menerima pinangan dan berkahwin dengan sesiapa yang disukainya.
3. Islam menggalakkan keharmonian dan sangat menjaga maruah umatnya terutama kaum wanita, berkabung adalah satu perbuatan yang wajib dilakukan setelah kematian suami, sekiranya tidak dilaksana tuntutan tersebut, ianya merupakan satu dosa kerana melanggar perintah Allah.
4. Perkahwinan tersebut sememangnya tidak sah sekiranya berlaku dalam tempoh tersebut sebelum genap 4 tahun, kiraan anggapan kematian ditetapkan selama tempoh 4 tahun atau lebih, sekiranya berlaku juga perkara ini, perkahwinan tersebut perlu dibatalkan serta merta.
5. Dalam tempoh berkabung bukan secara keseluruhan dilarang untuk keluar, tetapi dibenarkan sekiranya atas urusan penting termasuklah pergi bekerja untuk mencari rezeki, Islam melarang meminta-minta selagi mempunyai khudrat tetapi dibenarkan untuk menerima pemberian yang halal.
TAULIAH PEGUAM SYARIE SELANGOR
Assalamualaikum.... Pentauliahan Peguam Syarie Negeri Selangor antara yang berprestij selain Wilayah Persekutuan, mungkin disebabkan kelaya...