Ahad, 20 Disember 2020

MASTER ATAU DAIJ




Tidak dinafikan, ilmu adalah sangat penting dalam kehidupan didunia ini, manusia memandang manusia yang lain berdasarkan kepada taraf ilmu dan tahap pencapaian yang diperolehi mereka, maka layanan juga akan berubah berdasarkan kepada taraf tersebut, perkara ini sememangnya tidak dinafikan, sekiranya perkara ini dibuat kajian lapangan, tentu sekali graf atau statistik mengatakan pencapaian sangat penting kepada taraf seseorang. Walau bagaimanapun, perkara ini hanya pandangan orang lain terhadap seseorang individu tersebut, tetapi dalam hal ini, ianya  bergantung kepada niat seseorang dan arah tujuan individu tersebut yang menjadi objektif utama yang mendorong mereka untuk sambung belajar.


Namun begitu, saya tidak ingin bercerita berkenaan lain bidang,  kerana saya tidak mahir berkaitan kelulusan dan sebagainya dalam bidang lain, disini saya hanya ingin fokuskan kepada bidang undang-undang sahaja. Perkara ini diakui, soal sambung pelajaran telah menjadi dilema kepada rata-rata graduan lepasan undang-undang atau Syariah, selain pening memikirkan soal pekerjaan, perkara ini juga menjadi satu punca membuatkan mereka stress untuk membuat pilihan, pilihan yang terbaik perlulah didahului dengan pemikiran yang dalam sebelum membuat keputusan. Perkara ini juga berlaku dalam pemilihan pengkhususan terbaik. Yang mana lagi bagus? sambung master atau sambung Diploma lanjutan selepas ijazah guaman syarie?


Ye, ramai graduan-graduan lepasan ijazah yang sambung belajar ambik master, ambik DAIJ dan seumpamanya, saya tidak menghalang anda menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi, tetapi, pastikan anda tahu tujuan anda menyambung pelajaran tersebut. Untuk menambah nilai diri atau sekadar niat kerana Allah aku nak belajar? Ye tidak salah niat belajar kerana Allah itu yang sepatutnya, tetapi itu perkara ruh. Apakah matlamat sebenar anda sambung belajar? 



Sekadar ikut ikutan sebab kawan sambung, aku nak sambung juga? Tetapi objektif sebenar sambung pelajaran tersebut tidak tahu disebab ikut ikut orang sahaja? Perkara ini salah, pastikan anda sambung belajar, anda tahu matlamat utama anda mahu sambung diperingkat apa dan dalam bidang apa? Adakah ianya berbaloi kepada anda? Ada nilai ke aku sambung belajar bidang ini? apa aku nak dengan sambung belajar? Sambung belajar bagi orang yang sudah bekerja tidak begitu menjadi masalah. Tetapi sekiranya anda masih belum bekerja. Syarikat lebih memerlukan pekerja yang berpengalaman. Fikirkanlah.




Sekiranya anda mahu bekerja dalam syarikat swasta terutamanya, mereka lebih menilai anda berdasarkan kepada pengalaman anda dan bukan tahap kelulusan anda, bagi mereka, pengalaman lebih penting kepada pertumbuhan syarikat adalah dengan mengambil pekerja yang berpengalaman dan bukannya tahap kelulusan seseorang, cukuplah seseorang individu itu mempunyai ijazah sarjana muda sahaja. Kerana ilmu yang diperolehi di universiti hanyalah sekadar teori sahaja dan bukan praktikal. Walau bagaimanapun, perkara ini berbeza, kepada seseorang yang telah bekerja dan mahu menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi untuk naik gaji dan naik pangkat.




Perkara ini berbeza sekiranya anda sememangnya mempunyai impian untuk bergelar sebagai seorang pensyarah, untuk menjadi seorang pensyarah, anda diwajibkan mempunyai sekarang-kurangnya master dalam bidang tersebut sekiranya ingin bekerja bersama Institut pengajian tinggi awam, bagi sesetengah kolej biasa menerima lepasan ijazah sarjana muda sebagai pensyarah di kolej tersebut, namun, kolej Universiti juga tidak menerima lepasan ijazah sebagai pensyarah. Sekiranya ini impian anda, maka sambunglah belajar dalam jurusan yang anda suka untuk belajar dan mengajar orang lain, ambillah master.




Walau bagaimanapun, sekiranya ingin menjadi seorang peguam syarie, anda tidak perlu mengambil master, tetapi sambung lah Diploma lanjutan guaman Islam, setiap universiti berbeza nama kursus yang diberikan tetapi ianya bidang pengkhususan yang sama, tetapi sekiranya di UIAM dan UKM, mereka memberikan dua pengkhususan berbeza, iaitu DSLP dan DAIJ, DSLP khusus kepada yang nak bergelar sebagai Peguam Syarie sahaja dan DAIJ boleh jadi Hakim dan Peguam Syarie. Pengkhususan ini ditawarkan dibeberapa buah universiti tempatan dan lulus MQA, iaitu UIAM, UKM, USIM, UITM dan yang terbaru USAS.




Walau bagaimanapun, untuk bergelar sebagai seorang peguam syarie, anda tidak diwajibkan mempunyai sijil DAIJ, sijil ini hanya satu kelebihan sahaja, sijil ini saya akui mempunyai kelebihan tersendiri, antara kelebihannya, bagi sesetengah negeri, memerlukan sijil ini bagi melayakkan anda ditauliahkan sebagai Peguam Syarie di negeri tersebut, perkara ini boleh disemak dalam Kaedah-kaedah Peguam Syarie negeri-negeri.




Namun begitu, sekiranya anda memang nak tambah ilmu dan rajin belajar, anda boleh ambil kedua-duanya, tetapi, saya tekankan dan saya nasihatkan, anda wajib bekerja dahulu selepas tamat ijazah sarjana muda, kerana kelulusan master tidak berguna kepada pekerjaan yang memerlukan ijazah sarjana muda sahaja, umur makin meningkat, takkan lah kita sekadar belajar sahaja dan tidak mahu bekerja, jika anda sambung terus tanpa bekerja, anda menyebabkan masa anda terbuang, tanpa pengalaman, sukar untuk dapatkan pekerjaan. Yang sebetulnya, bekerja dan kemudian sambung belajar dan pastikan kursus yang anda ambil akan memberi nilai kepada anda dalam pasaran pekerjaan, kerana manusia perlu hidup dan nak hidup perlukan wang, bagaimana untuk dapatkan wang? tentu sekali perlu bekerja.

Ahad, 13 Disember 2020

UNDANG-UNDANG JENAYAH ISLAM: “GANGGUAN ORANG KETIGA”


UNDANG-UNDANG JENAYAH ISLAM: “GANGGUAN ORANG KETIGA”

 




                                                                gangguan orang ketiga

Perceraian dalam institusi keluarga telah menjadi kebiasaan dalam kalangan masyarakat kita pada hari ini, hal yang mendorong perkara ini disebabkan konflik dan permasalahan yang tidak dapat diselesaikan lagi, punca kehadiran orang ketiga dalam rumahtangga telah mendapat tempat dalam isu perceraian ini sehinggakan dalam drama-drama Melayu juga telah menjadi plot konflik utama cerita, sebagai contoh, drama “7 Hari Mencintaiku”, mertua (Mak Leha) dan orang ketiga yang lain iaitu (Nurul) yang cuba memporak perandakan hubungan Khuzairi dan Mia Adriana.

 


Perkahwinan yang terbina atas dasar cinta pada mulanya akhirnya terlerai dek disebabkan wujudnya orang ketiga dalam perhubungan suami isteri. Perbuatan mengganggu keharmonian rumahtangga orang lain merupakan salah satu perbuatan jenayah syariah dan boleh didakwa di Mahkamah Syariah sebagaimana yang termaktub dalam Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995.

 

Selain itu, dalam undang-undang sivil juga diperuntukkan hal ini dalam Akta Memperbaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 bahawa undang-undang yang berkaitan orang ketiga yang menyebabkan perceraian pasangan bukan Islam yang melibatkan kes-kes perzinaan boleh didakwa dan dikenakan ganti rugi.

 

1. Siapakah orang ketiga?

 

Definisi orang ketiga tidak dijelaskan secara nyata dan tersurat, tetapi boleh difahami adalah “orang tengah” orang tengah yang menyebabkan perceraian antara pasangan suami isteri. Menurut undang-undang, orang ketiga adalah sesiapa sahaja yang menjadi penyebab kepada ketidakharmonian sesuatu rumahtangga tidak kira jantina, kekasih gelap, keluarga, jiran-jiran, saudara mara atau sesiapa sahaja.

 

2. Apakah seksyen yang terpakai?

 

Secara umumnya, jenayah adalah perbuatan jahat yang ditegah atau dilarang. Oleh itu, undang-undang sebagai panduan bagi memelihara manusia daripada perbuatan jahat. Dirujuk berdasarkan Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995:-

 

i.                    Seksyen 32. Memujuk lari perempuan bersuami.

 

“Mana-mana orang yang memujuk lari seseorang perempuan bersuami atau membawanya pergi atau dengan apa-apa cara lain mempengaruhinya supaya meninggalkan rumahtangga yang ditentukan oleh suaminya adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, dan Mahkamah hendaklah memerintahkan supaya perempuan bersuami itu kembali kepada suaminya.”

 

Berdasarkan peruntukan tersebut, sesiapa sahaja yang memujuk lari atau membawanya pergi atau mempengaruhi isteri orang lain supaya meninggalkan rumah dan suaminya, maka dia telah dikira melakukan kesalahan dan boleh dikenakan tindakan undang-undang dan boleh dikenakan denda tidak melebihi 5 ribu ringgit atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya sekali.

 

ii. Seksyen 33. Menghalang pasangan yang sudah bernikah daripada hiudp sebagai suami isteri


Mana-mana orang yang menghalang sesuatu pasangan yang sudah bernikah dengan sah daripada hidup sebagai suami isteri adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya dan Mahkamah hendaklah memerintahkan pasangan itu supaya hidup sebagai pasangan suami isteri yang sudah bernikah dengan sah.


Berdasarkan peruntukan tersebut, sesiapa sahaja yang menghalang pasangan yang sudah berkahwin hidup sebagai suami isteri adalah melakukan kesalahan dan boleh dikenakan tindakan undang-undang dengan hukuman denda tidak melebihi 3 ribu ringgit atau penjara tidak melebihi 2 tahun atau kedua-duanya sekali.

 

iii. Seksyen 34. Menghasut suami atau isteri supaya bercerai atau mengabaikan kewajipan


Mana-mana orang yang menghasut, memaksa atau memujuk mana-mana suami atau isteri supaya bercerai atau mengabaikan kewajipan atau tanggungjawabnya kepada isteri atau suami atau keluarganya adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.


Berikut seksyen-seksyen yang berkaitan orang ketiga dalam hubungan perkahwinan suami isteri.

 

3. Apa tindakan yang boleh diambil?

 

i. Buat aduan ke Pejabat Agama Islam (Kaunseling)

Pihak pejabat agama akan menasihati orang ketiga tadi dengan memberikan kaunseling agar tidak mengganggu pasangan suami isteri tersebut sebelum tindakan undang-undang diambil terhadap orang ketiga tadi. Sekiranya masih berdegil, tindakan undang-undang akan diambil. Pegawai Agama juga akan menasihati pasangan yang konflik tadi agar tidak terburu-buru untuk bercerai, sesi kaunseling akan dilakukan sebanyak 2kali sebelum perkara ini diserahkan kepada PPA untuk penyiasatan.

 

ii. Penyiasatan PPA

Pegawai Penyiasat Agama akan menyiasat terhadap perkara tersebut. Pastikan bukti-bukti untuk mendakwa adalah kukuh, berdasarkan kaedah Fiqh, bukti ke atas orang yang mendakwa, sumpah kepada orang yang didakwa.


iii. Tindakan Mahkamah

Kemudian, jika kes tersebut bermerit, kes tersebut akan dibawa ke Mahkamah Syariah. Dalam aduan tersebut, mangsa perlu menjelaskan dengan terperinci mengenai permasalahan yang dibuat orang ketiga tersebut sehingga porak-perandakan rumah tangga tersebut. Mangsa juga perlu mengemukakan bukti-bukti berkenaan perkara itu.

 

Kesimpulannya, Orang Ketiga bukan hanya kekasih gelap suami/isteri sahaja, sesiapa sahaja yang mengganggu rumahtangga termasuk Orang Ketiga.


Sabtu, 12 Disember 2020

TAULIAH PEGUAM SYARIE JOHOR

SOALAN UJIAN KELAYAKAN PEGUAM SYARIE JOHOR 2016


Peguam Syarie Johor


Disebabkan ramai yang bertanya mengenai Ujian Kelayakan Tauliah Peguam Syarie Johor, jadi kali ni nak kongsi sikit sekadarnya apa yang masih ingat. Untuk rujukan yang baru nak mohon atau yang mengulang nanti.

1. Johor perlu lalui Ujian Bertulis dan Temuduga, berbanding kebanyakan negeri hanya perlu lalui proses temuduga sahaja ataupun buat endors sekiranya dah ada tauliah negeri lain. Dah lulus Ujian bertulis baru dipanggil temuduga. Tak lulus tak boleh pergi step temuduga, apply tahun berikutnya.

2. Tarikh tutup permohonan adalah pada hujung September setiap tahun. Ujian Bertulis kebiasaannya pada Februari tahun berikutnya. Temuduga pada bulan Mei jika tiada perubahan. 

3. Apa yang special mengenai Johor, proses menjadi Peguam Syarie begitu ketat. Mungkin nak jaga dari kemasukan pengaruh Wahabi, Syiah atau lain-lain yang bertentangan dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah. Soalan bahagian A hanya memperuntukkan soalan Akidah yang mempunyai hanya 20 markah. Tetapi jika bahagian ini tidak lulus, anda dikira tidak lulus keseluruhannya. Sempat juga rujuk pakar Ahli Sunnah Wal Jamaah Al-Fadhil Ustaz Ellyeen Amineen.

4. Johor masih menekankan Tulisan Jawi. Semua soalan masih dalam tulisan jawi. Dulu jawapan diwajibkan dalam tulisan jawi, tapi sekarang dah diberikan pilihan samada jawi atau rumi. Saya pilih jawab dalam tulisan jawi. Ada ekstra markah kot walaupun tak diberitahu.

5. Silibus exam diminta untuk baca beberapa buah kitab. Antaranya kitab Tauhid Al-Risalah dan kitab Matla’ Al-Badrain dan lain-lain. Kalau belajar Sijil Darjah Khas Agama Negeri Johor tahu la ni.

6. Dalam Ujian dibenarkan membawa beberapa Enakmen yang berkaitan seperti Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Johor, Enakmen Kesalahan Jenayah Negeri Johor, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Johor, Enakmen Tatacara Jenayah Negeri Johor dan Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah Negeri Johor. Juga disediakan dan diedarkan pindaan terkini dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Johor mengenai takrifan Hukum Syarak.

7. Untuk sesi 2015 lepas hampir 70 yang memohon tapi hanya 13 orang yang lulus. (Betulkan kalau silap, sebab ada kata 70 ada kata 90 orang). Jadi kalau ada yang ambil lebih dari sekali tu kira biasa la.

8. Ok, jom kita tengok bentuk soalan:


BAHAGIAN A

(Akidah | 20 markah)

Tak lulus bahagian ni kira tak lulus semua.

Pengertian Ahli Sunnah Wal Jamaah

Sumber pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah

Aliran akidah sealiran dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Mazhab Fiqh sealiran Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Contoh akidah/pegangan yang bertentangan dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah

Sifat Wajib Allah

Sifat Wajib Nabi

Maksud beriman dengan Qada’ & Qadar

Maksud Muallaf

Maksud Murtad

*Nampak macam mudah, tapi kena kaitkan dengan peruntukkan undang-undang.



BAHAGIAN B 

(Faraid-Enakmen-Hukum Syarak | 80 markah)

Rukun Nikah

Syarat Wali

Pertalian yang haram nikah disebabkan keturunan/nasab

Kahwin poligami tanpa izin mahkamah. Sah atau tidak. 

Dan prosedur untuk membuat pengesahan nikah.

Situasi A masuk Islam & suami tak nak masuk Islam. A nak kahwin dengan B suami orang.

Prosedur untuk batalkan perkahwinan lama.

Adakah tindakan masuk Islam tersebut menyebabkan perkahwinan dengan suami lama terbatal mengikut hukum syarak.

Prosedur A untuk nikah.

Prosedur B untuk nikah poligami.

Situasi Tangkap Khalwat mengaku salah. Hakim jatuhkan RM600. Tak puas hati.

Huraikan hak-hak mereka.

Soalan memimpin tidak dibenarkan di mahkamah tapi ada beberapa keadaan yang membenarkan. Jelaskan.

Situasi Poligami tanpa izin. Mengaku salah.

Hakim penjara sebulan denda RM900.

Tak puas hati sebab kena penjara. Prosedur elak kena penjara.

Elemen-elemen penting dalam Pemeriksaan Saksi oleh Pegawai Penguatkuasa Agama (PPA)

Waran tangkap

Kesalahan boleh tangkap

Pertukaran agama/murtad

Soalan Faraid: Penyelesaian masalah. 2 soalan besar. Satu soalan ada 5 anak soalan.

Ok setakat tu dulu, ada beberapa soalan lagi tak berapa ingat.


……………………………………………………………………………


Tahniah Johor kerana telah meminda peruntukkan mengenai takrif Hukum Syarak. Sebelum ni, Hukum Syarak ditakrifkan sebagai Hukum Syarak mengikut Mazhab Syafie atau mengikut mana-mana satu Mazhab Hanafi, Maliki atau Hanbali. Kebanyakan negeri masih lagi menggunakan takrif ini.


Pada 2014/2015 Johor telah meminda takrifan Hukum Syarak: 


"Dari segi pegangan akidah hendaklah berdasarkan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang bersumberkan aliran al-Asyairah dan al-Maturidiah, dari segi syariah mengikut Mazhab Shafie atau dalam keadaan tertentu mengikut mana-mana satu Mazhab Hanafi, Maliki atau Hanbali atau melalui Ijtihad Hukum yang telah diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa, atas syor Majlis, diperkenankan oleh Raja dan diwartakan"


Ditulis Oleh: YAZID AL-MUARI

TAULIAH PEGUAM SYARIE SELANGOR

 Assalamualaikum.... Pentauliahan Peguam Syarie Negeri Selangor antara yang berprestij selain Wilayah Persekutuan, mungkin disebabkan kelaya...