Rabu, 21 November 2018

PEMILIHAN DIPLOMA LANJUTAN GUAMAN ISLAM (DAIJ/DSLP/DSLA/DIJAP/DKGS)


diploma kehakiman dan guaman Islam


Assalamualaikum w.b.t...


Terima kasih berkunjung ke blog saya ini. Sahabat-sahabat yang berkunjung di blog saya, sudah tentu ingin mengetahui berkenaan Diploma Undang-undang, saya menulis berkenaan perkara ini, oleh kerana ramai rakan-rakan dan junior saya yang bertanya yang mana paling bagus? yang mana patut aku masuk? yang mana dan yang mana bla3.... Tambahan lagi, tidak ramai atau mungkin ada dan mungkin tiada yang menulis berkenaan program ini. Maka saya buat keputusan untuk menulis secara ringkas pengalaman saya dalam pemilihan pengajian ini. Saya juga pada ketika itu banyak menggoogle mencari dan membuat perbandingan yang mana terbaik pada ketika itu, disebabkan pada ketika itu saya juga kurang pendedahan berkenaan perkara ini, maka nak tak nak memang kene banyakkan membaca, buat research dan hubungi universiti-universiti yang menawarkan program ini.


Program ini bertaraf pascasiswazah professional orang kata sama level lah dengan master ni, tapi nama je lain, tapi bukan master, dia tapi bukan dia haha!. Ramai orang yang bukan bidang undang-undang tidak tahu berkenaan diploma lepasan ijazah ini, terutamanya mak cik pak cik dekat kampung, "kau buat apa sekarang?", "saya sambung diploma", "diploma?, bukan ke kau dah ada ijazah?"...hahaha.. "aik, habis ijazah ambil diploma balik?".haha.. saya pon tak tahu kenapa dipanggil diploma.


Program ini yang saya tahu, lima (5) universiti menawarkan program lepasan ijazah ini setakat tahun 2022 iaitu UIAM, USIM, UKM, UITM dan USAS. Program sama tapi nama sahaja berbeza. Walau bagaimanapun, DAIJ fokusnya adalah bagi sesiapa yang ingin memegang jawatan sebagai hakim syarie, manakala DSLP & DSLA pula lebih fokus kepada nak jadi peguam sahaja. DIJAP & DKGS saya tidak pasti. Maka anda perlu tahu apa hala tuju dan tujuan anda sambung belajar agar duit yang dikeluarkan berbaloi bukan sahaja mendapat ilmu, malah tujuan yang diimpikan juga tercapai. Di perenggan bawah, saya akan ceritakan secara ringkas sahaja berdasarkan kepada pembacaan dan pengalaman saya sebelum ini ketika buat kajian perbandingan sebelum meneruskan pengajian saya di UIAM.


UIAM

Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menawarkan dua program bagi pengkhususan undang-undang Islam program selepas ijazah iaitu Diploma in Administration Islamic Judiciary (DAIJ) dan Diploma in Shariah Legal Practice (DSLP). Namun, kedua-dua pengkhususan yang ditawarkan ini ada sedikit perbezaan dan tujuan, iaitu DAIJ lebih kepada kehakiman (hakim) dan DSLP khusus kepada pengamal undang-undang (peguam). ini yang saya katakan, anda perlu tahu fokus dan tujuan mengambil pengajian-pengajian ini.


Bagi DSLP disini menawarkan tempoh pengajian secara sepenuh masa tiga (3) semester dan separuh masa iaitu selama 1 1/2 tahun iaitu lima (5) semester dan yuran pengajian adalah RM 1,277.50 per semester bagi warganegara. Manakala, bagi kursus DAIJ tempoh pengajian selama satu (1) tahun sepenuh masa dan separuh masa 1 1/2 tahun dan yuran sebanyak RM 3,327.50 per semester bagi warganegara. Boleh rujuk lebih lanjut di portal UIAM (UIAM Programme)


Bagi anak kelahiran Kelantan atau menetap di Kelantan, UIAM telah berkolaborasi bersama Kolej Islam Antarabangsa Ismail Petra (KIAS) dan dibenarkan untuk membuat pinjaman pelajaran dengan Yayasan Kemajuan Islam Kelantan (YAKIN) selama tempoh pengajian tersebut, tempoh pengajian yang ditawarkan di KIAS adalah selama tempoh satu (1) tahun lapan (8) bulan iaitu lima (5) semester, kelas diadakan pada setiap hari Sabtu sahaja iaitu bermula jam 9.00 pagi sehingga jam 6.00 petang. Namun, pengajian di KIAS ini hanya ditawarkan bagi program DAIJ sahaja setakat dalam pengetahuan saya. Yuran pengajian adalah sebanyak RM16,500 tidak termasuk pendaftaran dan konvokesyen. Anda boleh berhubung terus dengan pihak UIAM atau KIAS bahagian korporat KIAS. (KIAS)


UKM

Universiti Kebangsaan Malaysia juga menawarkan dua kursus sebagaimana UIAM iaitu DAIJ dan DSLP. Namun, setelah saya melihat kepada portal UKM pada bulan 8 2022, mungkin kini UKM hanya menawarkan satu kursus sahaja iaitu DAIJ sahaja atau telah digabungkan. UKM menetapkan bagi kursus DAIJ adalah selama tempoh satu (1) tahun bagi sepenuh masa iaitu sebanyak dua (2) semester panjang dan satu (1) semester pendek (Sabtu & Ahad), yuran yang ditawarkan bagi kos ini disini adalah RM6,610. (DAIJ UKM)

 

UITM

Universiti Teknologi Mara hanya menawarkan (Diploma in Syariah Law and Practice (DSLA) atau dalam bahasa Melayu ialah Diploma Syariah Undang-Undang dan Amalan. UITM menawarkan pengajian tersebut secara sepenuh masa dan separuh masa. Sepenuh masa tempoh pengajiannya adalah satu (1) tahun yang merangkumi dua (2) semester iaitu kelas diadakan hanya pada hari Sabtu sahaja, manakala bagi separuh masa tempoh yang ditetapkan adalah selama dua (2) tahun iaitu empat (4) semester. UITM juga menawarkan yuran pengajian yang paling murah antara universiti-universiti lain yang menawarkan program yang sama iaitu RM4000-RM4300 (Sepenuh masa) dan RM4100-4400 (separuh masa). Boleh rujuk lebih lanjut di portal UITM  (DSLA).


USIM

Universiti Sains Islam Malaysia juga hanya menawarkan satu program sahaja iaitu yang dikenali sebagai Diploma in Islamic Judicial and Advocatory Practice (DIJAP). Tempoh pengajian bagi kursus ini ditawarkan hanya secara sepenuh masa sahaja iaitu dalam tempoh satu (1) tahun sebanyak dua (2) semester sahaja (Setiap Sabtu) dan yuran pengajian adalah sebanyak RM6150 sahaja. (DIJAP)


USAS

Universiti Sultan Azlan Shah juga telah menawarkan program lepasan ijazah seperti ini yang dipanggil sebagai Diploma in Judical Practice and Shariah iaitu Amalan Kehakiman dan Guaman Syarie (DKGS). USAS menawarkan secara sepenuh masa dan separuh masa iaitu tempoh pengajian selama 14 minggu (setiap Sabtu). Yuran pengajian bagi sepenuh masa selama tiga (3) semester ialah sebanyak RM11885 bagi warganegara. (USAS)


Ringkasan

Yuran paling murah adalah di UITM dan paling mahal UIAM, soal yuran ini mungkin berbeza cara pendekatan dalam pembelajaran atau ada kelebihan tersendiri "mungkin". Untuk lebih lanjut tidak lain tidak, anda perlu berhubung terus dengan pihak pengurusan universiti-universiti tersebut untuk dapatkan maklumat terperinci dan betul, yang saya sertakan hanya ringkasan daripada bacaan dan dalam pengetahuan saya sahaja, mungkin tepat dan mungkin tidak tepat. Saya hanya berkongsi sahaja, anda yang pilih, pandai-pandai lah pilih mengikut kepada kesesuaian, poket, lokasi dengan kediaman dan sebagainya.


Pilihan Saya

Setelah saya buat research dan hubungi universiti yang tersebut di atas pada tahun 2018, tapi tidak semua universiti yang saya hubungi, saya hanya hubungi beberapa universiti sahaja yang saya berminat untuk bersama mengikut kepada keperluan saya. Maka, akhirnya saya memilih UIAM sebagai tempat saya menuntut ilmu, saya memilih program di UIAM- KIAS sebagai destinasi saya untuk menyambung pelajaran bagi menggapai impian saya, saya buat hanya ambil separuh masa sahaja iaitu selama tempoh satu (1) tahun lapan (8) bulan bermula Mei 2018 sehingga Disember 2019 dan graduasi November 2021 akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) disebabkan negara dilanda COVID-19 yang sepatutnya majlis diadakan pada November 2020.


Kesimpulan

Pilih yang terbaik dan keperluan, selamat maju jaya, doakan juga kejayaan saya dalam bidang ini. Moga di permudahkan urusan semua. #editedpost2018

Khamis, 5 Julai 2018

PEWARISAN HARTA PUSAKA KEPADA KHUNSA MUSYKIL

PEWARISAN HARTA PUSAKA KEPADA KHUNSA MUSYKIL


Manusia diciptakan dengan dua jantina yang berbeza lelaki dan perempuan. Namun begitu, terdapat satu lagi manusia yang istimewa dicipta Yang Maha Pencipta mempunyai dua jantina yang bernama khunsa, khunsa terbahagi kepada dua, khunsa bukan musykil dan khunsa musykil, tetapi yang dibincangkan dalam hal ini berkenaan khunsa musykil. Justeru itu, pelbagai persoalan timbul termasuklah berkaitan pembahagian harta pusaka, tetapi perkara ini jarang berlaku dan tidak menjadi isu panas dalam dunia kepeguaman, tetapi bagi saya, ianya satu isu penting yang juga perlu diberi perhatian.

 

1.       Pengertian

 

Pengertian khunsa atau dalam bahasa inggerisnya intersex bermaksud seseorang yang memiliki alat jantina lelaki dan alat jantina perempuan dengan keadaan tidak diketahui dengan pasti alat kelamin mana yang mendominasi atau seseorang yang memiliki satu lubang yang tidak menyerupai mana-mana alat jantina di mana air kencing keluar melaluinya, atau menurut kamus dewan 2004, orang yang tiada langsung mempunyai kedua-duanya. Hal ini berbeza dengan transgender yang bermaksud kecelaruan identiti yang mempunyai alat kelamin yang normal. Disini saya tidak ingin menerangkan lebih terperinci berkenaan perkara tersebut, kerana agak panjang sekiranya berbincang berkenaan perkara tersebut. Berkenaan jantina tersebut biarlah pakar dalam bidang ini yang menghuraikan, apa yang ingin ditekankan disini adalah bagaimana pewarisan harta terhadap golongan ini?

 

2.       Hukum atau pandangan ulama’

 

Sememangnya perbezaan pandangan mengikut kefahaman ulama’ adalah perkara biasa dalam mengistinbat hukum, hal ini telah dibincangkan secara terperinci. Pandangan-pandangan mereka dapat dijelaskan seperti berikut:

 

Abu Hanifah: hanya mendapat bahagian lebih sedikit berbanding golongan lelaki dan perempuan yang normal.

 

Imam Malik, Abu Yusuf dan Syiah Imamiyyah: khunsa berhak menerima hak secara pertengahan antara bahagian lelaki dan juga perempuan.

 

Imam Syafie: masing-masing ahli waris dan khunsa musykil diberi bahagian paling sedikit dari dua keadaan tersebut, dikatakan inilah bahagian mereka yang sebenar.

 

Imam Ahmad: jika kepastian keputusan jantina khunsa dapat ditunggu, maka setiap mereka dan ahli waris mendapatkan bahagian paling sedikit dan bakinya ditahan, manakala jika kepastian jantina tidak dapat ditunggu lagi, maka khunsa mengambil pertengahan antara bahagian lelaki dan perempuan. Ini adalah majoriti fuqaha dan paling sesuai dilaksanakan.

 

Dalam isu pertukaran jantina yang berlaku secara alami disebabkan perubahan hormon yang pada ketika itu harta pusaka telah dibahagikan, maka status pembahagian dikekalkan sepertimana yang diputuskan sebelumnya, dirujuk berdasarkan kaedah Fiqh:

 

i.                     Hukum sesuatu perkara dirujuk kepada waktu yang paling hampir

ii.                   Sesuatu ijtihad tidak dibatalkan dengan ijtihad yang lain.

 

Makanya, pembahagian harta pusaka tersebut tidak perlu dibuat semula atau dipulangkan kepada ahli waris yang lain berikutan perubahan tersebut.

 

3.       Situasi atau contoh pembahagian

 

Contoh situasi biasa, si mati hanya meninggalkan seorang anak lelaki, seorang anak perempuan dan seorang anak khunsa musykil, kiraannya:

 

                                Anak lelaki                      : 4/9

                                Anak Khunsa Musykil     : 3/9

                                Anak perempuan             : 2/9

 

i. Pembahagian tidak berubah sama ada dia dikatakan lelaki ataupun perempuan.

 

Contoh: seorang mati tinggalkan (ibu)( 1 saudara lelaki seibu sebapa) dan (1 saudara lelaki khunsa)

 

Huraian: kerana saudara seibu sifir pembahagiannya adalah sama, sama ada dia (khunsa) adalah lelaki atau perempuan, iaitu dia akan menerima (1/6).

 

ii. Pembahagian bergantung kepada jantinanya.

 

Contoh: si mati meninggalkan (1 isteri)(1 bapa saudara sebelah bapa)(1 khunsa yang merupakan anak saudara lelaki)

 

Bapa saudara sebelah bapa belum boleh menerima sebarang harta buat masa ini, kerana berkemungkinan khunsa tersebut adalah lelaki atau perempuan, begitu juga kepada khunsa tersebut, tiada sebarang harta boleh diterima olehnya.


Huraian: pembahagian melalui situasi kedua ini sememangnya memerlukan kepada kepastian jantina untuk pengagihan, kerana melibatkan individu yang lain dan menggunakan sifir yang lain.

 

Dalam kes ini, dia tidak boleh menerima sebarang pusaka melainkan setelah disahkan jantinanya atau mendapat rundingan bersama pewaris lain. Begitu juga pewaris lain, pembahagian tidak dapat dibuat. Secara ringkasnya yang dapat dijelaskan.

TAULIAH PEGUAM SYARIE SELANGOR

 Assalamualaikum.... Pentauliahan Peguam Syarie Negeri Selangor antara yang berprestij selain Wilayah Persekutuan, mungkin disebabkan kelaya...