Ahad, 4 Jun 2023

TAULIAH PEGUAM SYARIE SELANGOR

 Assalamualaikum....


Pentauliahan Peguam Syarie Negeri Selangor antara yang berprestij selain Wilayah Persekutuan, mungkin disebabkan kelayakan dan proses yang diperlukan untuk mendapatkan tauliah peguam syarie tersebut. Sijil peguam Syarie Selangor antara yang diimpikan oleh setiap rakan peguam yang ingin beramal. Tidak dinafikan juga, sistem dan penyelarasan di Mahkamah Syariah Selangor lebih tersusun dan sistematik serta memudahkan para peguam syarie yang beramal di negeri tersebut menjalankan amanah dengan baik. Sistem Mahkamah amat penting kepada para peguam dalam mengendalikan kes dengan baik, jika ianya tersusun rapi dan sistematik, maka segala urusan dapat diselesaikan dengan mudah. Mahkamah merupakan suuport utama kepada para peguam.


Namun, untuk beramal di negeri tersebut memerlukan kelayakan-kelayakan yang perlu bagi membolehkan seseorang peguam itu beramal dengan baik dan dedikasi. Antara sebab mengapa untuk mendapatkan tauliah di negeri Selangor ini agak sukar adalah kerana Selangor menekan kan kualiti para peguam yang akan mengendalikan kes-kes di Mahkamah-mahkamah Syariah di Selangor, kecekapan para peguam juga amat penting dalam membantu mahkamah menyelesaikan kes memandangkan negeri Selangor antara negeri yang tertinggi kes-kes di Mahkamah Syariah.

Majlis Perisytiharan Peguam Syarie Selangor

KELAYAKAN

Kelayakan adalah instrument utama dalam menjawat sesuatu jawatan, tambahan lagi sebagai seorang peguam syarie amat perlu mempunyai kelayakan yang setaraf dengan tugas-tugas yang bakal dilaksanakan, tugas-tugas peguam syarie melibatkan amanah yang berat demi membantu para klien menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi dan mendapatkan hak-hak mereka.

1. Seorang peguam syarie wajib memiliki Ijazah Sarjana Muda Syariah atau setaraf / Ijazah Sarjana Muda Undang-undang / Ijazah Sarjana Muda Undang-undang (Syariah) UIAM atau setaraf dengannya.

2. Diploma Undang-undang Pentadbiran kehakiman Islam / Diploma lepasan Ijazah Undang-undang Syariah dan amalan yang setaraf dan diiktiraf oleh kerajaan Malaysia.

3. Latihan Dalam Kamar Syariah selama sembilan (9) bulan bagi Ijazah Sarjana Muda Syariah / Ijazah Sarjana Muda Undang-undang, manakala bagi peguambela dan peguamcara anda hanya perlu menjalani latihan dalam kamar syariah hanya tiga (3) bulan sahaja. Penting untuk menjalani latihan dalam kamar syariah ini dibawah seliaan Peguam Syarie yang telah dan sedang beramal secara aktif di Malaysia bagi tempoh tidak kurang daripada tujuh (7) tahun.

Dan ada kelayakan-kelayakan lain lagi yang perlu seperti mestilah beragama Islam, Ahli Sunnah wal Jamaah, cukup umur, tidak fraud dan bankrup, berkelakuan baik tidak pernah terlibat dengan kesalahan jenayah syariah atau sivil...


Nampak sedikit sahaja kan kelayakannya...tapi...memakan masa dan kos untuk mendapatkan tauliah tersebut dan beramal di negeri selangor sebagai peguam syarie selangor...

2013-2018 Degree + Konvokesyen (19-24)

2019-2021 Diploma Lepasan Ijazah + Konvokesyen + COVID19 (25-27)

2022 Tamat Latihan Dalam Kamar (28)

2023 Beramal sebagai Peguam Syarie (29)

= 4 tahun degree + 2 tahun Diploma + 9 bulan Chambering + 1 tahun COVID19 = lebih kurang 8 tahun.

Ambil masa yang lama ye rakan-rakan....tua...haha...perlukan kesabaran yang tinggi kerana memakan masa dan kos..nasihat saya bagi yang nak beramal segera, anda dinasihatkan dapatkan tauliah negeri-negeri yang tidak memerlukan kedua-dua kelayakan tadi terlebih dahulu...tapi kini dah banyak negeri yang telah ubah proses kelayakan dan permohonan peguam syarie bagi negeri masing-masing...hanya beberapa buah negeri sahaja yang tidak memerlukan dua (2) kelayakan tersebut iaitu latihan dalam kamar dan Diploma Lepasan Ijazah bagi Ijazah Sarjana Muda Syariah.


Seterusnya...

PROSES PERMOHONAN

Proses permohonan dan perisytiharan di Selangor dan di beberapa negeri lain agak berbeza..lain negeri, lain prosesnya.

1. Bila dah cukup kelayakan yang perlu, anda boleh menyerahkan permohonan bersama dokumen-dokumen yang diperlukan yang telah disahkan oleh pihak-pihak yang berautoriti dalam pengesahan dokumen-dokumen tersebut sebagaimana yang dinyatakan dalam permohonan nanti.

2. Bila dah serah, tunggu panggilan melalui emel untuk anda melaksanakan tampalan di seluruh Mahkamah-Mahkamah Syariah Negeri Selangor...masa ni anda boleh menjelajah negeri Selangor sambil makan angin la ye...makan mee Udang Kuala Selangor..haha..penampalan tersebut perlu dibuat oleh pihak Pemohon sendiri tidak boleh wakilkan kepada orang lain, nanti anda perlu dapatkan cop pengesahan setiap mahkamah dalam borang yang disediakan dan tampal di papan kenyataan yang di sediakan oleh mahkamah-mahkamah tersebut.

3. Kemudian bila dah selesai buat penampalan ke seluruh Mahkamah-mahkamah Syariah di dalam Selangor, anda perlu buat Affidavit Penampalan yang dilampirkan bersama bukti-bukti penampalan tersebut.

4. Jika afidavit penampalan anda diterima / diluluskan oleh Ahli Jawatankuasa, anda akan mendapat emel panggilan temuduga di Mahkamah Tinggi Syariah dan mempunyai beberapa orang panel dan beberapa bilik.

5. Sekiranya anda lulus temuduga tersebut, anda akan mendapat emel menyatakan anda dikehendaki dan diwajibkan hadir kursus pra perlantikan dan perisytiharan peguam syarie Selangor selama tempoh (1) hari sahaja.

6. Seterunya, anda dikehendaki memfailkan afidavit peristiharan peguam syarie selangor dalam tempoh yang ditetapkan bersama beberapa arahan lain.

7. Setelah itu anda akan mendapat emel untuk majlis Perisytiharan peguam Syarie Selangor bersama mover. anda perlu melantik seorang mover yang sama jantina yang telah beramal tidak kurang 7 tahun (yang ni saya ingat-ingat lupa wajib ke tak 7 tahun).

8. Setelah majlis tersebut selesai, anda dikehendaki memfailkan deraf perintah penerimaan masuk peguam syarie selangor dan memfailkan perintah bersih.

9. Apabila semua selesai, anda boleh beramal di Mahkamah-mahkamah Syariah di negeri Selangor dan anda menjadi orang berkelayakan untuk bertindak didalam mana-mana mahkamah syariah Selangor.

Ini hanya ringkasan sahaja, banyak perkara lagi yang tidak ditulis disini, seperti kos-kos yang perlu dan lain-lain....tapi kos proses lebih kurang RM1000.00 + juga...untuk urusan tersebut kesana kesini dan pelbagai bayaran termasuk bayaran perisytiharan penerimaan masuk tersebut...semoga sedikit sebanyak dengan penulisan ini dapat memberi gambaran kepada rakan-rakan yang ingin mendapatkan tauliah atau sijil amalan negeri Selangor ini. 


Dalam google memang tiada info begini, sebab itu saya menulis berkenaan perkara ini...


Sekian, doakan saya terus berjaya dalam bidang ini.....wassalam...








Ahad, 26 Disember 2021

NIKAH SINDIKET MENYUKARKAN PERNIKAHAN ANAK


 
Nikah Sindiket



Terdapat situasi yang mana satu pasangan suami isteri telah berkahwin pada tahun 1990, perkahwinan yang dilangsungkan pada ketika itu diakadnikahkan di selatan Thailand, dan perkahwinan tersebut tidak didaftarkan ke konsulat General Malaysia. Perkahwinan ini merupakan satu tempoh yang agak lama, maka pada tahun 2020, anak perempuan kepada pasangan tersebut ingin bernikah, maka perkara ini memberi kekangan kepada anak tersebut untuk melangsungkan perkahwinan tersebut, kerana setiap perempuan yang ingin berkahwin memerlukan kepada keizinan wali, wali adalah termasuk dalam rukun nikah, terutamanya bagi yang belum pernah berkahwin.


Maka apa yang perlu dibuat? Pasangan tadi perlu membuat pengesahan nikah tersebut di Mahkamah Syariah bagi membolehkan perkahwinan tersebut didaftarkan ke pejabat agama Islam di Malaysia. Sebelum mendapat pengesahan daripada pejabat agama Islam Malaysia, pasangan tersebut perlu mendapatkan pengesahan daripada pejabat agama Islam Thailand terlebih dahulu, dimana tempat pasangan tadi bernikah bagi menyemak status jurunikah tersebut. Sekiranya Pejabat agama Thailand sahkan jurunikah tersebut berkelayakan dan sah mempunyai tauliah jurunikah, barulah boleh mendapat kebenaran daripada konsulat, walau bagaimanapun, sekiranya tidak, pasangan tersebut perlu mengakadnikah yang baru.


Untuk daftar di konsulat, sememangnya pasangan yang bernikah tersebut perlu hadir secara kediri/fizikal ke konsulat untuk mendapatkan surat kebenaran konsulat dan dikenakan caj sebanyak 1000 bath bersamaan lebih kurang RM250.
Kemudian hadir ke pejabat agama malaysia untuk dapatkan afidavit jurunikah dengan bayaran RM 300 . Tu belum bayar denda lagi tu. Biasanya bayaran denda akan dikenakan ketika mengambil sijil perakuan nikah. Sememangnya memerlukan untuk berhubung dengan banyak pihak dan wang serta masa, oleh itu, saya nasihatkan bagi yang bernikah di selatan Thailand terutamanya, setelah balik ke Malaysia, buat pengesahan nikah segera, jangan tunggu berabad baru nak buat, bila anak nikah baru kalut.


Kalau nikah tersebut diluluskan oleh Mahkamah Syariah, Alhamdulillah okay, tapi kalau tidak, pejabat agama Thailand tidak mahu sahkan nikah tersebut disebabkan jurunikah tiada kelayakan pada ketika itu, itu yang menjadi masalah terhadap perwalian. Maka, anak tersebut perlu mendapatkan wali hakim. Itulah yang terjadi kepada pasangan tersebut, jurunikah yang menikahkan mereka tersebut tidak mempunyai tauliah jurunikah kerana telah ditamatkan tauliah tersebut, maka pengesahan jurunikah tidak dapat dibuat. Apa yang ingin saya sampaikan disini, sekiranya bernikah di Thailand terutamanya, mohon untuk buat pengesahan nikah di Mahkamah Syariah segera agar tidak membawa kepada kekangan yang lain yang mendatang.

BAPA KANDUNG CERAI IBU NIKAH ANAK KANDUNG

 


Mengandungkan Anak Hasil Sumbang Mahram


Pada 24 Jun 2021 isu ini telah menjadi gempar satu Malaysia sebanyak 20.3K telah dikongsi oleh pengguna Facebook yang mana kes ini telah ditulis di status Facebook milik seorang rakan peguam saya Nur Fatihah Az Zahra yang merupakan seorang peguam muda yang suka berkongsi pengalaman beliau mengendalikan kes-kes dibawah kendaliannya. Pelbagai isu pelik-pelik yang dikongsi beliau dalam pengendalian kes.


Untuk pengetahuan semua, pelbagai kes yang tidak masuk akal juga telah banyak berlaku di Mahkamah Syariah, kalau kita bercerita kepada orang awam biasa yang tidak pernah mempunyai kes di Mahkamah Syariah atau masyarakat yang tidak ambil tahu isu, mereka hanya menganggap kes-kes yang ada di Mahkamah Syariah hanyalah kes cerai biasa-biasa sahaja, lafaz dan cerai. Ye sememang banyak juga begitu, tetapi banyak juga perceraian berlaku disebabkan alasan-alasan yang tidak seharusnya wujud.


Namun begitu, sebagai seorang manusia, kita perlu akui, setiap manusia berbeza sikapnya, berbeza pengetahuannya, berbeza pandangannya, berjuta manusia maka berjuta ragam dan pengetahuan mereka terutamanya kita merujuk kepada isu yang melibatkan pengetahuan agama. Dibawah ini saya ingin kongsi satu isu yang saya kira jarang berlaku tetapi perlu untuk diambil peduli.


Oleh itu, tidak ketinggalan kes ini iaitu seorang bapa kandung berkahwin dengan anak kandung disebabkan telah terlanjur dan anak kandung tersebut telah disahkan mengandungkan benih bapa kandungnya manakala ibu kandung sanggup membenarkan anak kandung dan bapa kandung tadi berkahwin dan ibu kandung tadi bercerai dengan bapa kandung demi kebahagiaan anak kandung tersebut.


Makin parah masyarakat kita pada hari ini berkenaan agama dalam kekeluargaan terutamanya. Petikan status yang ditulis oleh peguam muda tersebut:-



Menurut beliau, bapa kandung tersebut telah terlanjur bersama anak perempuan kandungnya sehingga anak perempuannya mengandungkan anaknya, dan perkara ini dilakukan suka sama suka.

Menurut peguam tersebut, perkara ini berlaku disebabkan pasangan tersebut menganggap dengan perbuatan tersebut dapat memberi nasab kepada anak tersebut.


Dalam keadaan zaman sekarang yang telah maju, pelbagai teknologi telah berjaya dihasilkan oleh saintis-saintis bagi memudahkan manusia mendapatkan informasi dari dalam sehinggalah dunia luar. Namun begitu, masih ada segolongan pihak yang tidak mempunyai access pengetahuan berkenaan hukum hakam berkenaan perkara asas ini.


Hal ini, amatlah mendukacitakan dan sedih sebagai umat Islam kerana masih terdapat pihak yang belum mendapat pengetahuan asas agama Islam. Perkara ini adalah perkara asas yang perlu umat Islam tahu. Tidak dapat juga kita salahkan pihak tersebut secara keseluruhannya, berkemungkinan mereka dibesarkan dalam keadaan ilmu agama yang mencukupi.


Oleh itu, saya berpendapat, perlunya mewujudkan satu program penyedaran kepada masyarakat di peringkat kampung-kampung untuk memberi informasi atau pendedahan berkaitan perkara-perkara asas dalam agama Islam bermula daripada rukun solat, rukun Islam, rukun Iman, siapa haram dikahwini dan perkara-perkara asas yang lain.


Apabila perkara-perkara sebegini masih wujud, ini menandakan bahawa masyarakat kita pada hari ini dalam keadaan yang membimbangkan. Sesuatu yang tindakan efektif perlu dilakukan bagi membendung daripada isu seperti ini terus berlaku.




Sabtu, 27 November 2021

HARTA SEPENCARIAN KEMATIAN

 ▶️ 


Harta Sepencarian Kematian

Sedikit perkongsian pengalaman handle dokumentasi kes berkenaan. Si Mati iaitu suami telah meninggal, maka, si isteri membuat tuntutan Harta Sepencarian ke atas harta-harta tersebut.


Walau bagaimanapun, harta-harta yang dituntut adalah harta yang diperolehi oleh Si Mati sebelum berlakunya perkahwinan tersebut, maka boleh ke tuntut harta tersebut sebagai harta sepencarian? Jawapannya tidak.


Perlu diingat, untuk dikategorikan sebagai Harta Sepencarian, harta tersebut mestilah diperolehi dalam tempoh perkahwinan suami dan isteri tersebut sahaja, kalau harta yang dah ada sebelum nikah, tidak dikira Harta Sepencarian.


Bila boleh mohon Harta Sepencarian ni? ada 3 keadaan dibolehkan untuk tuntut harta sepencarian iaitu poligami, pasangan meninggal dan penceraian.


Faham ke idok? Untuk kes ini, isteri menuntut Harta Sepencarian disebabkan berlakunya kematian, suami meninggalkan harta yang banyak. Jika kes kematian ni, bila Harta Sepencarian dibuat?


Boleh dituntut seusai sahaja Si Mati meninggal dunia sebelum pengagihan mengikut faraid dibuat. Jika tak boleh tuntut sebagai harta sepencarian nak buat apa dengan harta-harta tersebut? Maka akan dibahagikan secara faraid la.


#hartasepencariankematian #sinarsayariah #ayunirazak

Jumaat, 15 Oktober 2021

KEGANASAN RUMAHTANGGA





 Keganasan Rumahtangga


Keganasan rumahtangga sudah menjadi perkara biasa pada masa kini, yang mana suami menjadikan isteri sebagai tempat lepaskan kemarahan tanpa rasa kasihan belas dan kasih sayang. Baiklah, sekiranya berlaku perkara tersebut, apa perlu buat? jangan duduk diam, cari peluang lepaskan diri dengan pelbagai cara sekali pun. Mesti anda terfikir banyak kali kan untuk lepaskan diri risau berlaku nusyuz, eh boleh ke saya keluar daripada rumah sekiranya saya dipukul? Bukan ke berdosa sekiranya isteri keluar rumah tanpa izin suami?, ye benar, tetapi terdapat pengecualian sekiranya berlaku keganasan rumahtangga, anda didera, anda dibolehkan untuk keluar daripada rumah tersebut untuk menyelamatkan diri sebagaimana yang dituntut dalam maqasid syariah untuk menjaga nyawa.


Patuh suami tu biar la bertempat, patuh jangan hingga menjadi bodoh, hingga hilang nyawa ye, perlu patuh jika sesuatu itu tidak mendatangkan kemudharatan dan bukan perkara haram dalam Islam. Perkara seperti ini ramai salah faham, nanti tak dikira nusyuz ke? nak jatuh nusyuz ni bukan mudah, macam tu aje. Isteri dibenarkan keluar daripada rumah atas sebab-sebab mendesak. Suami nak failkan nusyuz? Biarkan dia, yang pasti anda si suami wajib ada bukti bagi mengelakkan dijatuhkan atas sabitan nusyuz. Buktinya (Laporan polis, laporan perubatan kecerderaan mental dan/atau fizikal, laporan ke pejabat agama dan perintah perlindungan interim) dokumen-dokumen tersebut boleh dijadikan bukti untuk menyangkal dakwaan sabitan nusyuz tadi.


Apa perlu buat bila dah dapat keluar daripada rumah? Mana nak tuju? pertama terus ke balai polis buat laporan polis cerita semua dalam laporan tersebut dapatkan (IPO) Interim Protection Order/perintah perlindungan interim. Nanti polis akan buat siasatan bla3…perintah tu akan dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret. kemudian lari ke tempat yang selamat, kalau tak tahu nak tinggal mana cuba dapatkan bantuan shelter home, mereka akan tanya masalah semua bla3. Disana penginapan makanan percuma. Boleh juga, dapatkan perintah tegahan diri daripada Mahkamah Syariah secara ex parte. Kalau nak cerai, boleh terus failkan cerai. Tegah daripada suami masuk dekat, perintah tersebut valid dalam beberapa bulan/minggu. Jika dah nak habis tempoh perlindungan, dapatkan tambahan perlindungan tersebut dengan Mahkamah.


Kalau tak boleh keluar rumah, boleh hubungi nombor-nombor tersebut, Bantuan WAO di 03-7956 3488 atau menghantar WhatsApp kepada 018 988 8058. Anda juga boleh hubungi Talian Nur di 15999. Jika anda berada dalam kecemasan, hubungi 999. Saya kongsi agar ramai perempuan-perempuan di luar sana terlindung daripada manusia syaitan. Isteri sepatutnya dilindungi bukan diterajang disepak ditampar dan sebagainya. Orang yang suka mendera begini kalau ikutkan hukum nikah, termasuk dalam kategori haram untuk berkahwin, kerana merosakkan dan memudharatkan orang lain (isteri & anak-anak).

Wallahua’alam guideline ringkas. Kalau tak tahu nak buat apa, ingat balai polis. Yang tu pertama, buat laporan kemudian dapatkan rawatan di hospital.


Selasa, 5 Oktober 2021

10 TAHUN TIDAK BERSAMA

 


10 tahun tidak bersama

Satu kisah yang saya kira boleh menghancurkan hati mana-mana isteri, yang mana kisah yang bakal saya kongsikan disini, satu kisah nyata tetapi saya ubah sedikit fakta agar tidak sebijik dengan kisah sebenar. Permulaan kepada kisah yang berlaku apabila si isteri mengambil tindakan dengan memfailkan cerai secara fasakh di Mahkamah Syariah di semenanjung Malaysia, dalam alasan permohonan penceraian tersebut adalah disebabkan suami mempunyai penyakit kelamin, dari mana asal penyakit kelamin tersebut?.


Pasangan tersebut telah bernikah lebih daripada 10 tahun dan pada awal pernikahan tersebut, pasangan tersebut hidup sebagai suami isteri yang bahagia, pergolakan ini bermula apabila si isteri terjumpa satu laporan perubatan yang menerangkan berkenaan satu penyakit, si isteri tertanya-tanya penyakit apa yang dihadapi si suami tersebut dan apa puncanya, si isteri seorang yang berpelajaran dan mempunyai ramai kenalan yang berpelajaran termasuklah dalam profesion perubatan iaitu doktor, setelah disiasat, rupa-rupanya penyakit tersebut adalah penyakit kelamin dan doktor tadi memberitahu apakah faktor-faktor yang boleh membawa kepada terkenanya penyakit tersebut, perkara ini baru sahaja terbongkar setelah 10 tahun si suami simpan rahsia tersebut.


Apa yang terjadi sebenarnya? kisahnya si suami seorang yang kerjanya sentiasa ke luar negara dan jarang berada di Malaysia, selalu berulang alik dari Malaysia dan ke luar negara selama bertahun-tahun dan gaji lebih daripada RM 50,000.00 sebulan. Seperti yang kita tahu, lelaki apabila iman kurang, isteri berada jauh disisi dan duit banyak, perkara-perkara negatif boleh berlaku dan perkara tersebut telah pun berlaku ke atas si suami tadi, si suami tadi telah melanggan perempuan disana dan bertukar-tukar perempuan. Si suami tadi, apabila pulang ke pangkuan isteri yang sah tadi, si suami tidak mahu bersama dengan isteri tadi sehingga tempoh 10 tahun perkara tersebut berlaku, namun, si isteri tadi tidak mencurigai apa-apa yang pelik terhadap suami tersebut dengan membiarkan saja. Okay tamat disitu sahaja ceritanya setelah si isteri memfailkan tuntutan cerai ke atas suami tadi. Satu saya puji si suami, dia tidak melibatkan isteri tersebut kepada penyakit tersebut, kalau bersama, maka isteri juga akan dijangkiti penyakit tersebut.


Saya kongsikan cerita ini adalah hanya sebagai pengajaran sahaja supaya berhati-hati dan selalu peka dimana suami berada dan buat, bukanlah perlu mengongkong pergerakan suami, tetapi hanya perlu ambil tahu sahaja supaya dia selalu ingat kita. Saya juga kongsikan perkara ini agar masyarakat buka mata yang perkara-perkara begini boleh berlaku dalam masyarakat kita. Saya boleh kata, kes di Mahkamah Syariah pelbagai ye, kata out station kemudian bawa balik penyakit, saya cerita hanya untuk peka sahaja. Bukan nak suruh selalu berfikir buruk terhadap suami. Lelaki dugaannya wanita, bila duit lebih sikit jika iman tak kuat maka jadilah, sebab disana disediakan tempat-tempat begitu. Maka disini, saya nak kongsi supaya anda peka apabila si suami kata nak ke lokasi-lokasi tersebut untuk diberi perhatian jika si suami kata ada urusan kerja dan sebagainya:-


1. Batam 2. Phuket 3. Bali 4. Bangkok 


Kenapa? Sebab disana ada sex tourism.


Rabu, 29 September 2021

TUNTUTAN MUT'AH ISTERI

 

Mut'ah Isteri


TAJUK: MUT'AH

 

Tuntutan mut’ah di Mahkamah Syariah adalah antara salah satu tuntutan utama yang dibuat selepas perceraian dan saya yakin masih ramai masyarakat awam yang belum mengetahui berkenaan kebolehan untuk membuat tuntutan ini, disini saya ingin berikan sedikit info atau penjelasan berkenaan tuntutan Mutaah ini. Sebelum membuat tuntutan anda semua perlu memahami apakah Mutaah, bila perlu dituntut, hukum dan yang berkenaan.

 

APAKAH YANG DIMAKSUDKAN DENGAN MUTAAH?

 

Mutaah bermaksud suatu pembayaran atau pemberian sagu hati yang mana ianya diberikan oleh bekas suami kepada bekas isterinya selepas mereka bercerai (hidup) sama ada berupa wang atau pun barang. Sagu hati mutaah ini ianya dikira sebagai bayaran yang wajib apabila perceraian itu berlaku antara pasangan suami isteri dan ianya bukan berpunca daripada kesalahan pihak bekas isteri seperti "Nusyuz".

 

MAKA, APAKAH HUKUM MUTAAH?

 

Menurut Jumhur ulama' menyatakan hukum asal mutaah ialah sunat, namun begitu, ianya wajib diberikan sekiranya sebelum disetubuhi dan mas kahwinnya tidak disebut dalam akad. Manakala dalam keadaan lain pemberian Mutaah ini sunat. Walau bagaimanapun, perkara ini meurpakan suatu amalan yang digalakkan terhadap suami yang telah menceraikan isterinya. Alasan pendapat ini disandarkan kepada ayat 236 surah Al-Baqarah yang bermaksud:

 

Hendaklah kamu memberikan Mutaah (iaitu pemberian sagu hati) kepada mereka yang diceraikan itu, iaitu suami yang senang hendaklah memberikannya menurut kemampuan mereka dan bagi suami yang susah menurut kemampuannya sebagai pemberian sagu hati menurut apa yang patut dan menjadi satu kewajipan ke atas orang yang mahu berbuat demikian”.

 

Berdasarkan pendapat Imam Shafie, mutaah itu wajib diberikan kepada isteri sama ada dia diceraikan sebelum atau selepas disetubuhi, sama ada diceraikan melalui talaq atau seumpama talaq dengan syarat-syarat tertentu dan sama ada sudah ditentukan maharnya atau belum. Mut'ah boleh diberikan dalam bentuk wang, pakaian dan barang lain.


Menurut Ibn Qasim, mutaah adalah hak isteri yang boleh dipusakai dan sekiranya jandanya meninggal dunia, (bercerai ketika hidup) maka hendaklah dibayar kepada waris-warisnya. Manakala pendapat Imam Hanafi ianya adalah sunat, walau bagaimanapun, berdasarkan pendapat-pendapat yang disebut, maka jelaslah ianya merupakan suatu yang dituntut oleh Syara’. Berdasarkan Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 241 bermaksud:

“Dan isteri-isteri yang diceraikan berhak mendapat mutaah (pemberian sagu hati) dengan cara yang patut, sebagai satu tanggungan yang wajib atas orang-orang yang bertaqwa”.

 

Dalam ayat lain, Surah al-Ahzab ayat 49 bermaksud:

“Oleh itu, berilah “mutaah (pemberian sagu hati) kepada mereka, dan lepaskanlah mereka dengan cara yang sebaik-baiknya”.

                                   

 

APAKAH TUJUAN MUTAAH ITU YANG SEBENARNYA?

 

Mutaah bertujuan untuk meringankan sedikit beban yang ditanggung oleh bekas isteri akibat diceraikan oleh bekas suaminya untuk memulakan hidup barunya. Dengan pemberian mutaah ini kepada bekas isteri –

(a) akan membolehkan isteri itu untuk berdikari dan memulakan hidup baru selepas bercerai;

(b) akan mengelakkan prasangka buruk masyarakat terhadap isteri tersebut bahawa perceraian yang berlaku adalah berpunca daripada kesalahan isteri;

(c) ia merupakan penghargaan daripada suami atas sumbangan dan peranan isteri.

 

APAKAH PRASYARAT UNTUK ISTERI MEMOHON MUTAAH DI MALAYSIA?

 

Prasyarat untuk isteri memohon mutaah di Malaysia adalah seperti yang berikut:

(a) wujud perkahwinan yang sah;

(b) berlaku perceraian bukan berpunca daripada isteri;

(c) berlaku perceraian hidup;

(d) berlaku persetubuhan;

(e) perceraian bukan disebabkan oleh suami papa/miskin.

 

APAKAH FAKTOR YANG MENGGUGURKAN HAK MUTAAH?

 

Faktor yang menggugurkan hak mutaah adalah seperti yang berikut:

(a) Isteri yang nusyuz yang disabitkan oleh Mahkamah Syariah

(b) Isteri yang diceraikan sebelum bersetubuh dan mas kahwin disebut dalam akad;

(c) Isteri murtad;

(d) Perceraian secara tebus talak.

 

BAGAIMANAKAH CARA UNTUK MENENTUKAN KADAR MUTAAH ITU?

 

Tidak terdapat suatu panduan tertentu yang boleh dijadikan formula tetap untuk menentukan kadar dalam pemberian mutaah di sisi syara’ daripada seorang bekas suami kepada seorang isteri yang diceraikan. Kadar mutaah berdasarkan pertimbangan persetujuan bersama. Menurut satu pendapat dalam Mazhab Imam Syafie, adalah sebanyak 30 dirham dan harus memberi melebihi separuh daripada kadar mahar. Namun begitu, jika berlaku perselisihan, maka hakim menentukan berdasarkan prinsip umum yang menyatakan bahawa sesuatu pemberian hendaklah diasaskan kepada –

(a) Kemampuan suami;

(B) Status pasangan;

(C) Tempoh perkahwinan;

(D) Pengorbanan isteri.

 

Sepertimana maksud ayat dalam Surah al-Baqarah 236:

“Walaupun, demikian, hendaklah kamu memberi “Mutaah” (pemberian saguhati) kepada mereka (yang diceraikan itu) iaitu suami yang senang (hendaklah memberi saguhati itu) menurut ukuran kemampuannya, sebagai pemberian saguhati menurut yang patut, lagi menjadi satu kewajipan atas orang-orang (yang mahu) berbuat kebaikan”.

                                  

 

APAKAH PERUNTUKAN MENGENAI MUTAAH DALAM UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM?

Peruntukan mengenai Mut'ah pada umumnya temaktub dalam semua Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri-Negeri. Seksyen 56 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984, misalnya menyebut –

 

“Sebagai tambahan kepada haknya untuk memohon nafkah, seseorang perempuan yang telah diceraikan tanpa sebab yang patut oleh suaminya boleh memohon mutaah atau pemberian sagu hati kepada Mahkamah, dan Mahkamah boleh, selepas mendengar pihak-pihak itu dan apabila berpuas hati bahawa perempuan itu telah diceraikan tanpa sebab yang patut, memerintahkan suami membayar sejumlah wang yang wajar dan patut mengikut Hukum Syarak".


RUJUKAN

1.      Mohd Kharul Anuar Bin Ismail, Kefahaman Wanita Terhadap Peruntukan Hak Selepas Bercerai Menurut Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Kelantan No. 6/2002: Kajian Di Kota Bharu, Jabatan Syariah Dan Undang-Undang Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, 2014. Kuala Lumpur.

 

2.      Profesor Tan Sri Datuk Ahmad Ibrahim, Undang-Undang Keluarga Islam Di Malaysia, 1999, Lexis Nexis, Petaling Jaya Selangor.

 

3.      www.Jbg.gov.my

TAULIAH PEGUAM SYARIE SELANGOR

 Assalamualaikum.... Pentauliahan Peguam Syarie Negeri Selangor antara yang berprestij selain Wilayah Persekutuan, mungkin disebabkan kelaya...